Jawatankuasa SmartGreen Politeknik Merlimau Melaka (PMM) telah melaksanakan Kempen PMM Hour@2025, iaitu satu inisiatif penjimatan tenaga elektrik di kampus yang dilaksanakan khusus pada waktu rehat tengah hari dari jam 1.00 hingga 2.00 petang. Kempen ini dilaksanakan bagi menyokong usaha kampus ke arah kelestarian serta mendidik warga PMM tentang kepentingan pengurusan tenaga yang bijak dan bertanggungjawab.
Objektif utama kempen ini adalah untuk membudayakan amalan penjimatan tenaga elektrik dalam kalangan warga kampus, mengurangkan pembaziran tenaga ketika waktu rehat, serta menyokong aspirasi PMM sebagai kampus hijau yang selaras dengan agenda kelestarian global. Sepanjang pelaksanaan kempen, semua warga PMM digalakkan mempraktikkan langkah penjimatan mudah seperti mematikan suis lampu di ruang kerja, menetapkan komputer ke mod ‘sleep/standby’ sebelum meninggalkan pejabat, serta menutup suis dan mencabut soket peralatan elektrik yang tidak digunakan.
Kempen PMM Hour@2025 memberi kesan positif dalam mengurangkan penggunaan tenaga elektrik secara konsisten. Ia bukan sahaja membantu menjimatkan kos operasi kampus, malah turut menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon. Lebih penting lagi, kempen ini berjaya meningkatkan kesedaran dan membentuk budaya kerja yang lebih lestari dalam kalangan staf dan pelajar.
Dari sudut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), kempen ini secara langsung menyokong beberapa matlamat utama iaitu SDG 7: Affordable and Clean Energy melalui kecekapan tenaga, SDG 11: Sustainable Cities and Communities dengan pembentukan komuniti kampus yang lestari, SDG 12: Responsible Consumption and Production melalui pengurangan pembaziran sumber, serta SDG 13: Climate Action dengan usaha mengurangkan pelepasan karbon.
Secara keseluruhannya, Kempen PMM Hour@2025 membuktikan komitmen PMM dalam mendukung agenda kelestarian dan amalan hijau. Melalui penglibatan aktif seluruh warga kampus, inisiatif ini menjadi langkah kecil yang memberi impak besar dalam usaha memelihara alam sekitar serta melonjakkan PMM sebagai sebuah kampus hijau yang menyokong aspirasi global di bawah rangka kerja SDG.