Kata majmuk endosentrik ialah kata majmuk yang salah satu unsur kata yang membentuknya dapat menggantikan fungsi kata majmuk itu dalam ayat. Menurut Abdullah Hassan (2006), sesuatu kata majmuk endosentrik mempunyai fungsi yang sama dengan salah satu daripada konstituennya. Manakala, Coates (1999) dan O’ Grady & Guzman (2000) menyatakan bahawa kata makmuk eksosentrik merupakan hasil pemajmukan yang mempunyai kategori lesikal yang sama dengan makna keseluruhan perkataan. Dengan kata lain, kata majmuk endosentrik dari struktur sintaksis ialah kata majmuk yang mempunyai fungsi sintaksis yang sama dengan salah satu dari konstituennya. Berdasarkan jadual 2 di atas, kata majmuk endosentrik dapat dilihat melalui perkataan yang tersenarai, iaitu salah satu unsur daripada setiap kata majmuk boleh digugurkan kerana mempunyai sintaksis yang sama atau tergolong dalam satu fungsi sintaksis yang sama.(Abdullah Hassan, 2006) Contohnya;
4. Setiausaha Politik
I. Setiausaha Politik itu menyediakan laporan minit mesyuarat kelmarin.
II. Setiausaha itu menyediakan laporan minit mesyuarat kelmarin.
III. Politik itu menyediakan laporan minit mesyuarat kelmarin.
Berdasarkan ayat di atas, kata majmuk “ setiausaha politik ” dapat digugurkan slah satu unsurnya kerana inti kepada kata majmuk dalam hukum DM mempunyai fungsi sintaksis yang sama seperti yang dinyatakan oleh Abdullah Hassan (2006). Buktinya, “setiausaha” dalam ayat 4(II) masih mengambarkan makna yang sama dengan ayat 4 (I) kerana “setiausaha” masih mempunyai fungsi yang sama terhadap politik. Jelaslah bahawa “politik” pada kata majmuk ini dapat digugurkan kerana “setiausaha” mampu mendukung fungsi bagi “setiausaha politik”.
5. Wang tunai
I. Wang tunai yang bernilai 100, 000 ribu itu disumbangkan untuk dana Palestin.
II. Wang yang bernilai 100, 000 ribu itu disumbangkan untuk dana Palestin.
III. Tunai yang bernilai 100, 000 ribu itu disumbangkan untuk dana Palestin.
Berdasarkan ayat di atas, salah satu unsur konstituen daripada kata majmuk “wang tunai” dapat digugurkan oleh kerana inti kepada kata majmuk dalam hukum DM mempunyai fungsi sintaksis yang sama seperti yang dinyatakan oleh Abdullah Hassan (2006). Buktinya, perkataan “wang” dalam ayat 5 (II) masih menggambarkan makna yang sama dengan ayat 5 (I) kerana “wang”
masih membawa maksud yang sama dengan “wang tunai” iaitu sejumlah duit. Jelaslah bahawa “tunai” pada kata majmuk ini dapat digugurkan kerana “wang” mampu mendukung fungsi bagi “wang tunai”.
6. Peguam bela
I. Peguam bela itu berusaha memenangi kes anak guamannya.
II. Peguam itu berusaha memenangi kes anak guamannya.
III. Bela itu berusaha memenangi kes anak guamannya.
Berdasarkan ayat di atas, salah satu unsur konstituen daripada kata majmuk dalam ayat 6(I) iaitu “peguam bela” dapat digugurkan oleh kerana inti kepada kata majmuk dalam hukum DM mempunyai fungsi sintaksis yang sama seperti yang dinyatakan oleh Abdullah Hassan (2006). Buktinya, perkataan “peguam” dalam ayat 6 (II) masih menggambarkan makna yang sama dengan ayat 6 (I) kerana “peguam” masih mempunyai fungsi yang sama terhadap bidang perundangan. Jelaslah bahawa perkataan “bela” pada kata majmuk ini dapat digugurkan kerana “peguam” mendukung fungsi bagi “peguam bela”.
7. Timbalan Pendakwa Raya
I. Timbalan Pendakwa Raya itu mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes yang melibatkan orang ternama.
II. Timbalan itu mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes yang melibatkan orang ternama.
III. Pendakwa Raya itu mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes yang melibatkan orang ternama.
Berdasarkan ayat di atas, salah satu unsur konstituen daripada kata majmuk dalam ayat 7 (I) iaitu “ timbalan pendakwa raya” dapat digugurkan oleh kerana inti dalam kata majmuk tersebut mempunyai fungsi sintaksis yang sama walaupun tidak menepati hukum DM sama seperti yang dinyatakan oleh Abdullah Hassan (2006). Buktinya, perkataan “pendakwa raya” dalam ayat 7 (III) masih menggambarkan makna yang sama dengan ayat 7 (I) kerana “pendakwa raya” masih mempunyai fungsi yang sama terhadap bidang perundangan. Jelaslah perkataan “ timbalan” pada kata majmuk ini dapat digugurkan kerana “pendakwa raya” mendukung fungsi “timbalan pendakwa raya”.