KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN HOSPITAL SERI ISKANDAR
UNIT KESELAMATAN DAN KESIHATAN PEKERJAAN HOSPITAL SERI ISKANDAR (UKKP HSI)
PENGENALAN
Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP) Hospital Seri Iskandar ditubuhkan selaras dengan kehendak Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Penubuhan UKKP Hospital Seri Iskandar adalah sejajar dengan arahan KKM melalui Surat KKM.600-37/1/3 (2) bertarikh 11 Julai 2016 yang mengarahkan penubuhan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di semua hospital dan institusi perubatan di bawah KKM. Penubuhan unit ini adalah manifestasi komitmen hospital dalam memastikan:
• Keselamatan dan kesihatan warga kerja sentiasa terjamin.
• Persekitaran kerja yang sihat, kondusif dan selamat diwujudkan.
• Risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan dapat dicegah serta dikawal.
UKKP berfungsi sebagai pusat rujukan, perancangan, pelaksanaan, pemantauan, dan penilaian aktiviti keselamatan serta kesihatan pekerjaan di hospital.
OBJEKTIF
Memastikan pematuhan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022), peraturan berkaitan KKP, serta Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Mewujudkan persekitaran kerja hospital yang selamat dan sihat, bebas daripada sebarang risiko kemalangan, kecederaan, penyakit pekerjaan, dan ancaman keselamatan.
Melaksanakan pengurusan risiko pekerjaan melalui penilaian risiko, kawalan risiko, dan pemantauan berterusan di semua unit dan jabatan.
Meningkatkan tahap kesedaran dan kompeten anggota melalui latihan, kursus, bengkel, dan program pendidikan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Mengurus dan menyiasat semua insiden, kemalangan, dan penyakit pekerjaan secara sistematik bagi tujuan penambahbaikan dan pencegahan kejadian berulang.
Membangunkan dan menggalakkan budaya kerja selamat serta sihat dalam kalangan anggota kesihatan, selaras dengan aspirasi HSI dan KKM untuk memberi perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pesakit.
Menyediakan dan memberi khidmat nasihat dalam membentuk dasar KKP, garis panduan, prosedur kerja selamat, serta kempen promosi kesihatan yang menyokong kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja.
FUNGSI UKKP HSI
Dasar & Pematuhan Undang-undang
• Menyediakan, menyelaras dan memantau dasar, polisi, prosedur kerja selamat dan garis panduan KKP di hospital.
• Memastikan pematuhan kepada Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022), Dasar Keselamatan dan Kesihatan KKM serta semua peraturan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Pengurusan Risiko & Insiden Pekerjaan
• Mengenal pasti risiko, menjalankan penilaian risiko, dan melaksanakan kawalan risiko di semua unit/jabatan.
• Mengurus dan menyiasat insiden, kemalangan pekerjaan, tusukan jarum/alatan tajam, percikan (splash injury), serta penyakit pekerjaan bagi tujuan pembetulan dan pencegahan berulang.
Pendidikan, Latihan & Promosi
• Menyelaras latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (contoh: ergonomik, keselamatan bahan kimia dan penggunaan PPE, sharp injury surveillance).
• Merancang dan melaksanakan program promosi kesihatan pekerjaan termasuk skop di dalam Program KOSPEN Wow KKM.
Sekretariat & Penyelarasan
• Berperanan sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Hospital Seri Iskandar.
• Menjadi Sekretariat Bencana Dalaman Hospital, melibatkan insiden seperti kebakaran, ancaman keselamatan dalaman, insiden kekerasan terhadap anggota, penculikan bayi, obstetric red alert, dan kod blue untuk kes resusitasi kecemasan dalam kawasan hospital.
Keselamatan Persekitaran
• Menyelia dan melaksanakan aktiviti berkaitan Program Fasiliti Bebas Aedes sebagai pencegahan penyakit bawaan vektor.
• Menyelaras pelaksanaan Hospital Bebas Asap Rokok bagi memastikan persekitaran hospital kondusif dan sihat.
• Memantau aspek keselamatan persekitaran hospital termasuk kawalan risiko fizikal, kebakaran, serta ancaman keselamatan lain.
• Memantau dan menyelaras pengurusan bahan kimia berbahaya dan memberi khidmat nasihat dalam pengurusan penggunaan bahan kimia (dibantu oleh Syarikat Konsesi yang dilantik oleh KKM)
Nasihat & Perundingan
• Memberi khidmat nasihat kepada pihak pengurusan hospital dalam hal berkaitan keselamatan, kesihatan, dan kesejahteraan warga kerja.
• Bertindak sebagai rujukan teknikal dalam pengurusan risiko pekerjaan dan keselamatan persekitaran.