Sejarah

Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang (SEPINTAR) bermula sebagai Sekolah Menengah Agama (SMKA) Rawang pada 16 Mac 2002 bawah pentadbiran Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam Rancangan Malaysia Ketujuh SEPINTAR telah diletakkan di bawah pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di bawah Pengurusan SBP KPM menggunakan nama SMAP Rawang. Sekolah ini merupakan Sekolah Menengah Agama Berasrama Penuh keempat selepas Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS), SMAP Labu dan SMAP Kajang. Mesyuarat penyelarasan pembukaan SMKA tersebut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian SBP, Encik Abdul Ghafar bin Mahmud, Pengetua, Penolong Kanan (PK), PK Hal Ehwal Murid SMKA Rawang dan wakil daripada empat SMKA yang lain.

Pengoperasian SMKA Rawang bermula pada 10 Jun 2002 sehingga 16 Disember 2002 dan selepas itu dikenali sebagai SMAP Rawang. Pada 16 Februari 2003 SMAP Rawang telah sekali lagi ditukar nama kepada SBPI Rawang bersama dengan 13 buah sekolah lain yang turut dinaik taraf kepada SBPI. Era baru ini merupakan perubahan sistem persekolahan negara secara integrasi dengan melaksanakan dua agenda penting dalam pendidikan negara iaitu:

i. Melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Matematik dan Sains (PPSMI).

ii.Melaksanakan Program Integrasi Aliran Subjek bagi ambilan tingkatan empat dengan menawarkan Pakej Aliran Sains Tulen Agama, Sains Tulen dan Sains Teknikal.

SEPINTAR telah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan pada 27 September 2011 dan terus memacu kecemerlangannya apabila dinobatkan sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) pada 18 September 2013. Bermula tahun 2015 SEPINTAR telah melaksanakan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) yang menggunakan Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT). Bermula tahun 2016 pula SEPINTAR memulakan program DLP (Dual Language Programme) sebagai menyokong penguasaan kemahiran berbahasa Inggeris melibatkan 2 kelas setiap tingkatan.