BENTONG adalah sebuah daerah di Negeri Pahang yang berkeluasan 1831 kilometer persegi. Pusat pentadbiran - Bandar Bentong terletak 80km dari timur laut Kuala Lumpur dan bertentangan dengan Banjaran Titiwangsa. Daerah ini bersempadan dengan Negeri Selangor di sebelah barat dan Negeri Sembilan di sebelah selatan.
Mengikut yang empunya ceritera, nama Bentong dahulunya dikenali sebagai Kapong. Pada waktu itu, Bentong berpusat di sekitar kawasan pasar iaitu di pertemuan antara Sungai Repas dan Sungai Perting. Ia mula menjadi pusat tumpuan apabila bijih timah ditemui di kedua-dua sungai tersebut. Pelombong-pelombong bijih timah telah membina satu ban untuk melombong bijih timah bagi mendapat hasil yang lebih menguntungkan. Peristiwa ini telah menjadi bualan orang luar dan mereka telah menamakannya sebagai "Ban Untung" (ban yang menguntungkan). Perkataan "Ban Untung" menjadi lebih dikenali oleh orang ramai berbanding dengan Kapong. Lama-kelamaan perkataan "Ban Untung" bertukar menjadi Bentong.
Daerah Bentong terdiri dari 3 mukim iaitu Mukim Bentong, Mukim Sabai dan Mukim Pelangai. Selain dari Bandar Bentong, terdapat beberapa pekan lain yang menjadi tumpuan penduduk seperti di Karak, Bukit Tinggi, Telemong dan Simpang Pelangai.
Bentong adalah Daerah/Bandar yang akan dilalui sekiranya anda ingin ke Pantai Timur dan kedudukannya yang terlalu hampir dengan Kuala Lumpur menjadikan ia destinasi pelancungan yang semakin popular dewasa ini.
Boleh dikatakan setiap hujung minggu atau cuti kelepasan, Bandar Bentong akan sentiasa meriah dilawati pengunjung samada tempatan mahupun luar negara. Antara yang menjadi tarikan utama, sudah semesti alam faunanya, kedudukan Bentong dipinggir Banjaran Titiwangsa menjadikan Bentong indah dengan bukit-bukaunya, sungai-sungai jernih dan air terjun yang amat mendamaikan.
Jika anda dari Kuala Lumpur, melalui Lebuh Raya, setelah 20 minit melalui Tol Gombak anda akan memasuki daerah Bentong sebaik saja masuk kedalam Terowong Genting Sempah, malah Genting Highland itu sendiri terletak dalam daerah Bentong. Selepas Genting Sempah, anda akan melalui Kg. Bukit Tinggi yang terkenal dengan Halia Bentongnya, antara Halia yang terbaik didunia, percayalah.. sekali anda gunakan Halia Bentong untuk masakan.. anda tidak akan lagi menggunakan halia lain.
Selepas Bukit Tinggi, Kg Janda Baik yang merupakan Kg. Tradisional yang kaya dengan alam semulajadinya, dengan redup dan udara bukit ditambah lagi dengan sungai-sungai jernih, sejuk dan dingin menjanjikan percutian anda tidak akan serupa lagi.. bagi yang ingin bermalam - banyak chalet dan resort-resort diusahakan oleh orang-orang Kampung, dan pastikan tempat menginap anda berhampiran dengan pinggir sungai.. senang untuk anak-anak mandi-manda.. dinasihatkan anda menempah awal penginapan disini, kerana selalunya hujung minggu dan cuti kelepasan amat sukar untuk mendapatkan bilik/rumah secara walk-in.
Sekiranya tidak dapat bermalam di Kg. Janda Baik, usah khuatir.... boleh cuba pula di Bukit Tinggi Resort atau lebih dikenali oleh orang ramai sebagai Colmar Tropicale, Berjaya Hills.. kalau tidak mahu menginap disini pun tidak mengapa.. selain dapat bergambar dan terasa seperti di Perancis, ada Rabbit Park, Japanese Village dan macam-macam lagi.
Selepas itu - Hutan Lipur Lentang - Hutan yang diselengarakan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang ini amat sesuai untuk berkelah seisi keluarga ataupun hanya singgah berhenti untuk menghilang lelah dalam perjalanan.. hanya 55 km dari Plaza Tol Gombak - sebenarnya jika anda dari Kuala Lumpur, tak perlu pun untuk anda menginap - perjalanan yang mengambil masa lebih tak sampai pun setengah jam dari Kuala Lumpur membolehkan anda pergi balik dalam masa setengah hari saja, tidak perlu pun anda bertanak nasi, bergulai bagai.. ramai penjaja/peniaga makanan/minuman disini...
Kemudian - Kolam Air Panas, Jalan Lama KL-Bentong - Kolam air panas semula jadi ini telah dinaik taraf oleh pihak Majlis Perbandaran Bentong, anda juga boleh menginap di Suria Hot Spring Bentong yang terletak betul-betul bersebelahan dengan Kolam Air panas. Air panas yang ber sulfur itu amat baik bagi kesihatan kulit - pihak Suria Hot Spring juga membenarkan pengunjung luar untuk masuk mandi-manda didalam resort berkenaan dengan bayaran sebanyak RM10 bagi dewasa, RM8 kanak-kanak dan RM6 bagi warga emas dan kelainan upaya. Disepanjang jalan lama ini, banyak pengusaha-pengusaha resort yang menawarkan tempat menarik untuk anda kunjungi. (bolehlah Google sebelum kesana)
Belum lagi sampai ke Bandar Bentong.. apa lagi yang menarik di Bandar Bentong.. antaranya adalah Kow Po Coffee Shop Bentong - mungkin bagi anda yang pertama kali ke Bandar Bentong akan merasa hairan, kenapalah kedai ini menjadi tarikan sehinggakan beratur bas rombongan menunggu giliran untuk turun menjamu selera, sekiranya anda bernasib baik, dapatlah anda merasa ABC nya yang terkenal.. kerana selalunya anda terpaksa menunggu giliran untuk dapat tempat duduk.
Lemang Tokki - Restoran yang wajib dikunjungi sekiranya bertandang ke Bentong, restoran yang menjadi tempat berkumpul peminat pemotoran dari sekecil-kecil motor hinggalah kepada supercar menjadikan restoran ini berada dalam klasnya yang tersendiri. Hidangannya pula bukanlah sekadar lemang, tapi bermacam juadah menjadikan anda tidak akan pernah melupakan Bentong..
Air Terjun Chamang - Air terjun yang terletak dalam kawasan Hutan Lipur Chamang ini, adalah merupakan air terjun yang tercantik, menjadi kebanggaan bagi warga Bentong, cuma sebelum anda kesini, semak dulu di Internet, kerana setiap tahun - air terjun ini akan ditutup setiap kali musim tengkujuh, selalunya dari Disember ke Mac. Sekiranya anda ingin mandi-manda dan berkelah, pastikan datang pada awal pagi untuk dapat 'port' menarik ditepi-tepi sungai.. orang selalunya ramai pada hujung minggu dan hari cuti.
GERAI DURIAN - Sekiranya waktu anda melalui Bentong ketika musim durian - sediakanlah saja duit banyak-banyak.. musang king ke.. musang queen ke.. segalanya ada disepanjang jalan, jangan segan untuk berhenti sambil berbelanja - iyelah.. musim durian bukan sepanjang tahun kan...
Felda Lurah Bilut - Felda Lurah Bilut yang dibuka pada 1958 merupakan Tanah Rancangan Felda pertama di Malaysia dan bagi mengenangkannya, sebuah Muzium Felda telah dibuka pada 2005 untuk menceritakan akan perit jerih generasi awal peneroka membuka tanah hutan untuk memperbaiki taraf hidup. Banyak juga resort serta rumah tamu yang diusahakan oleh anak-anak peneroka disini.
Tidak habis disitu.. sekiranya anda melalui jalan lama ke Raub - disepanjang jalan itu ada bermacam resort menarik antaranya Tanah Aina, Serai Caravan.
Akhir kata - Jemputlah berkunjung ke Bentong... tidak perlu pun kami membentang karpet merah biru untuk anda.. biarlah alam ini yang sendiri menyapa - meraikan orang kota - menyambut dengan sepoi angin hawa bukit - Banjaran Titiwangsa yang penuh gah..