Program Inkubator Keusahawanan di Politeknik Merlimau Melaka (PMM) merupakan satu inisiatif strategik yang mula dilaksanakan pada tahun 2014 di bawah jenama Satu Jabatan Satu Inkubator (SJSI). Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Pengajian Politeknik , Kementerian Pendidikan Malaysia pada masa tersebut iaitu Tn. Hj. Kamarudin Bin Hamzah di Dataran PMM Mall.
Matlamat utama program ini adalah untuk menyediakan ekosistem sokongan kepada pelajar dalam membangunkan perniagaan sebenar secara praktikal, berpaksikan pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Kejayaan awal program ini terbukti apabila ia berjaya meraih Naib Johan dalam Kategori Projek Keusahawanan Terbaik sempena MOHE Entrepreneurship Award (MEA) 2015, anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Sejak itu, program inkubator PMM terus berkembang pesat dan kini mempunyai sebanyak 10 inkubator aktif yang merangkumi pelbagai bidang perniagaan termasuk makanan, seni kreatif, servis, agro pertanian, pelancongan dan pembuatan.
Sepanjang tempoh pelaksanaannya, program inkubator ini telah menjana pendapatan terkumpul hampir RM1 juta hasil daripada penglibatan aktif pelajar usahawan, pensyarah mentor dan jaringan industri. Program ini bukan sahaja memperkukuh budaya keusahawanan dalam kalangan warga politeknik, malah turut menyumbang kepada pengiktirafan tertinggi apabila PMM dinobatkan sebagai Johan Institusi Keusahawanan Terbaik (Politeknik) dalam Anugerah Keusahawanan KPT (AKKPT) 2023.
Inkubator keusahawanan merujuk kepada satu platform atau entiti yang menyediakan persekitaran sokongan secara sistematik kepada usahawan baharu, terutamanya dalam fasa permulaan perniagaan. Ia merangkumi penyediaan fasiliti fizikal seperti ruang pejabat atau bengkel, bimbingan perniagaan (mentoring), latihan keusahawanan, serta akses kepada rangkaian pasaran dan pembiayaan.
Startup merujuk kepada perniagaan baharu yang diusahakan oleh pelajar sama ada secara berkumpulan atau individu. Dalam konteks program inkubator, Start-Up adalah perniagaan pelajar dalam kumpulan yang menjalani latihan keusahawanan di Inkubator.
Perantis pula merujuk kepada pelajar yang ingin menjadi usahawan dan sedang dalam latihan pembangunan perniagaan dan keusahawanan. Dalam konteks program inkubator, Perantis adalah pelajar yang menubuhkan perniagaan baharu (Start-Up) bersama rakan sepasukan dan menjalani latihan keusahawanan dan menjalankan operasi perniagaan sebenar di Inkubator.