Pengenalan kepada NILAM dan AINS
Nadi llmu Amalan Membaca (NILAM) merupakan program membaca KPM yang telah dilaksanakan hampir 25 tahun lalu. NILAM merupakan gabungan semua aktiviti galakan membaca yang dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan kepada setiap pencapaian. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan jumlah bacaan yang dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah murid menamatkan persekolahan di peringkat rendah dan menengah. Program ini juga merupakan usaha KPM untuk membudayakan sikap suka membaca dalam kalangan murid secara berterusan sebagai salah satu proses pembelajaran sepanjang hayat. Pekeliling lkhtisas Bil. 13/1998 bertarikh 22 Mei 1998 menyatakan bahawa Program NILAM wajib dilaksanakan di semua sekolah seluruh negara.
Pada November 2021, Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) telah merangka pembangunan satu sistem yang boleh digunakan dengan mudah dan menarik minat murid untuk digunakan selaras dengan keperluan murid dan perkembangan teknologi hari ini. Selari dengan peredaran masa, perekodan aktiviti NILAM perlu ditambah baik dengan pembangunan Advance Integrated NILAM Sistem (AINS). Melalui sistem ini, murid-murid bukan sahaja boleh merekod bacaan tetapi membolehkan mereka merekod dan memberi ulasan (pengayaan) kepada maklumat dan pengetahuan yang diperolehi dari pelbagai sumber (buku, bahan bukan buku, & bahan digital).
Sistem ini akan memberi pengiktirafan kepada kuantiti pembacaan dan aktiviti pengayaan selepas pembacaan dengan penambahan elemen-elemen baharu seperti Al dan gamifikasi. Sistem AINS membantu memudahkan urusan guru untuk mengesahkan bacaan dan aktiviti pengayaan murid. Pengiktirafan bintang dan sijil disediakan secara dalam talian sejurus aktiviti lengkap dilaksanakan. Melalui paparan dashboard yang disediakan, rekod bacaan, bintang pengiktirafan dan penarafan tahap pencapaian NILAM murid di peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan dapat dipantau secara 'real time'.
Pada 22 Disember 2022, BSTP telah menyertai pertandingan inovasi dalam Program MyHACKHATON Kohort 2/2022 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan lnovasi (MOSTI). Pembentangan pernyataan masalah yang bertajuk "Solusi digital dapat meningkatkan budaya membaca dalam kalangan murid yang pelbagai" telah memenangi tempat pertama dengan memperolehi peruntukan pembangunan sistem bernilai RM250,000.00 oleh Cradle Fund. Proses pembangunan sistem telah dilaksanakan dengan mengambilkira input dari pemegang taruh dan bakal pengguna utama sistem iaitu Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dan juga murid. Ujian rintis fasa pertama telah dilaksanakan kepada 257 orang murid melibatkan 5 buah sekolah di negeri Selangor dan Perak. Kesemua murid yang terlibat memberikan maklumbalas yang sangat positif terhadap sistem yang mesra pengguna dengan paparan yang menarik.
Majlis serahan sistem AINS kepada KPM telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin bin Hassim Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan lnovasi (MOSTI) kepada Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia YBhg. Dato' lndera Nik Nasarudin bin Mohd Zawawi pada 16 November 2023.
Objektif NILAM
Meningkatkan minat dan budaya membaca dalam kalangan murid.
Meningkatkan tahap literasi maklumat ke arah matlamat murid fasih digital.
Meningkatkan kualiti penulisan dan daya berfikir murid melalui aktiviti pengayaan.
Pemantauan secara berpusat, tahap pembacaan murid.
Menyokong agenda Dasar Pendidikan Digital (teras 1 dan 2)