RBT Tingkatan 1-3 adalah kesinambungan daripada mata pelajaran RBT yang telah diperkenalkan kepada murid di Tahap II sekolah rendah. RBT di sekolah menengah bagi menggantikan mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu sekolah menengah yang telah diperkenalkan pada tahun 1989.
Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) merupakan mata pelajaran elektif yang memberi penekanan kepada mereka bentuk dalam penghasilan produk berasaskan teknologi. RBT bertujuan untuk melahirkan murid yang boleh berkarya dalam menghasilkan produk yang mudah dan bermakna.
Bidang reka bentuk dan teknologi merupakan perkara yang perlu diberi penekanan dalam sistem pendidikan negara yang membolehkan murid mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran dan nilai melalui aktiviti reka bentuk dan menghasilkan produk yang berfungsi.
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran RBT KSSM digubal untuk selama tiga tahun persekolahan iaitu dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Dokumen ini merangkumi bidang awam, elektrik, elektronik, mekanikal, sains rumah tangga, sains pertanian dan pengurusan kewangan.
Sepanjang persekolahan, murid didedahkan dengan pembelajaran teori dan amali di bengkel-bengkel yang sedia ada. Aktiviti pengajaran dan pembelajaran akan menekankan penguasaan murid terhadap semua bidang dalam kurikulum RBT.
Kurikulum Standard RBT dirangka untuk membolehkan murid memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan bagi mendapat maklumat mengenai pilihan bidang yang diminati dan ingin dipelajari semasa berada di peringkat yang lebih tinggi.