Anugerah Hari Belia Kebangsaan merupakan satu pengiktirafan dan penghargaan negara khusus kepada golongan belia sama ada bergerak secara persendirian mahupun secara berkumpulan melalui agensi seperti persatuan atau pergerakan belia di Negara Brunei Darussalam dalam bersama-sama menyahut titah serta hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam usaha menjadikan golongan belia sebagai satu aset yang perlu diberi keutamaan dan berharga serta merupakan kekuatan masa depan bagi sesebuah negara.
Pengiktirafan ini adalah sebagai satu wadah dan manifestasi dalam mendokong usaha dan potensi belia di negara ini serta satu penghargaan kepada golongan belia atas sumbangan diberikan dalam pembangunan belia seterusnya menuju ke arah hasrat untuk merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Bagi Anugerah Hari Belia Kebangsaan tahun 2025, sebanyak empat kategori anugerah akan diberikan iaitu Anugerah Belia Cemerlang, Anugerah Belia Berkhidmat, Anugerah Pemimpin Muda Belia dan Anugerah Projek Cemerlang Untuk Belia.