Halaman utama ini memberikan gambaran ringkas tentang kajian yang dilaksanakan. Tajuk kajian ini ialah "Cabaran, Peranan Pihak Berkepentingan dan Keberkesanan Dasar dalam Melindungi Hak Kanak-Kanak Secara Holistik". Kajian ini bertujuan untuk menganalisis isu-isu yang mempengaruhi keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak seperti penderaan, pengabaian dan keganasan. Selain itu, ia turut menilai peranan pihak berkepentingan dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak serta keberkesanan dasar yang telah dilaksanakan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Melalui e-portfolio ini, matlamat utama adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang isu perlindungan kanak-kanak secara holistik.
Perlindungan hak kanak-kanak merupakan isu penting yang mendapat perhatian global. Kanak-kanak sering berdepan cabaran seperti kemiskinan, keganasan dan kekurangan akses kepada pendidikan yang berkualiti. Menurut UNICEF (2021), pendekatan holistik diperlukan untuk memastikan hak kanak-kanak dipelihara. Di Malaysia, pelbagai usaha telah dilakukan termasuk penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001, namun cabaran seperti kekangan sumber dan kurangnya kesedaran masyarakat masih membataskan keberkesanannya. Oleh itu, tugasan ini akan membincangkan permasalahan utama, peranan pihak berkepentingan dan cadangan penambahbaikan dalam melindungi hak kanak-kanak secara menyeluruh.
Majlis Keselamatan Negara (2024): Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara merupakan satu rangka kerja dasar di Malaysia yang bertujuan melindungi, menjaga dan mempromosikan hak serta kesejahteraan kanak-kanak. Dasar ini dikeluarkan untuk memastikan kanak-kanak di negara ini dilindungi daripada segala bentuk penderaan, pengabaian, eksploitasi dan keganasan. Malah, kanak-kanak juga diberikan peluang untuk berkembang secara fizikal, mental, emosi dan sosial dalam persekitaran yang selamat dan sejahtera.
UNICEF (2018): Dasar perlindungan kanak-kanak ialah garis panduan yang berstruktur bertujuan untuk melindungi kanak-kanak daripada bahaya dari segi fizikal, emosi, seksual dan psikologi. Dasar ini merangkumi langkah pencegahan dan tindak balas terhadap 3 penderaan kanak-kanak. Tambahan pula, UNICEF mendefinisikan perlindungan kanak-kanak sebagai pencegahan dan tindak balas terhadap keganasan, eksploitasi, penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
Featherstone et al. (2012): Dasar Perlindungan Kanak-Kanak ialah rangka kerja atau satu set garis panduan yang disusun bagi melindungi kanak-kanak daripada pelbagai bentuk ancaman seperti penyalahgunaan eksploitasi dan bahaya. Dasar Perlindungan Kanak-Kanak merupakan asas dalam memastikan kesejahteraan, keselamatan dan hak kanak-kanak. Malah, ia turut menyediakan asas untuk langkah-langkah pencegahan, mengenal pasti ancaman yang berpotensi dan menetapkan protokol untuk bertidak balas terhadap kebimbangan.
Munro (2011): Dasar Perlindungan Kanak-Kanak merupakan garis panduan mengenai amalan selamat seperti prosedur atau langkah untuk mengendalikan laporan tentang penyalahgunaan dan menyediakan strategi untuk melatih kakitangan berkaitan perlindungan kanak-kanak dan protokol untuk mewujudkan persekitaran yang selamat
Dasar perlindungan kanak-kanak di Malaysia bermula sejak zaman penjajahan British melalui Ordinan Kanak-Kanak dan Orang Muda 1947, yang memberi fokus kepada isu pesalah juvana dan kanak-kanak terabai. Selepas kemerdekaan, Malaysia melakukan reformasi dengan menerima pakai Konvensyen Hak Kanak-Kanak (UNCRC) pada tahun 1991, yang mendorong penggubalan Akta Kanak-Kanak 2001. Akta ini menekankan pemulihan dan sokongan untuk kanak-kanak, menggantikan pendekatan punitif. Pada tahun 2001, penubuhan Majlis Kebangsaan untuk Kanak-Kanak dan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak memperkukuh usaha institusi dalam melindungi hak kanak-kanak. Langkah penting lain termasuk penggubalan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 untuk menangani ancaman dalam talian. Secara keseluruhan, dasar ini terus berkembang, mencerminkan komitmen Malaysia terhadap perlindungan kanak-kanak.
Kajian ini akan membincangkan tentang cabaran, peranan pihak berkepentingan dan keberkesanan dasar dalam melindungi hak kanak-kanak secara holistik. Berikut merupakan tiga objektif utama dalam kajian ini:
i. Mengenal pasti isu-isu utama yang mempengaruhi keselamatan, kesejahteraan dan hak kanak-kanak seperti penderaan, pengabaian dan keganasan.
ii. Memahami peranan pihak berkepentingan seperti kerajaan, NGO, institusi pendidikan dan masyarakat dalam memastikan perlindungan kanak-kanak yang lebih menyeluruh.
iii. Menilai keberkesanan undang-undang dan dasar perlindungan kanak-kanak yang sedia ada, termasuklah pelaksanaan akta dan peraturan yang berkaitan dengan hak kanak-kanak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
i. Isu-Isu Utama yang Mempengaruhi Keselamatan, Kesejahteraan dan Hak Kanak-Kanak.
Penderaan Kanak-Kanak: Penderaan fizikal, emosi dan seksual sering memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan kanak-kanak. Sebagai contoh, laporan oleh WHO (2016) menunjukkan penderaan emosi boleh menyebabkan kemurungan dan kebimbangan pada masa dewasa.
Pengabaian: Kajian UNICEF (2014) mendapati pengabaian kanak-kanak sering mengakibatkan malnutrisi, kelewatan perkembangan dan prestasi akademik yang rendah.
Keganasan Komuniti: Kanak-kanak yang terdedah kepada keganasan domestik atau komuniti menghadapi risiko tinggi mengalami trauma dan masalah sosial (CDC, 2019).
ii. Peranan Pihak Berkepentingan seperti Kerajaan, NGO, Institusi Pendidikan dan Masyarakat dalam Memastikan Perlindungan Kanak-Kanak yang Lebih Menyeluruh.
Agensi Kerajaan
Agensi kerajaan memainkan peranan utama dalam perlindungan kanak-kanak melalui penggubalan undang-undang, pelaksanaan polisi dan penguatkuasaan peraturan. Tanggungjawab ini meliputi pendidikan awam, penyediaan perkhidmatan sosial dan koordinasi dengan NGO dan pihak lain untuk pendekatan perlindungan yang komprehensif. Contohnya, Akta Kanak-Kanak 2001 di Malaysia melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian, manakala POCSO di India menangani eksploitasi seksual dengan hukuman tegas.
NGO melengkapkan usaha kerajaan dengan menyediakan perkhidmatan kritikal kepada kanak-kanak berisiko, terutamanya di kawasan terpencil. Mereka meningkatkan kesedaran, menyokong perubahan dasar dan menyediakan perlindungan serta kaunseling. Contohnya, Save the Children menawarkan tempat perlindungan dan sokongan pendidikan, manakala Childline India Foundation menyediakan talian bantuan kecemasan untuk kanak-kanak.
Penyedia perkhidmatan kesihatan memainkan peranan penting dalam mengenal pasti tanda-tanda penderaan dan pengabaian kanak-kanak. Mereka menyediakan rawatan, pendidikan kesihatan dan kesedaran kepada keluarga serta komuniti. Doktor dan jururawat dilatih untuk mengesan tanda-tanda fizikal atau psikologi penderaan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Contohnya, di Amerika Syarikat, doktor kanak-kanak dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda penderaan seperti lebam atau malnutrisi dan berkolaborasi dengan agensi perlindungan.
iii. Keberkesanan Undang-Undang dan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak yang Sedia Ada, Termasuklah Pelaksanaan Akta dan Peraturan yang Berkaitan dengan Hak Kanak-Kanak di Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa.
Di Malaysia, perlindungan kanak-kanak berlandaskan Akta Kanak-Kanak 2001 yang bertujuan melindungi kanak-kanak daripada penderaan, pengabaian dan eksploitasi. Pindaan pada 2016 memperkukuh hukuman dan sumber untuk perlindungan kanak-kanak. Namun, kekurangan pekerja sosial terlatih, kesedaran masyarakat yang rendah dan faktor budaya seperti perkahwinan kanak-kanak masih menjadi cabaran utama (UNICEF, 2020). Sokongan psikososial dan pemulihan untuk mangsa juga terhad. Usaha berterusan diperlukan untuk meningkatkan penguatkuasaan, menangani cabaran sistemik dan memastikan hak kanak-kanak dilindungi dengan lebih baik.
Di Amerika Syarikat, Child Abuse Prevention and Treatment Act (CAPTA) 1974 menjadi asas perlindungan kanak-kanak dengan menyediakan standard minimum dan mekanisme pembiayaan. Walaupun CAPTA meningkatkan pelaporan dan tindak balas terhadap penderaan kanak-kanak, sistem desentralisasi menyebabkan pelaksanaan undang-undang yang tidak konsisten antara negeri. Ketidakadilan ras, kebergantungan pada penjagaan asuhan dan akses perkhidmatan yang tidak sekata menjadi cabaran utama. Penambahbaikan diperlukan untuk mengurangkan ketidaksamaan dan memastikan perlindungan yang adil untuk semua kanak-kanak.
Memperkukuh Dasar Sedia Ada
Peningkatan Kesedaran Awam
Penglibatan NGO dan Komuniti
Penggunaan Teknologi Moden
Kerajaan perlu meningkatkan pelaksanaan dasar seperti Akta Kanak-Kanak 2001 dengan menyediakan lebih banyak sumber dan tenaga kerja terlatih (UNICEF Malaysia, 2020).
Kempen kesedaran perlu dilaksanakan secara meluas bagi mendidik masyarakat tentang hak kanak-kanak dan pentingnya melaporkan kes penderaan.
Organisasi bukan kerajaan seperti Save the Children boleh memainkan peranan penting dalam menyediakan sokongan langsung seperti tempat perlindungan dan kaunseling kepada mangsa.
Aplikasi digital untuk melaporkan kes penderaan secara anonim boleh membantu mengesan dan menyelesaikan kes dengan lebih pantas.
Sebagai kesimpulan, melindungi hak kanak-kanak memerlukan usaha bersepadu daripada pelbagai pihak berkepentingan. Cabaran seperti kekangan sumber dan stigma budaya memerlukan penyelesaian yang komprehensif dan strategik. Keberkesanan dasar perlindungan bergantung kepada penguatkuasaan yang konsisten, kesedaran masyarakat, dan sokongan psikososial kepada mangsa. Melalui pendekatan yang holistik, kanak-kanak dapat dibantu untuk membesar dalam persekitaran yang selamat dan menyokong perkembangan mereka.
CDC. (2019). Violence Prevention and Youth Violence. Georgia: Centers for Disease Control and Prevention
Featherstone, B., White, S., & Wastell, D. (2012). Child Protection and The Family. London: Palgrave Macmillan.
MKN. (2024). Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara Menjamin Keselamatan Kanak-Kanak. Putrajaya: Majlis Keselamatan Negara.
Munro, E. (2011). The Munro Review of Child Protection: Final Report. London: Department for Education.
UNICEF Malaysia. (2020). Challenges in Child Protection Systems in Malaysia. Kuala Lumpur: United Nations International Children's Emergency Fund Malaysia.
UNICEF. (2014). Hidden in Plain Sight: A Statistical Analysis of Violence Against Children. New York: United Nations International Children's Emergency Fund.
UNICEF. (2018). Child Protection. New York: United Nations International Children's Emergency Fund.
UNICEF. (2020). Child Protection Strategy. New York: United Nations International Children's Emergency Fund.
UNICEF. (2021). The State of the World's Children. New York: United Nations Children’s Fund United Nations Children’s Fund.
WHO. (2016). Inspire: Seven Strategies for Ending Violence Against Children. Geneva: World Health Organization.