Kejohanan Kokurikulum Kolej Matrikulasi (KAKOM) 2025: KAKOM Mewarnai Generasi Masa Hadapan
Karnival Kokurikulum Matrikulasi (KAKOM) merupakan inisiatif tahunan peringkat kebangsaan anjuran Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama kolej matrikulasi terpilih selaku tuan rumah. Program ini menyediakan medan strategik untuk menyerlahkan potensi pelajar melalui pelbagai acara sukan selaras dengan hasrat KPM untuk membina pelajar yang seimbang dari aspek intelek, emosi, rohani dan jasmani.
Seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI, KAKOM bukan sekadar platform pertandingan, tetapi merupakan wahana pembentukan pelajar yang menyeluruh—berakar kepada nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Program ini menyemai budaya integriti, kepimpinan beretika, tanggungjawab sosial dan semangat perpaduan dalam kalangan peserta dari pelbagai latar belakang, memperkukuh keutuhan masyarakat majmuk negara.
Di samping itu, penyertaan dalam KAKOM menyumbang kepada pemerkasaan kokurikulum sebagai salah satu indikator kelayakan ke universiti awam, sekali gus mengiktiraf kepelbagaian potensi dan bakat pelajar. KPM kekal komited untuk melahirkan modal insan holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga berjati diri tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara yang berteraskan nilai kemanusiaan dan prinsip MADANI.