MERLIMAU, 15 Januari 2025 – Politeknik Merlimau Melaka (PMM) terus unggul dalam usaha merealisasikan kampus lestari menerusi penganjuran program besar-besaran, Green On Campus: Warga PMM Cakna Kelestarian Alam Sekitar. Acara ini berjaya menghimpunkan 339 staf dan 172 pelajar untuk memulakan kalendar akademik baharu Sesi II:2024/2025 dengan langkah positif.
Program ini diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti tadabbur ringkas mengenai alam sekitar, brisk walk, pertandingan memancing, penanaman pokok, gotong-royong, dan cabutan bertuah. Elemen Sustainable Development Goals (SDG) diserap melalui pendekatan holistik melibatkan aspek pendidikan, kesihatan, kelestarian air, inovasi, dan kesejahteraan komuniti.
YBrs. Dr. Zamzam bin Mohd Walid, Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, merasmikan program ini dengan disaksikan oleh Tuan Pengarah PMM, Lt. Kol. Norizam bin Sekak, serta tetamu kehormat lain. Peristiwa bersejarah ini turut menyaksikan peluncuran rasmi Taman Tasik PMM, diserikan dengan gimik pelepasan ikan sebagai simbolik pemuliharaan alam sekitar.
Dalam ucapan perasmian, Dr. Zamzam menyatakan pentingnya program sebegini sebagai platform kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar. Beliau menekankan bahawa elemen hijau perlu diterapkan dalam kurikulum sebagai usaha berterusan ke arah keseimbangan ekosistem bagi generasi akan datang.
Pengarah program, Ts. Dr. Hassan bin Ismail, bersama jawatankuasa penganjur menerima penghargaan atas dedikasi mereka menjayakan acara ini. Dr. Zamzam turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat, berharap program ini dapat diteruskan untuk memupuk semangat cinta alam di kalangan warga PMM.
Program ini membuktikan komitmen PMM dalam mendukung agenda kelestarian alam sejagat, selaras dengan matlamat pembangunan mampan global