Oasis of Knowledge, Skills and Competency
OSH >>> Obligasi Seruan Hablumminannas
Knowledge is Power, Skill is Shield, Competency is Crown
Kecelaruan Peruntukan Perundangan Berkaitan Perlantikan OYKSHO
Mukaddimah
Artikel ini ditulis sebagai salah satu usaha mencetuskan perbincangan akademik di kalangan ahli Kumpulan WhatsApp OSH4Everyone. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan keupayaan generasi baru Profesional OSH yang berfikiran kritikal, bukan sekadar menjadi pak turut atau burung belatuk.
Tumpuan artikel ini adalah peruntukan perundangan berkaitan pelantikan Orang Yang Kompeten Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) di tempat kerja sebagaimana ditetapkan di bawah Seksyen 29, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994; dan Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1997.
Dua Peruntukan yang Terlibat
Seksyen 29. Pegawai Keselamatan dan Kesihatan, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994
2) Seseorang penghuni suatu tempat kerja yang baginya seksyen ini terpakai hendaklah melantik seorang orang yang kompeten untuk bertindak sebagai pegawai keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
Perintah 3. Kelas atau Jenis Industri yang Dikehendaki Mengambil Kerja Pegawai Keselamatan dan Kesihatan, Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1994
Seseorang majikan daripada kelas atau jenis industri yang berikut hendaklah mengambil kerja seorang pegawai keselamatan dan kesihatan . . .
Di Mana Titik Kecelaruan?
Berdasarkan Seksyen 3. Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, penghuni dan majikan ditafsirkan seperti berikut:
“penghuni”, berhubungan dengan tempat kerja, ertinya seseorang yang menguruskan atau mengawal tempat kerja.
“majikan” ertinya mana-mana orang yang membuat suatu kontrak perkhidmatan untuk mengambil kerja mana-mana orang lain sebagai pekerja.
Berdasarkan tafsiran tersebut, jelas sekali bahawa dari sudut literal, tidak semua majikan adalah penghuni tempat kerja (contohnya sub-kontraktor), dan tidak semua penghuni adalah majikan langsung kepada pekerja di tempat kerja tersebut.
Persoalannya, siapakah sebenarnya yang berkewajipan di bawah undang-undang untuk melantik OYKSHO?
Adakah kedua-dua peruntukan di bawah Seksyen 29, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, dan Perintah 3, Perintah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pegawai Keselamatan dan Kesihatan) 1994 saling memperlengkap atau bercanggah sepertimana ditetapkan di bawah Seksyen 2, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Penutup
Jom bincangkan perkara ini secara akademik dan berhemah di Kumpulan WhatsApp OSH4Everyone