Pada 20 Oktober 2018, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) telah mengadakan Program Amal Penanaman Pokok “Let’s Go Green” dengan jayanya. Sebanyak 118 unit anak pokok telah berjaya di tanam di sekitar kompleks FPSK hasil sumbangan derma pensyarah, staf dan jabatan. Hampir kesemua anak pokok yang ditanam tumbuh dan membesar dengan baik walaupun menghadapi cabaran serangan anai-anai, penyakit dan tanah yang tidak sesuai.
Inisiatif dan usaha murni melestarikan tumbuhan hijau di sekitar FPSK wajar diteruskan dengan kaedah pelaksanaan yang lebih terancang, tersusun dan berterusan. Membahagikan persekitaran fakulti kepada beberapa zon dan menyerahkan kawasan tersebut kepada tanggungjawab jabatan dan pejabat untuk menjaga dan memastikan keindahannya terpelihara, akan mengukuhkan sikap keprihatinan dan cakna warga fakulti kepada ekosistem kerja yang bersih dan kondusif.
Selain mengurangkan kos penyelenggaraan landskap, adalah disarankan aktiviti gotong royong berskala kecil di kalangan warga jabatan/ pejabat pada setiap 2 minggu sekali atau sebulan sekali diadakan, untuk mengeratkan kemesraan dan mengurangkan jurang perbezaan staf. Malah boleh menjadi satu wadah melepaskan tekanan kerja dan memelihara kesejahteraan mental.
Sehubungan itu, sebagai kesinambungan kepada kepada program “Let’s Go Green” sebelum ini, dan perintis kepada usaha tersebut di atas, Pejabat Am Dekan dengan kerjasama Kelab Kebajikan dan Rekreasi FPSK, bercadang untuk mengadakan Program Penanaman Pokok “Let’s Go Green 2.0” dan Gotong Royong Perdana Pengindahan Landskap FPSK 2024.