Jurusan perakaunan professional(JPPro) mula beroperasi pada 23 Mei 2018. Seramai 48 orang pelajar telah berjaya mengikuti program ini pada ambilan pertama sesi 2018/2019. Kesemua mereka telah berjaya menamatkan pengajian mereka di Kolej Matrikulasi Selangor(KMS) dan kini mereka meneruskan pengajian mereka di UiTm. Kini Jppro telah melalui tahun kedua pengambilan pelajar bagi sesi 2019/2020 dan 58 orang pelajar masih mengikuti program ini.
JPPro adalah salah satu program professional yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia(BMKPM), Universiti Teknologi Mara(UiTM) dan ACCA Malaysia. Tujuan penubuhannya adalah untuk melahirkan ramai akauntan bertauliah dari kalangan Bumiputera. Program ini adalah sama seperti program ACCA yang ditawarkan di INTEC, Sunway College, Penang Central College dan lain lain institusi yang berkenaan. Namun laluan kursus ini agak berbeza dari kolej-kolej lain. Bagi melayakkan seseorang pelajar lepasan SPM untuk mengikuti program ACCA, mereka perlu mengikuti program CAT terlebih dahulu. Manakala JPPro adalah satu program di mana pelajar SPM boleh terus mengikuti program ACCA tanpa perlu melalui program CAT.
Secara teknikal JPPro adalah seperti program asas yang lain namun subjek yang diajar merupakan tiga subjek tahap pengetahuan kemahiran ACCA iaitu F1, F2 dan F3. Ini bermakna sebaik sahaja pelajar ini tamat pengajian mereka di KMS mereka telah melengkapkan tiga subjek tahap pengetahuan kemahiran ACCA. Mereka hanya perlu melengkapkan 11 subjek ACCA yang lain di UiTM bagi melayakkan mereka mendapat sijil ACCA. Rujuk pamphlet di link di bawah. Apabila pelajar ini tamat daripada program JPPro KMS mereka layak untuk mendapat Sijil Matrikulasi dan Diploma in Business Finance daripada ACCA. Bagi membolehkan pelajar ini mendapat Sijil Matrikulasi mereka perlu melengkapkan Peperiksaan Semester Program Matrikulasi 1 dan 2 (PSPM 1 dan PSPM 2) mengikut kalender akademik Matrikulasi. Selepas itu mereka perlu menduduki peperiksaan atas talian (Computer Based Examination – CBE) yang disediakan oleh pihak ACCA beberapa minggu selepas tamat pengajian di KMS. Secara rasminya apabila mereka berjaya di dalam peperiksaan ini mereka layak mendapat Diploma in Business Finance daripada ACCA dan meneruskan pengajian mereka di UiTM.
Secara ekonominya program ini telah mengurangkan kos yang perlu dibiayai bagi mendapatkan sijil ACCA. Malah pelajar JPPro mendapat laluan pantas bagi melengkapkan program ACCA kerana mereka tidak perlu melalui program CAT.