Lencana Keahlian

Untuk lulus Lencana Keahlian seseorang perlu lulus ujian-ujian berikut : 

1. Peraturan pakaian seragam Pengakap.

2. Prinsip Rukun Negara.

3. Lambang Pengakap Malaysia & Lambang Pengakap Sedunia.

4. Persetian Pengakap & Undang-undang Pengakap.

5. Hormat Pengakap & Cogan Kata Pengakap.

6. Sejarah Pengakap Malaysia & Sejarah pengasas Pengakap, Lord Baden Powell.

7. Simpulan & ikatan 

Peraturan pakaian seragam Pengakap

Prinsip Rukun Negara

Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam 

kalangan seluruh masyarakatnya;

Memelihara cara hidup demokrasi;

Mencipta satu masyarakat yang adil di mana

kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama

secara adil dan saksama;

Menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi

kebudayaannya yang kaya dan pelbagai corak;

Membina satu masyarakat progresif yang

akan menggunakan sains dan teknologi moden;

MAKA KAMI, rakyat Malaysia, berikrar

akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami

untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan

prinsip-prinsip yang berikut:

• KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN

• KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

• KELUHURAN PERLEMBAGAAN

• KEDAULATAN UNDANG-UNDANG

• KESOPANAN DAN KESUSILAAN


Lambang Pengakap Malaysia & Lambang Pengakap Sedunia

a) Terdapat 3 kelopak pada lambang yang membawa maksud 3 Persetiaan Pengakap iaitu:

Taat kepada Tuhan,Raja dan Negara,

Menolong orang setiap masa,

Menurut undang-undang Pengakap.

b) Bintang pecah lima (berwarna hijau) menandakan undang-undang Pengakap yang sepuluh.

c) Ikatan hijau yang mengikat kelopak melambangkan “Persaudaraan Pengakap”

d) Bintang pecah 14 melambangkan “Kesemua negeri-negeri dalam Malaysia”

e) Bulan Sabit menandakan “Agama rasmi Negara iaitu Agama Islam”.

f) Lingkaran Tali melambangkan “Perpaduan Rakyat Malaysia dan Persaudaraan Pengakap Sedunia”.

g) Warna kuning,hijau,merah yang terdapat pada lambang menandakan unit-unit Pengakap:

      Kuning                – “Pengakap Kanak-Kanak”,

      Hijau                          – “Pengakap Muda”,

     Merah                         – “Pengakap Remaja”

h) Warna kuning pada bulan sabit dan bintang juga melambangkan warna diraja bagi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.


        a) Pecahan tiga kelopak-melambangkan Persetiaan Pengakap yang  tiga, iaitu taat
        kepada Tuhan, taat kepada Raja dan taat kepada Negara.

b) Dua buah bintang pecah lima warna ungu pada kelopak kiri dan kelopak kanan-melambangkan Undang-undang Pengakap yang sepuluh itu.

c) Ikatan putih-menunjukkan ikatan persaudaraan Pengakap.

d) Lingkaran tali berwarna putih-melambangkan persaudaraan Pengakap Sedunia.

e) Warna ungu-warna Biro Pengakap Sedunia.

f) Warna putih-kesucian dan kebersihan.

Persetian Pengakap & Undang-undang Pengakap

Persetiaan Pengakap

Bahawa dengan sesungguhnya, saya berjanji dan bersetia, yang saya, dengan seberapa daya upaya saya, akan;

Taat kepada Tuhan, Raja dan Negara

Menolong orang pada setiap masa

Menurut Undang-Undang Pengakap

Undang-Undang Pengakap

1)  Pengakap adalah seorang yang sentiasa dipercayai maruah dan kehormatan dirinya.

2)  Pengakap adalah seorang yang taat kepada Yang Dipertuan Agong, Raja-raja, pemimpin-pemimpin, ibu bapanya, majikannya dan orang-orang dibawahnya.

3)  Pengakap adalah wajib menjadikan dirinya berguna dan menolong pada setiap masa.

4)  Pengakap adalah sahabat kepada sekalian orang dan saudara kepada lain-lain Pengakap walau apa negeri, pangkat dan agamanya sekalipun.

5)  Pengakap adalah seorang yang baik dan sempurna budi pekertinya dan sentiasa berbudi.

6)  Pengakap adalah baik dan kasih kepada segala binatang.

7)  Pengakap adalah seorang yang sentiasa menurut perintah dan suruhan ibu bapanya, Ketua Patrolnya atau Pemimpin-pemimpin Pengakapnya dengan tanpa apa-apa soalan.

8)  Pengakap adalah seorang yang sentiasa bersabar dan manis mukanya dalam masa kesusahan.

9)  Pengakap adalah seorang yang jimat dan cermat.

10)  Pengakap adalah bersih dan suci fikirannya, perkataannya dan perbuatannya.

Hormat Pengakap & Cogan Kata Pengakap.

CARA HORMAT PENGAKAP

Hormat Pengakap dilakukan dengan mengangkat tangan kanan dengan 3 jari (jari telunjuk, hantu & manis) dirapatkan hampir dengan kening mata kanan. Ibu jari menindih jari kelingking.

 

MAKNA HORMAT PENGAKAP

Tiga jari yang dirapatkan mengingatkan kepada Persetian Pengakap iaitu:

•  Taat kepada Tuhan, Raja dan Negara

•  Menolong orang pada setiap masa

•  Menurut Undang-undang Pengakap.

Ibu jari membawa maksud Undang-Undang Pengakap. Jari kelingking membawa maksud ahli pengakap. Simbol ibu jari menindih jari kelingking membawa maksud sebagai seorang ahli pengakap, kita ditekankan supaya sentiasa mematuhi 10 Undang Undang Pengakap.

Manakala hasil dari pertautan ibu jari dan jari kelingking bermaksud persaudaraan pengakap tanpa mengira pangkat, darjah maupun keturunan

 

Hormat Pengakap dilakukan apabila:

•  Menemui pengakap lain, sama ada dalam atau luar negeri, iaitu menandakan persaudaraan dan penghormatan.

•  Menemui pemimpin, penolong pemimpin pengakap dan ketua patrol.

•  Berada di dalam istiadat-istiadat menerima anugerah, sijil dan sebagainya.

•  Lagu kebangsaan dan lagu negeri dinyanyikan.

•  Selesai menaikkan bendera Malaysia, bendera negeri dan bendera pengakap.

 

Salam Penghormatan 

Kepada ketua

Kepada bendera yang dinaikkan

Kepada lagu kebangsaan dimainkan

Kepada jenazah 

Salam Biasa 

Kepada pembesar-pembesar negeri atau negara

Kepada pemimpin

Kepada saudar Pengakap 

Salam Persetiaan

Waktu perlantikan

Membuat persetiaan (Salam tiga jari diangkat setinggi bahu dan tapak tangan hadapan) 

 COGAN KATA PEGAKAP (SCOUT MOTTO)

Cogan kata bagi unit-unit dan Persekutuan Malaysia adalah berbeza-beza di antara satu sama lain. Cogan kata bagi unit-unit tersebut:

•  Pengakap Kanak-kanak (Cub Scout)    - Buat Sehabis Baik

•  Pengakap Muda (Boy Scout)                - Selalu Sedia (Be Prepared / 随时准备)

•  Pengakap Remaja (Rover Scout)          - Pandangan Luas

•  Pengakap Kelana                                  - Berkhidmat


Sejarah Pengakap Malaysia

Sedikit benar negara-negara di Asia yang telah membuat kemajuan yang begitu banyak dan dengan sebegitu cepat seperti Malaysia dalam tempoh 60 tahun yang lalu. Masa-masa dahulu adalah masa yang menggembirakan, penuh dengan berbagai-bagai sukaran dan bahaya. Bagi menunjukkan setakat mana berPengakap itu disukai ramai, ialah dengan adanya sekurang-kurangnya satu kumpulan Pengakap ditiap-tiap bandar dan kampong dinegeri ini. Sebabnya Pergerakan ini telah berkembang dengan derasnya, tidaklah payah dicari jauh-jauh. Pengakap tiba dinegeri ini dari awal 1910 lagi, dua tahun selepas dimulakan di Great Britain oleh Lord Baden Powell.

 

 Seorang daripada peneroka di Great Britain, Encik F.C. Sands telah datang ke Singapura dalam tahun 1910 dan memulakan penubuhan pasukan pertama dijajahan ini. Bermula dengan dua pasukan Seramai 30 orang ahlinya di Singapura, Pergerakan ini merebak keseluruh Malaysia dan pada hari ini mempunyai pengikut lebih dari 65000 orang terdiri daripada Pengakap Kanak-Kanak, Pengakap, Pengakap Kelana dan Pemimpin-Pemimpin Pengakap. Semenjak itu kemajuannya adalah tetap dan Pengakap telah beransur-ansur muncul dinegeri yang dahulunya Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Pasukan Pengakap yang pertama bagi budak-budak Melayu yang tahu bahasa Inggeris telah ditubuhkan dalam tahun 1919 dibawah pimpinan Kapten N. M. Hashim dan Encik A. Z. Alsagoff

 

Pahang adalah negeri yang pertama sekali dinegeri ini mengalu-alukan Pengakap apabila satu pasukan telah ditubuhkan di Pekan oleh Encik G. M. Laidlaw tetapi apabila dia mati satu apapun tiada dibuat beberapa tahun. Pengakap dihidupkan semula hanya dalam tahun 1927 oleh Encik H. R. Hertslet yang kemudiannya diikuti oleh Encik Wheeler dan Encik Frisby dari Pejabat Pelajaran Pahang.

Pengakap telah dimulakan di Pulau Pinang oleh seorang ahli pendidik yang masyhur iaitu Encik H. R. Cheeseman. Pasukan Pengakap yang pertama telah didaftarkan dalam tahun 1915 di Sekolah Free, Pulau Pinang. Sungguhpun telah difahamkan bahawa satu pasukan percubaan telah diadakan dari awal 1908 lagi. Pasukan Pengakap yang pertama sekali disekolah Melayu adalah dimulakan di Pulau Pinang.

 

 Encik Cheeseman adalah “nyawa Pergerakan” di Pulau Pinang dimana beliau telah memimpin Pergerakan itu selama 13 tahun sebelum bertukar ke Johor dalam tahun 1928. Pada satu masa, beliau adalah Penolong Pesuruhjaya bagi Malaya dan semasa dalam jawatan itu dia telah memainkan peranannya yang penting dalam membina Pergerakan itu diseluruh negeri. Dia telah dianugerahkan pingat Silver Wolf dalam tahun 1927.

 

Pemimpin-pemimpin Pengakap yang lain-lain yang terkemuka di Pulau Pinang yang telah memberi perkhidmatan kepada Pergerakan ini ialah Allahyarham Encik S.M. Zainal Abidin, Encik Khoo Sim Teong, Encik Oon Hoot Ewe dan Encik Basha Merican. Kedua-dua Encik S. M. Zainal Abidin dan Encik Khoo Sim Teong yang menjadi Penolong Pesuruhjaya Daerah bagi Pulau Pinang dalam tahun 1930 telah mula sebagai rekrut dalam tahun 1915 dan 1916 masing-masingnya

 

Encik S. M. Zainal Abidin juga telah memberi perkhidmatan yang baik dengan menterjemahkan buku-buku Pengakap kebahasa Melayu dan ini menggalakkan penubuhan banyak lagi pasukan-pasukan dalam sekolah Melayu diserata negeri. Mereka telah dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Baik kerana jasa-jasanya kepada Pergerakan.

 

Orang yang bertanggungjawab pada mengembangkan Pengakap di Perak adalah Encik H. R. Hertslet, Pesuruhjaya Daerah bagi negeri itu. Dia telah dibantu oleh Encik Keir, dahulunya Nazir Sekolah-Sekolah di Perak, Encik L. R. Wheeler, Encik Ahmad Jalalludin dan Encik D. C. Doral. Encik L. R. Wheeler telah memulakan pasukan Pengakap yang pertama di Perak iaitu di Maktab Melayu Kuala Kangsar dalam tahun 1926 dan dalam tahun itu juga dia telah dianugerahkan pingat Silver Wolf sementara Encik D. C. Doral menerima Pingat Perhidmatan Baik dalam tahun 1930. Diantara sekolah-sekolah pada masa-masa yang awal, yang ada Pasukan Pengakap ialah Sekolah Anderson, Sekolah Anglo-Chinese dan Sekolah St. Michael kesemuanya di Ipoh dan Sekolah St. George di Taiping. Lebih banyak lagi pasukan-pasukan telah ditubuhkan dibandar-bandar yang lain di Perak dalam tahun dua puluhan iaitu tahun yang banyak penubuhan Pengakap di Malaysia.

 

 Pemimpin-pemimpin Pengakap yang lain-lain terkemuka di Perak sebelum dan selepas Peperangan Dunia Yang Ke 2 ialah Encik Chong Wan Fook, Encik V. Arumukham, Encik Mangal Singh, Tuan Haji Abdullah bin Haji Mohd Salleh dan Encik F. G. H. Parry. Seorang lagi Pemimpin Pengakap tempatan yang terkemuka di Perak ialah Encik Abdul Kuddus bin Mohamed, di Maktab Latihan Sultan Idris, Tanjung Malim yang telah dilantik menjadi Penolong Pesuruhjaya Daerah. Dia telah dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Baik dalam bulan Januari Tahun 1948. Kedah mempunyai pasukan Pengakapnya yang pertama dalam tahun 1922. Banyak lagi pasukan-pasukan telah ditubuhkan dalam tahun-tahun yang berikut. Peneroka disni ialah Encik E. C. Hicks, Encik E. A. G. Stuart, Encik R. P. S. Walker dan Encik C. W. Bloomfield.

Pengakap mula di Johor pada awal-awaltahun 1928 dengan kedatangan Encik H. R. Cheeseman dari Pulau Pinang. Dua pasukan mula-mula ditubuhkan di Maktab Inggeris Johor Bahru. Dengan persetujuan Encik F. C. Sands, seorang Pemimpin Pengakap dari Singapura iaitu Encik Abdul Hamid datang ke Johor Bahru pada tiap-tiap hari Khamis memberi latihan kepada mereka. Tidak berapa lama Pengakap merebak pula kelain-lain bandar dalam negeri itu iaitu di Muar, Batu Pahat dan Segamat. Johor adalah bernasib baiK dengan adanya sebilangan Pemimpin-pemimpin tempatan yang datang membantu perkembangan Pengakap dalam negeri itu.

 

Diantara peneroka-peneroka yang awal ialah Encik M. C. M. Chill, Encik R. A. Logan, Encik Mohd Salleh bin Hassan, Encik Hans Raj, Encik Krishnan, Encik Chiang Mong Hoe, Encik Ng Ah Ow, Encik Abdul Wahid, Encik Hashim b Haji Ali, Encik Sivaguru Pillai dan Dato Syed Esa yang khasnya bertanggungjawab pada menubuhkan pasukan-pasukan Pengakap di sekolah-sekolah Melayu bersama-sama dengan Encik Shukor, Muar.

Dato Syed Esa adalah diantara Pemimpin Pengakap yang mula-mula sekali dihantar ke Gilwell Park, England dan berkelayakan menjadi Timbalan Ketua Perkhemahan. Dia juga adalah Ketua Pesuruhjaya Negara Malaysia sebelum daripada bersara daripada mengambil bahagian cergas dalam Pengakap dalam tahun 1968.

 

Pengakap bermula di Melaka dalam tahun 1925 dan dalam tahun itu juga Persekutuan Pengakap Melaka telah ditubuhkan dengan Encik R. Brunston menjadi Pesuruhjaya Daerahnya yang pertama. Apabila Encik Brunston pergi dalam tahun 1928, tempatnya diambil oleh Encik Fuller. Dalam tahun 1930 Encik R. P. S. Walker yang dahulunya di Kedah datang ke Melaka dan menjadi Pesuruhjaya Daerah. Diantara pemimpin-pemimpin tempatan yang telah memberi khidmat di Melaka ialah Encik B. P. Richards, Encik R. Sathasivam dan Encik Loh Hung Loon.

Negeri Sembilan sebagaimana jirannya Melaka telah memulakan Pengakap dalam tahun 1925 dengan Encik Bird dan Encik Roger Smith sebagai Pesuruhjaya Daerah dan Penolong Pesuruhjaya Daerah. Pada masa yang awal-awal berpengakap dinegeri itu, mereka yang berikut ini adalah orang kuat pergerakan itu – Major Neilson, Encik Gunn, Encik Nicol dan Encik Sundram. Lain-lain orang kuatnya ialah Encik O. E. Fernandez, Encik L. V. C. D’Souza, Kapten Mohamed Salleh bin Haji Suleiman, Raja Mohd Noordin, Encik Ngui Choon Jin, Encik E. M. F. Payne. Kesemuanya ini telah menerima Pingat Perkhidmatan Baik.

 

Satu percubaan telah dibuat dari awal-awal tahun 1909 lagi untuk mengadakan Pengakap di Selangor tetapi tidak ada apa-apa kemajuan. Dalam tahun 1926 sahaja barulah Pergerakan itu terdiri dengan tetapnya dinegeri itu. Orang kuat Pergerakan itu dalam tempoh awal-awal dahulu ialah Encik Ameen Akbar. Yang lain-lain yang patut dipuji ialah Encik G. Barber, Encik B. E. Shaw, Encik C. G. Coleman, Encik H. S. Duncan, Encik E. S. Redfearn, Encik Sze Chan Chew, Encik Mohd Yusof bin Ahmad dan Kapten Mohamed Ali bin Mohamed. Dalam tahun 1918 Pasukan Pengakap Kanak-kanak Selangor yang pertama sekali telah ditubuhkan dengan Encik H. C. Chan dari Sekolah Victoria sebagai pemimpinnya. Apabila Persekutuan Tempatan Selangor ditubuhkan dalam tahun 1926, Encik J. R. Kellam telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Daerah dan Encik Ameen Akbar, Penolong Pesuruhjaya Daerah.

 

 Terengganu telah memulakan Pengakap dalam tahun 1926 dibawah Encik A. J. Gracie. Kelantan dan Perlis adalah negeri yang terkemudiannsekali di Malaysia menubuhkan pasukan Pengakap. Yang terkemuka diantara pemimpin-pemimpin dinegeri-negeri ini ialah Raja Mohamed Zahid, Dungun. Tengku Ahmad Temenggong dan Tengku Mahideen daripada Kelantan. Mereka kesemuanya menerima Pingat Perkhidmatan Baik. Dalam tahun-tahun yang awal, Berpengakap di Perlis adalah dibawah kawalan Persekutuan di Kedah tetapi kemudiannya negeri itu ada Persekutuannya sendiri.

Sandakan di Sabah, mempunyai Pasukan Pengakap yang pertama di Malaysia Timur dalam tahun 1913 dan Pergerakan itu mengambil masa lebih 9 tahun untuk mendapatkan pengikut-pengikut dan pembantu-pembantu dibandar-bandar yang lain dinegeri itu.

Berpengakap telah muncul di Sarawak dalam tahun 1915 tetapi berhenti bergerak dalam tahun-tahun dua puluhan. Percubaan kedua telah dibuat dalam tahun-tahun tiga puluhan dan semenjak itu Pergerakan telah subur dengan adanya.

 

 Sebelum Malaysia merdeka, Persekutuan Budak-budak Pengakap Kawasan Malaya, mewakili Pergerakan dinegeri ini dengan tiap-tiap sebuah negeri debagai daerah Pengakap. Selepas Peperangan Dunia Yang Kedua, pendirian itu telah disusun semula dengan Malaya dan Singapura menjadi dua cawangan Persekutuan Budak-budak Pengakap Great Britain.Dengan susunan semula itu, tiap-tiap  negeri menjadi satu pertubuhan yang terdiri dari beberapa Daerah Pengakap, tiap-tiap daerah ada Persekutuan-persekutuan Tempatannya. Badan kebangsaan sekarang terkenal sebagai Persekutuan Budak-budak pengakap Tanah Melayu telah menjadi satu badan yang berasingan dan bebas, dan menjadi ahli penuh dalam Persidangan Pengakap Sedunia pada 1hb September 1957.

 

Dengan wujudnya Malaysia, Persekutuan Budak-budak Pengakap Singapura, Sarawak dan Sabah berhenti menjadi cawangan-cawangan Persekutuan Budak-budak Pengakap Great Britain. Persekutuan Budak-budak Pengakap Malaysia telah ditubuhkan dalam bulan November 1964 dengan dengan Persekutuan Budak-budak Pengakap Singapura, Sarawak dan Sabah menjadi cawangan-cawangannya. Walau bagaimana pun, apabila Singapura berpisah daripada Malaysia dalam bulan Ogos 1965, Persekutuan Budak-budak Pengakap Singapura berhenti daripada menjadi cawangan Persekutuan Budak-budak Pengakap Malaysia.

 “Rumah B. P.” di Jalan Davidson, Kuala Lumpur adalah Ibu Pejabat Kebangsaan Persekutuan Budak-budak Pengakap Malaysia. “Rumah B. P.” yang telah dibina dengan harga $150,000 telah dibuka dengan rasminya pada 5hb Januari 1957 adalah peristiwa yang penting sekali diadakan kerana merayakan 50 Tahun Kejayaan Pengakap Sedunia. Ia juga adalah nadi bagi gerakan-gerakan Pengakap diseluruh negara dan satu perhubungan yang kekal diantara Pengakap-pengakap di Malaysia dan diseberang laut, ada seorang Pesuruhjaya Kerja Kebangsaan yang bekerja sepenuh masa. Disinilah Ketua Pesuruhjaya Negara mengarahkan gerak kerja Persekutuan Budak-budak Pengakap Malaysia yang ada cawangan-cawangannya disegenap pelusuk negeri ini.

Sejarah Pengasas Pengakap - Lord Baden Powell

Lord Baden Powell

Lord Baden Powell 

Nama Penuh                    : Robert Stephenson Smith Baden Powell

Nama Singkatan                     : BP

Tarikh Lahir                          : 22 Februari 1857

Tempat Lahir                         : London, England

Pendidikan Awal            : Charter House, London

Pekerjaan                             : Bekas Mejar Tentera British

Nama Bapa                         : Reverend H.G Baden Powell

Nama Isteri                         : Lady Olive Baden Powell

Tarikh Meninggal Dunia     : 8 Januari 1941 dan disemadikan di Kenya.


Pengakap telah diasaskan oleh seorang bangsa lnggeris bernama Robert Stephenson Smyth Baden-Powell yang terkenal dengan nama Lord Baden-Powell atau BP. Baden-Powell dilahirkan di bandar London, England pada 22 Februari 1857, dan meninggal dunia pada 8 Januari, 1941. Bapa Baden-Powell bernama Reverend H.G. Baden-Powell adalah seorang mahaguru di Universiti Oxford, London, England. Ibunya ialah anak kepada Laksamana British bernama W.T. Smyth. Sewaktu Baden-Powell berusia tiga tahun, bapanya meninggal dunia dan tinggallah beliau bersama ibunya dalam keadaan yang sederhana.

 

Pada zaman persekolahan Baden-Powell banyak menceburkan diri dalam kegiatan sekolahnya seperti berlakon, menyanyi dan menembak. Dalam masa cuti sekolah Baden-Powell bersama-sama tiga orang abangnya selalu pergi mengembara berjalan kaki berkhemah, belayar dan berperahu. Setelah berjaya dalam peperiksaan tentera, BP telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda dan mula berkhidmat dalam tentera di India dan Afghanistan dalam tahun 1876, kemudian ke Natal (Zululand) dan Malta sebagai penolong Setiausaha Tentera.

 

Beberapa tahun kemudian beliau dihantar bertugas di Afrika Barat untuk menamatkan satu peperangan di Ashanti, Ghana. Di situ beliau digelar KANTANKYE yang bermaksud Topi Besar. Dalam peperangan Baden-Powell sentiasa berhati-hati terhadap pergerakan musuh hinggakan beliau digelar IMPEESA yang bermaksud Serigala yang tak pernah tidur.Dalam tahun 1897, BP dinaikan pangkat menjadi Kolonel dan ditempatkan di India untuk memimpin Dragoon Guard ke 5. Beliau telah memberi hadiah kepada askar-askar yang menunjukkan kebolehan yang baik dengan satu lencana bergelar SCOUTS (Peninjau).


Dalam tahun 1899 Baden-Powell pulang ke England membawa sebuah buku yang dikarangnya semasa di Kashmir berjodol Aids To Scouting. Buku itu mengandungi kisah peninjauan di India. Tidak lama kemudian, Baden-Powell telah dihantar ke Afrika Selatan untuk menambahkan dua rejimen askar berkuda untuk mempertahankan sempadan British dari serangan orang Boer iaitu puak keturunan pendatang Belanda. Orang-orang British telah mengepung bandar Mafeking, iaitu sebuah bandar jajahan British, dengan itu mencetuskan satu peperangan besar yang dinamakan Peperangan Boer. Dalam peperangan itu, Baden-Powell hanya mempunyai seramai 1,000 orang askar berbanding dengan 9,000 orang Boer. Dengan tipu helah, beliau meletakkan periuk api pasir dan papan tanda BAHAYA sehingga beliau telah berjaya memperdayakan orang-orang Boer. Beliau telah menggunakan budak-budak untuk mengintip rahsia musuh. Akhirnya Baden-Powell berjaya memenangi peperangan itu.


Di atas kemenangan itu, beliau telah dinaikkan pangkat Mejar Jeneral ketika berumur 43 tahun, pegawai yang termuda menerima pangkat itu. Selepas perang Boer, Baden-Powell diarahkan menubuhkan pasukan polis Afrika Selatan dan dilantik sebagai Jeneral Tentera Berkuda. Beliau menjadi Jeneral pasukan tentera Simpanan ketika berumur 50 tahun.

Setelah bersara dari tentera, Baden-Powell pulang ke England dan telah menganjurkan satu perkhemahan di Pulau Browsea selama 10 hari pada tahun 1907. Seramai 21 orang budak-budak turut serta dalam perkhemahan itu. Baden-Powell menggunakan idea berpandukan kepada pengalamannya dalam peperangan Mafeking dan buku "Aids To Scouting". Budak-budak itu dibahagikan kepada empat patrol. Mereka belajar dan berlatih cara berkhemah, memasak, memerhati, mengembara, berperahu, menyelamat nyawa dan mengesan jejak. Pada malamnya diadakan unggun api. Perkhemahan di Pulau Browsea berjaya dan amat diminati oleh budak-budak yang menyertainya. 

 

Selepas itu dalam tahun 1908, Baden-Powell pula mengarang sebuah buku berjudul "Scouting For Boys". Kandungannya berdasarkan kepada pengalaman beliau semasa menjadi askar di India dan Afrika serta perkhemahan budak-budak di Pulau Browsea. Buku itu telah memikat hati budak-budak. Dengan itu wujudlah Pergerakan Pengakap. Dalam tempoh setahun sahaja Pergerakan Pengakap berkembang di England dan merebak ke Australia, Canada, New Zealand dan Afrika Selatan. Berikutnya pada tahun 1909, Pergerakan Pengakap ditubuhkan di Chile, Amerika Syarikat, Ghana, India dan selepas itu di seluruh dunia.


Simpulan & ikatan 

Buku Sila (Reef Knot)

Buku sila adalah simpulan yang kerap digunakan bagi menyambung dua utas tali yang sama besarnya. Simpulan ini tegap dan tidak boleh terlucut. Biasanya, simpulan ini digunakan untuk mengikat benda-benda kecil dengan mengunakan tali yang kecil danringan seperti bungkusan, mematikan simpulan dalam balutan bandage dan untuk mengikat khemah yang sudah dilipat atau bagi menikat layar.

Bunga Geti (Sheet Bend)

Simpul bunga geti digunakan untuk menyambung dua tali yang sama besar dan tali yang tidak sama besar. Ia juga digunakan untuk mengikat tali ke suatu tanjul.

 Simpul Manuk (Clove Hitch)

Simpul manuk digunakan untuk mengikat tali pada tiang atau balak. Simpulan yang digunakan tidak mudah terburai dan kayu dapat ditarik atau diangkat ke tempat yang dikehendaki dengan selamat. Simpul manuk digunakan juga semasa memulakan dan mematikan ikat seraya, ikat silang gunting dan lilit kacang/ular.

Tindih Kasih (Bowline)

Simpul ini digunakan untuk membuat tanjul yang tidak boleh menjerut. Simpul tindih kasih sangat berguna dalam kerja-kerja semasa menyelamat. Simpul ini akan diikat pada pengang si malang. Kemudian si malang akan ditarik ke tempat yang selamat.

 

 Lilit Dua Simpul (Round Turn & Two Half Hitches)

Lilit dua simpul digunakan bagi mengikat hujung tali kepada tiang, pokok, kayu, gelung atau tali yang lain supaya ia tidak terlucut. Ia digunakan juga untuk mengikat hujung tali khemah.

 

 Lilit Pemati Biasa (Common Whipping)

Lilit pemati biasa digunakan untuk mematikan hujung tali supaya hujung tali itu nampak kemas dan tidak terbuang.