Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Program Transisi Tahun Satu (PTTS) 2.0 dirangka dengan memberi penekanan terhadap aspek sosioemosi, kognitif dan fizikal murid bagi menyediakan mereka menghadapi perubahan, menyesuaikan diri dan membina keyakinan diri di sekolah rendah. Antara hala tuju program transisi adalah sebagai persediaan murid secara holistik termasuk penguasaan literasi dan numerasi asas. Program transisi mula diperkenalkan bermula tahun 2001. Pelaksanaan program ini telah mengalami beberapa perubahan sehingga kini mengikut situasi, tempoh dan keperluan semasa. PTTS 2.0 dilaksanakan mulai kalendar akademik 2022/2023 bagi memastikan semua murid bersedia melangkah ke Tahun Satu. Program ini distrukturkan dalam dua fasa iaitu Fasa Penyesuaian dan Fasa Kesediaan. Tempoh masa untuk Fasa Penyesuaian ditetapkan selama dua minggu dan bagi Fasa Kesediaan juga adalah selama dua minggu. Pelaksanaan kedua-dua fasa ini memerlukan usaha dan pelibatan semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru dan ibu bapa/penjaga serta disokong dengan persekitaran yang kondusif. Bagi merealisasikan hasrat program ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menyediakan Kit PTTS 2.0 sebagai panduan dan rujukan kepada pihak yang berkepentingan. Kit ini mengandungi garis panduan persediaan, modul pelaksanaan, brosur dan pelbagai bahan sokongan yang boleh dicapai melalui pautan pada kod QR. KPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penghasilan kit ini. 

DR. RUSMINI BINTI KU AHMAD 

Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum