PENGENALAN
Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sains Rumah Tangga (SRT) adalah satu Mata Pelajaran Elektif Ikhtisas (MPEI) dalam kelompok Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) untuk Tingkatan 4 dan 5. Pada dasarnya, MPEI memberi fokus kepada keperluan perubahan terhadap kurikulum dan pentaksiran berasaskan kompetensi yang merujuk standard industri, badan profesional dan badan pensijilan kebangsaan dan antarabangsa. Seiring dengan matlamat ke arah negara maju dan perkembangan teknologi dalam industri, pembangunan kurikulum MPEI berasaskan kompetensi merupakan satu inisiatif dalam usaha menyediakan modal insan menyeluruh dan seimbang, berakhlak mulia, kritis, kreatif, inovatif serta memiliki kemahiran insaniah dengan mengamalkan budaya profesional bagi menghadapi cabaran abad ke-21.
MPEI tampil dengan fitur baharu berasaskan kepada standard badan pensijilan dan badan profesional yang menetapkan set kompetensi yang perlu dicapai untuk menyediakan asas yang kukuh bagi murid melanjutkan pelajaran dalam bidang yang sama ke peringkat tertiari di samping mempunyai nilai tambah penguasaan kompetensi standard industri. SRT merupakan penjenamaan semula bagi mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga (ERT) Tingkatan 4 dan 5 yang telah dilaksanakan mulai tahun 1992. SRT mengekalkan pengajian dalam empat komponen utamanya iaitu Pengurusan Sumber Keluarga dan Tempat Kediaman, Pakaian dan Jahitan, Makanan dan Pemakanan serta Penyediaan dan Penyajian Makanan.
Pengajaran dan pembelajaran (p&p) SRT dilaksanakan dengan menggunakan pendekatan berpusatkan murid dan disokong oleh latihan amali. Ini akan memberi peluang kepada murid meningkatkan perkembangan serta potensi diri untuk mencapai kecemerlangan. Dalam beberapa modul tertentu murid menjalani proses p&p berorientasikan amalan perusahaan. Amalan perusahaan membantu murid memupuk budaya keusahawanan seawal di peringkat sekolah untuk menjadi modal insan yang berketrampilan serta profesional. Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dinyatakan secara eksplisit dalam standard kurikulum SRT di samping penekanan terhadap elemen merentas kurikulum (EMK) seperti bahasa, kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) keusahawanan serta amalan sikap positif dan nilai murni.