Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang yang dahulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan Rajang (MPR) merupakan salah sebuah daripada 27 IPG di Malaysia. Institut yang berkeluasan 32.3 hektar ini terletak di Bintangor, Bahagian Sarikei, Sarawak.
Pada 31 Oktober 1967, Maktab Perguruan Rajang (Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang) dirasmikan oleh TYT Yang di-pertua Negeri Sarawak Yang Pertama, Tun Abang Haji Openg bin Abang Sapi'ee. Jumlah ambilan pertama ialah 89 orang guru pelatih dengan staf ikhtisas 9 orang. Pengetua pertama ialah Mr. K.J. Hayr dari New Zealand (1966 - 1967) dan perlantikan Encik Lau Kuok Ding pada tahun 1968 merupakan pengetua pertama MPR yang terdiri daripada orang tempatan.
Pada 13 Julai 2005, Jemaah Menteri telah meluluskan 27 buah Maktab Perguruan di Malaysia dinaik taraf kepada Institut Pendidikan Guru (IPG). Mulai 6 Mei 2006, daripada institusi yang hanya mengeluarkan graduan bertaraf diploma dan sijil, institusi ini telah mendapat mandat yang melayakkannya menganugerahkan ijazah Sarjana Muda Perguruan.
Latihan yang dijalankan di Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang adalah selaras dengan latihan perguruan di maktab perguruan di seluruh negara. Kursus yang dikendalikan di IPG bertujuan untuk melatih guru-guru sekolah rendah khusus bagi mengatasi kekurangan guru terlatih di sekolah.
Berikut merupakan senarai Pengarah dan juga Timbalan Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang.