ANGKATAN PELUKIS KEDAH
Angkatan Pelukis Kedah yang lebih dikenali dengan APK telah ditubuhkan sebagai pertubuhan berdaftar pada 25 JANUARI 1977. Ketika itu Cikgu Jamaluddin Abdullah telah menerajui APK sebagai Yang Dipertua APK yang pertama. Kegiatan APK pada awal penubuhannya itu berpusat di Kompleks Pelbagai Guna, Jalan Stadium, Alor Setar di mana majoriti keahliannya terdiri daripada guru-guru pendidikan seni Kementerian Pelajaran Malaysia yang bertugas di Kota Setar.
Pameran Pertama APK telah diadakan pada tahun 1978 di Kompeks Pusat Pelbagai Guna, Alor Setar dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Kedah.
Mesyuarat Agung Tahunan APK pada 3 APRIL 1981 telah menyaksikan Dato' Ahmad Basri bin Mohd Akil yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah telah dilantik sebagai Yang Dipertua APK sehingga sesi 2006/2007.
Pada 31 OGOS 1981 Menteri Besar Kedah ketika itu YAB DATO' SERI SYED NAHAR SHAHABUDIN dalam ucapan perasmian Pameran dan Pertandingan Seni Lukis Hari Kebangsaan telah membawa berita gembira keputusan Kerajaan Negeri untuk menubuhkan Balai Seni Lukis Negeri Kedah dengan menjadikan Bangunan lbu Pejabat Jabatan Kerja Raya di Alor Setar sebagai Balai Seni Negeri Kedah.
Balai Seni Negeri Kedah ini telah selamat mendapat perkenan perasmian Ke Bawah DYMM TUANKU SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN pada 25 JULAI 1983.
Kerajaan negeri telah memberi pengiktirafan perjuangan APK sehingga tertubuhnya Balai Seni Negeri Kedah dengan memberi sebuah pejabat APK di Balai Seni Negeri Kedah dan menjadikan Lembaga Muzium Negeri Kedah sebagai penaung APK pada ketika itu.
Sehingga kini APK telah membantu kerajaan negeri membuat koleksi lebih daripada 200 buah karya bernilai jutaan ringgit termasuk hasil-hasil karya artis agung negara seperti Dato' Ibrahim Hussein, AB Ibrahim, Hoessein Enas, Amron Omar, Sharifah Fatimah Syed Zubir dan lain-lain lagi.
APK dan artis-artisnya bukan sahaja mengadakan siri pameran berpusat di Alor Setar dan Kedah sahaja, malah di Kuala Lumpur, Shah Alam, Perlis, Pulau Pinang, Perak, dan lain-lain. Artis-artis APK terdiri daripada mereka yang 'self-taught' dan yang berkelulusan tinggi dalam bidang ini.
Selain daripada aktiviti berpameran, APK juga giat mengadakan kelas bimbingan kepada khalayak ramai yang berminat tanpa mengira usia.
2.0 LOGO
Bentuk keseluruhan menggambarkan empat biji padi berlatar belakangkan bentuk bulatan dan empat segi.
Struktur empat biji padi melambangkan Negeri Kedah Darul Aman. Bentuk bulatan melambangkan ahli-ahli pertubuhan yang terdiri dari pelbagai bangsa dan bentuk segiempat melambangkan bingkai lukisan (frame).
Warna emas pada empat biji padi melambangkan nilai estetika. Warna hijau segi empat melambangkan warna alam semulajadi yang menjadi sumber inspirasi pelukis dan warna biru dalam bulatan pula melambangkan perpaduan ahli-ahli pertubuhan.
3.1 Menyatupadukan para pelukis dan peminat-peminat seni lukis di seluruh Kedah Darul Aman.
3.2 Mengutamakan seni yang berkeperibadian Malaysia sebagai teras seni kebangsaan.
3.3 Memelihara dan mengembangkan seni kebangsaan.
3.4 Bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan kesenian khasnya seni lukis Kebangsaan dan Antarabangsa amnya untuk kepentingan dan kemajuan Pertubuhan dan juga Kebangsaan.
3.5 Menambah pendapatan melalui pembelian saham, melibat dalam perniagaan, pelaburan dan pendidikan seni.
3.6 Menubuhkan kelas bimbingan dengan kutipan yuran dan lain-lain.
4.0 CARTA ORGANISASI JAWATANKUASA APK 2024-2026
Pengurus Google Sites : Mohd Yusoff Sahab, YDP Angkatan Pelukis Kedah @2025
Sebarang maklumat,sila hubungi :
Cikgu Yusoff - YDP (0134213472) Pn. Murni -Setiausaha (0105016774)
emel : apkgallery@gmail.com
ANGKATAN PELUKIS KEDAH CHANNEL