Gong ialah sejenis alat muzik 'idiophone' yang berasal dari Asia Selatan dan Asia Tenggara. Ia telah wujud sejak zaman gangsa dari Yunan dan merupakan tunjang utama dalam persembahan kugiran muzik gamelan.
Gong terdiri daripada pelbagai saiz untuk menghasilkan bunyi yang berbeza, setiap satunya dimainkan bersama mengiringi rentak sesebuah lagu. kebiasaannya, satu atau dua gendang dimainkan serentak untuk mempelbagaikan irama muzik supaya ia menjadi lebih unik.
Kemunculan Gong terawal ditemui di sepanjang semenanjung kepulauan Indochina dan ia dipercayai menjadi salah satu alat muzik utama dalam sesebuah upacara khas dan persembahan tradisional.
Di Malaysia, penemuan Gong terawal adalah pada tahun 1974. Gendang Gangsa yang digelar Dong Son ini ditemui di Batu Buruk, Terengganu. Ia dipercayai dihasilkan sejak 600 Sebelum Masihi atau mungkin seawal abad ke-3.
Gong dianggap sebagai salah satu kerja logam terbaik sepanjang peradaban awal manusia.
Dong Son
Sir Frank Athelstane Swettenham,
Bekas Residen-Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.
Sir Frank Athelstane Swettenham ialah Residen-Jeneral pertama untuk Negeri-Negeri Melayu Bersekutu (kini sebahagian daripada Malaysia) berkhidmat sejak 1 Julai 1896 hingga 1901.
Semasa berkhidmat, Swettenham dijemput oleh Sultan Pahang pada tahun 1895 bagi menyaksikan persembahan Joget di istana Sultan Ahmad al-Muadzam Shah.
Beliau terpukau akan keunikan seni tarian Joget tradisional yang dipersembahkan diiringi bunyi-bunyian alat-alat muzik trdisional Melayu yang dimainkan. Berasa terkesima, beliau menulis sebuah catatan berdasarkan lawatan beliau ke istana.
"The spectacle usually provided is strangely wanting in attraction; a couple of women shuffling their feet, and swaying their hands is gestures that are practically devoid of grace or even variety - that is the Malay dance - and it is accompanied by the beating of native drums, the striking together of two short sticks held in either hand, and the occasional boom of a metal gong."
Jika diterjemahkan, ia bermaksud..
"Persembahan yang dijamu seakan-akan mengidamkan perhatian penonton; terdapat sepasang penari wanita menghentak-hentakkan kaki mereka, dan menghayunkan tangan mereka seolah-olah ia merupakan sebuah gerak isyarat yang menolak kelembutan atau kepelbagaian - ini adalah tarian Melayu - dan ia diiringi dengan pukulan gendang tradisional, pukulan yang dilakukan serentak menggunakan dua batang kayu pendek yang dipegang diantara salah satu tangan, dan diiringi bunyi pukulan gong logam secara jarang-jarang."
Catatan ini boleh dilihat di halaman 44, bab ke-7, 'THE JOGET' , didalam buku karangannya, 'Malay Sketches', diterbitkan pada tahun 1895.
Tarian Joget yang dipersembahkan ini diringi dengan bunyi-bunyian alat-alat muzik tradisional yang dikatakan "very rude indeed".
Swettenham melihat tarian itu adalah berlainan daripada yang pernah dilihatnya di tempat-tempat lain di Semenanjung Tanah Melayu.
Jenis tarian yang telah diceritakan oleh Swettenham dipercayai kumpulan Gamelan istana Pahang dimana ia mengguna alat-alat muzik yang dikatakan berasal dari Jawa seperti "wooden", "piano", gong, "drum" dan lain-lain.
Malay Sketches, ditulis oleh Sir Frank Athelstane Swettenham pada tahun 1895.
Menurut seorang pengusaha pembuatan Gong di Sumangkap, Sabah, Puan Rohanna menjelaskan bahawa setiap Gong menghasilkan bunyi-bunyian yang berbeza.
Gong terdapat berbagai variasi, jenis dan bentuk. Ini memberi kesan terhadap bunyi yang dihasilkan apabila dipukul.
Gaya pukulan dan jenis kayu pemukul yang digunakan juga memberi kesan dalam menghasilkan bunyian gema yang unik.
Dokumentari Gong Sumangkap Sabah bersama Puan Rohanna.
Gong Berhogon
Mengikut Dokumentari Gong Sumangkap Sabah, pada minit ke 2:34, puan Rohanna menjelaskan bahawa Gong Berhogon menghasilkan gema yang besar.
Gong Berhogon kebiasaannya dipukul menggunakkan kayu pemukul yang disaluti getah diluarnya.
Gong Seludun juga turut menghasilkan gema yang besar. Selain itu, ia juga lebih sesuai dipukul melalui kayu pemukul yang disaluti getah diluarnya.
Gong Seludun
Gong-gong kecil seperti Canang dan Kulintangan pula menghasilkan gema yang kecil dan nyaring.
Gong-gong kecil ini kebiasaannya dipukul menggunakan kayu pemukul kecil sahaja.
Gong Canang
Gong Kulintangan
BAHAN UNTUK MEMBUAT GONG ?
Setiap jenis variasi Gong diperbuat daripada bahan logam yang berbeza. Gong kebiasaannya dihasilkan menggunakan bahan logam seperti Besi, Keluli tahan karat, dan Loyang.
Gong yang dihasilkan melalui Besi dan Keluli tahan karat kebiasaannya dijual dengan harga yang murah, manakala Gong yang dihasilkan melalui Loyang pula dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi.
Ini disebabkan nilai pasaran semasa Loyang berada pada paras yang jauh lebih tinggi berbanding Besi dan Keluli tahan karat. Loyang juga mempunyai kualiti ketahanan yang lebih baik berbanding Besi dan Keluli tahan karat.
PROSES PEMBUATAN GONG ?
Proses pembuatan Gong dimulakan dengan memotong kepingan besi kepada bentuk dan ukuran yang diingini.
Bentuk yang menjadi kebiasaan dalam pembikinan Gong adalah bentuk bulat.
Kepingan besi yang telah dipotong mengikut ukuran yang dikehendaki ini kemudiannya akan dicantumkan kepada bingkai besi.
Proses pencantuman ini menggunakan teknik kimpalan jenis Arka dimana rod aluminium yang disaluti lilin dipanaskan sehingga cair diantara dua permukaan besi.
Setelah selesai, cantuman besi Gong ini akan diterbalikkan bagi memudahkan proses penandaan bulat keatas Gong.
Penandaan bulat ini akan menjadi rujukkan ketika proses memukul benjolan kelak.
Proses seterusnya adalah membentuk benjolan Gong. Kepingan besi Gong yang siap bertanda akan diterbalikkan keatas sebuah templat kayu.
Templat kayu ini telah diukir lekuk-lekuk separa bulat diatasnya bagi memudahkan proses pembentukkan benjolan pada Gong apabila dipukul.
Gong yang diterbalikkan bakal dipukul berkali-kali sehingga mendapat bentuk benjolan yang diingini.
Setelah benjolan siap dibentuk, proses penalaan ataupun 'tuning' bakal munyusul.
Proses ini memerlukan kepakaran penalaan Gong yang bertahun-tahun lamanya akibat faktor kebolehan mengesan kecacatan bunyi pada Gong yang tidak ada dalam diri semua orang.
Proses ini memerlukan kepekaan mendengar yang sangat baik.
Sesudah proses penalaan atau 'tuning' selesai, Gong yang siap bakal didekorasi dengan cat.
Kebanyakkan pengusaha Gong memilih untuk tidak mewarnakan hasil buatan Gong mereka dengan pewarna tambahan.
Maka ini menjadikan proses ini sebagai salah satu proses yang tidak wajib atau 'optional' dalam pembikinan Gong.
Bagi melihat proses pembuatan Gong yang lanjut boleh dilihat di dokumentari 'Why Gongs Are So Expensive | So Expensive' di halaman 'YouTube'.
Dokumentari 'Why Gongs Are So Expensive | So Expensive'.
Gong merupakan tulang belakang dalam kebanyakkan arena permainan muzik masyarakat di Malaysia dan digunakan dalam pelbagai upacara sosial.
Disemenanjung misalnya, Gong banyak digunakan didalam tarian-tarian dan persembahan tradisional seperti Mak Yong, Ulek Mayang, Kuda Kepang, Gamelan dan banyak lagi.
Di Sabah secara amnya, bagi suku kaum Kadazan Dusun peralatan Gong ini diguna pakai dalam upacara sosial seperti pesta Kaamatan, majlis perkahwinan dan kematian.
Contoh bunyi pukulan Gong didalam suku Kadazan Dusun.
Gong merupakan peralatan wajib untuk mengiringi tarian seperti sumazau atau sumayau bagi suku kaum Kadazan Dusun termasuklah tarian Mongigol dan Sumandai. Anggalang bagi masyarakat Murut dan Limbai serta Betitik bagi masyarakat Bajau.
Gong yang dinamakan “Canang Kimanis" atau “Canang Tinukul” merupakan hantaran berian kahwin bagi masyarakat Kadazan Dusun di daerah Tambunan dan daerah Kota Marudu yang masih diamalkan hingga ke hari ini dan mempunyai nilai yang tinggi.
Gong juga digunakan sebagai alat memberi amaran atau isyarat untuk memberitahu sesuatu bencana berlaku atau pun isyarat orang meninggal. Jenis sesuatu isyarat boleh diketahui melalui rentak paluan gong tersebut.
Di daerah Tambunan, Gong yang dipalu dengan rentak “Dunsai” menandakan ada orang meninggal dunia dan rentak sebagai isyarat pemberitahuan kepada masyarakat setempat yang kemudiannya tersebar dari mulut ke mulut.
Gong digunakan sebagai alat komunikasai untuk menyampaikan berita kesedihan sebelum ada peralatan komunikasi canggih seperti telefon bimbit sekarang. Rentak “Monigagang” pula adalah untuk memberitahu bahawa ada kebakaran atau bencana alam berlaku.
Gamelan adalah himpunan alat muzik yang biasanya menonjolkan Metalofon, Gambang, Gendang, dan Gong.
Gamelan dikatakan berasal dari kepulauan Jawa dan Bali di Indonesia. Gamelan sendiri berasal daripada perkataan Jawa iaitu "Gamĕl" yang bermaksud “pukul” atau “tabuh”.
Gamelan telah diperkenalkan di Pahang ketika pemerintahan Sultan Ahmad Muadzam Shah. Pada 1913, Tengku Ampuan Mariam telah berkahwin dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah.
Mereka telah membawa gamelan ke Terengganu. Pada tahun 1914, apabila Sultan Ahmad Mangkat, isterinya Cik Zubedah telah berangkat ke Terengganu untuk tinggal bersama puterinya, Tengku Ampuan Mariam diistana.
Tengku Ampuan Mariam amat meminati gamelan. Oleh sebab itu,pada 1915 set Gamelan di bawah jagaanya di Pahang telah dibawa ke Istana Maziah, Terengganu. Beliau melatih pemuda-pemudi Terengganu untuk bermain dan menari tarian Gamelan.
Pada 1920, selepas kemahkotaan Sultan Sulaiman, usaha dipergiatkan dengan membawa bekas penari Pahang, Yang Khoja dan Cik Meriam untuk melatih para penari tarian Gamelan di Terengganu.
Sehingga tahun 1936, Sultan dan Permaisuri berjaya memiliki set Gamelan sendiri. Berbagai-bagai lagu dan tarian dicipta termasuk Lambang Sari, Geliung, Ketamrenjong, Togok, Gagak Seteru, Lancang Kuning dan sebagainya.
Gamelan dibuat daripada logam tembaga, kayu dan buluh sahaja.
Secara tradisionalnya, Gemalan dimainkan oleh lelaki sahaja. Ianya dimainkan secara berkumpulan, dan tidak ada seorang pun pemain yang kelihatan menonjol dalam sesuatu persembahan.
Gamelan selalu dikaitkan dengan upacara ritual kelahiran, perkahwinan dan kematian.
Kulintangan adalah warisan sejarah silam yang menjadi adat dan budaya di dalam nusantara yang di kenali sebagai alam melayu. Kulintangan adalah sejenis alat muzik tradisional yang berasal dari Sabah yang biasanya terdiri daripada 7 hingga 12 unit Gong cerek.
Peranan utama muzik Kulintangan dalam masyarakat adalah sebagai hiburan yang memeriahkan sesuatu majlis keramaian, sebagai contoh perayaan tuai, perarakan, majlis perkahwinan dan upacara menandakan kembalinya jemaah haji dari Mekah.
Hasil bunyian daripada Kulintangan juga pernah digunakan untuk menyampaikan mesej jarak jauh dari satu kampung kepada yang lain.
Kulintangan dibuat menggunakan kaedah proses acuan lilin. Fasa pertama adalah penciptaan acuan lilin Gong. Gangsa yang dicairkan dituang ke dalam mulut acuan keras, disejukkan ke suhu tertentu, dan kemudian acuan dipecahkan bagi mendedahkan Gong baru.
Gong ini disempurnakan, dibersihkan dan akhirnya, produk siap dipadatkan dengan menggunakan proses yang disebut tongkol, megetuk acauan tengah dari dalam untuk sedikit menaikkan padang Gong, atau memalu bos dari luar untuk menurunkan padang.
Alunan bunyi Gong juga perlu dititik beratkan didalam proses memalu ini agar sebarang kecacatan bunyi dapat diselaraskan agar bunyian merdu dapat di dengari.
Pada zaman gelap Eropah, teknologi besi tamadun Melayu di Asia Tenggara tidak diketahui oleh mereka. Penemuan terkini mendapati batu bata yang digunakan untuk membina istana dan kubu pertahanan oleh tamadun Melayu dahulu kini berkarat akibat orang melayu telah mencampurkan batu bata dengan unsur besi. Ini membuktikan kemunculan teknologi besi seperti Kulintangan dan Gong telah wujud semenjak awal kurun ke-11 lagi.
Kulintangan dimainkan dengan memalu benjolan Gong dengan dua pemukul kayu.
Teknik moden termasuk memutar-mutar pemukul-pemukul, menyesuaikannya di tengah-tengah, mengubah susunan gong sama ada sebelum atau semasa bermain, menyeberang tangan semasa bermain, mempamerkan rahmat alunan dan melodi.
Alat muzik Kulintangan dilarang bermain di masjid dan hari-hari penting bagi umat Islam seperti, Hari Raya Aidilfitri. Ini kerana muzik Kulintangan terdapat unsur animisme iaitu upacara penyembuhan ritual (pagipat), dan upacara keagamaan animisme (semangat alam). Meskipun praktik ini telah mati kerana datangnya agama Islam, tetapi beberapa daerah di Mindanao, Sabah, masih mempraktikkan tradisi kuno ini.
Canang merupakan sejenis alat muzik dalam keluarga Gong yang berukuran kecil. Berperanan sebagai alat 'penanda masa' (time marker) dalam ensembel paluan tradisional yang terdapat di Kelantan.
Kini, dua jenis canang yang sering dihasilkan ialah yang diperbuat daripada besi dan gangsa.
Dalam konteks persembahan yang berhubungan dengan teater tradisional, ia disertakan secara berpasangan iaitu canang 'ibu' dan 'anak'.
Manakala dalam ensembel bagi mengiringi tarian istana seperti Tarian Asyik, mengikut amalan semasa, canang digunakan sebanyak empat biji dilaraskan mengikut sistem diatonik yang mempunyai pic suara yang tepat (definite pitch).
Lazimnya dalam ensembel paluan Asyik, canang yang bernada seperti C, D, E dan G yang mengikut skala Major, digunakan untuk memainkan mod irama yang bersifat minimalisme iaitu secara berulang-ulang.
Tawak-tawak merupakan sebuah kerja tembaga dari Sarawak dan Brunei. Benjolan di tengah dan lilitan rim yang lebar membezakan Gong Tawak-tawak ini dengan Gong Thai dan Burma yang lebih rata dan lebih cetek.
Berbeza dengan kerja logam Gong Melayu dari semenanjung Malaysia yang lebih ringkas dan tidak melanggar larangan seni kiasan mengikut perspektif Islam, Gong Tawak-tawak lebih mengetengahkan ciri-ciri ideolisme Buddha keatas rekabentuk dekorasinya. Sebagai contoh, dekorasi seperti naga boleh dilihat disekeliling benjolan permukaan Gong Tawak-tawak ini.
Bunyian yang dihasilkan oleh tawak-tawak digunakan sebagai isyarat untuk memanggil orang ramai untuk berkumpul. Di Indonesia, kugiran-kugiran okestra gamelan memilih untuk tidak menggunakan Tawak-tawak didalam persembahan. Ini kerana Tawak-tawak dipercayai dihasilkan melalui sihir dan mantera, beberapa gong dipercayai dilindungi oleh makhluk ghaib (Singh, 1985).
Gong Tawak-tawak dalam bentuk yang sama terdapat didalam koleksi Muzium Negara Singapura, Muzium British, dan didalam Galeri Nasional Australia (NGA
RUJUKAN
• • •
Backman, M. (n.d.). Large Brass Gong (Tawak-tawak). Retrieved April 3, 2022, from https://www.michaelbackmanltd.com/archived_objects/tawak-tawak-brass-gong-borneo- sarawak-brunei/
Bilangbosku. (n.d.). Keunikan sejarah dan penghasilan Kulintangan yang unik. Retrieved April 3, 2022, from https://bilangbosku.com/kulintangan/
Dokumen. (n.d.). Sejarah Gamelan Terengganu. Retrieved April 3, 2022, from https://dokumen.tips/documents/sejarah-gamelan-terengganu.html
Educalingo. (n.d.). Gong. Retrieved April 3, 2022, from https://educalingo.com/en/dic-ms/gong
Ibrahim, N. (n.d.). Alat Muzik Masyarakat Melayu. Retrieved April 3, 2022, from
http://klikweb.dbp.my/?p=14152
Memori-Kedah (n.d.). Peralatan Muzik Melayu Tradisional - Kategori Alat-Alat Muzik Melayu Tradisi. Retrieved April 3, 2022, from https://www.memori-kedah.com/page_pengenalan.php?pageNum_Recordset1=1&totalRows_Recordset1=4&p=2&idstopic=10&idskandungan=69&mtopic=1
Panggonanduwek. (2011). Sejarah Gamelan Pahang. Retrieved April 22, 2022, from
http://princewilliamandqueen.blogspot.com/2011/05/sejarah-gamelan-pahang.html
Smoothlikebutter. (2018). MUZIK DAN ALATAN TRADISIONAL DI MALAYSIA. Retrieved April 22, 2022, from http://thegamelanhere.blogspot.com/2018/
Swettenham, F.A. (1895). Malay Sketches. London: John Lane.
Wan Abdul Kadir, Y. (1985). KEDUDUKAN TARIAN MELAYU TRADISI DALAM PROSES PERUBAHAN BUDAYA SEBELUM PERANG DUNIA KEDUA. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
YouTube. (2020). Why Gongs Are So Expensive | So Expensive. Retrieved Mei 25, 2022, from https://www.youtube.com/watch?v=rNP0eMgpt78
YouTube. (2018). GONG SUMANGKAP SABAH Documentary. Retrieved Mei 25, 2022, from https://www.youtube.com/watch?v=GEMzockZcp0