Seiring dengan aspirasi pembangunan negara berteraskan kerangka Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, kemampanan dan pembinaan modal insan berakhlak, sistem pendidikan negara terus diperkukuh melalui dasar pendidikan yang holistik dan berteraskan nilai. Selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan guru berperanan penting dalam melahirkan pendidik yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Majlis Tilawah, Tafsir dan Hafazan al-Quran (MTTHQ) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026/1447H merupakan salah satu wahana strategik dalam usaha melahirkan guru masa hadapan yang berakhlak mulia, berdaya saing dan berjati diri, sejajar dengan visi IPGM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ianya selari dengan hasrat pendidikan negara ke arah pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027, penekanan terhadap pembinaan sahsiah, nilai kerohanian, kepimpinan beretika dan pemikiran reflektif menjadi teras utama dalam pembangunan kemenjadian guru. MTTHQ bukan sekadar platform pertandingan, malah berfungsi sebagai medium penghayatan al-Quran secara holistik melalui tilawah, tafsir dan hafazan bagi membentuk karakter pendidik berjiwa madani dan bersedia mendepani cabaran pendidikan abad ke-21.
Orientasi ilmu akademik yang kebanyakannya berkisar dengan teori, konsep serta kertas ujian tidak cukup untuk melahirkan guru yang berada dalam sistem pendidikan alaf baru yang memerlukan guru yang dapat memimpin dan mengurus pelajarnya dengan kebijaksanaan, komunikasi berkesan, serta mempunyai strategi yang bijak dalam pengajaran dan pembelajaran. Pengalaman di dalam pengelolaan dan penglibatan sesuatu program adalah alat yang amat penting dalam kemenjadian siswa guru IPG. Proses pengelolaan dan pelaksanaan MTTHQ akan menjadi satu medium yang dapat memastikan agenda pembentukan guru yang berakhlak mulia, mempunyai jati diri serta terdidik dengan nilai-nilai murni. Oleh yang demikian adalah amat penting pelajar diberikan peluang melibatkan diri dalam aktiviti seperti MTTHQ.
Menjadi wahana strategik dalam melahirkan siswa guru yang berakhlak mulia dan berjati diri melalui aktiviti tilawah, tafsir, dan hafazan bagi membentuk karakter pendidik berjiwa madani.
Memberi peluang kepada pelajar untuk menggilap potensi diri, mengasah bakat kepimpinan, serta meningkatkan kualiti insaniah melalui pengalaman pengelolaan dan penglibatan dalam program berprestij peringkat kebangsaan.
Melahirkan guru masa hadapan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek serta kempeten dalam mendepani cabaran pendidikan abad ke-21 seiring dengan visi IPGM dan Kementerian Pendidikan Malaysia.