Anugerah SmartGreen PolyCC yang memberikan pengiktirafan kepada institusi telah menyumbang dalam pembangunan mampan dalam mencipta kampus lestari menerusi projek dan aktiviti berteraskan teknologi hijau dan kelestarian di Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia. Salah satu kategori anugerah adalah Anugerah BluePrint SmartGreen PolyCC (MPCCSustAward). Untuk tujuan penilaian, kaedah penilaian secara manual digunakan dalam membuat penilaian yang menimbulkan kekangan masa dan tenaga dalam membuat penilaian terhadapat data-data yang dihantar oleh peserta. Justeru itu,sistem e-SGPolyCC Smart Checker dibangunkan sebagai sistem penilaian rubrik untuk Anugerah SmartGreen PolyCC yang akan digunakan di seluruh politeknik dan kolej komuniti Malaysia yang menumpukan kepada reka bentuk dan pelaksanaan sistem rubrik pintar SmartGreen dan dashboard data sebagai alternatif yang efisien dan mampan dalam menilai pelbagai aspek projek yang berkaitan dengan kelestarian alam sekitar. Inovasi yang memaparkan data-data terkini dan pengiraan markah secara automasi ini memuatkan tujuh Bidang Tumpuan (BT) berdasarkan panduan Blueprint SmartGreen PolyCC 2021-2026 (BSGPC) yang telah dibangunkan di peringkat PolyCC. Hasil maklumbalas oleh para peserta dan panel juri Anugerah SmartGreen PolyCC, didapati e-SGPolyCC Smart Checker dapat mengumpulkan data, bukti lampiran, dan bilangan senarai penghantaran penyertaan institusi mengikut bidang tumpuan secara efektif berbanding kaedah penghantaran dokumen dan rubrik secara manual sebelum ini. Kesimpulannya, dengan menggunakan e-SG PolyCC Smart Checker, panel juri dapat menyelaraskan proses penilaian rubrik dengan mengurangkan usaha manual secara signifikan sambil memupuk pendekatan yang lebih hijau ke arah pengurusan projek.
e-SGPolyCC Smart Checker adalah sebuah platform penilaian automatik yang dibangunkan untuk memperbaiki proses penilaian Anugerah SmartGreen PolyCC dan boleh dicapai secara atas talian di pautan https://www.smartgreenpolycc.com/esgsmartchecker/. Platform ini menyediakan pelbagai ciri-ciri automatik yang membolehkan pengguna untuk mengumpulkan, menganalisis, dan menilai data serta bukti lampiran dengan lebih efisien. Salah satu ciri utama produk ini adalah kemampuannya untuk melakukan pengiraan markah secara automatik berdasarkan rubrik penilaian yang telah ditetapkan. Ini memastikan bahawa penilaian dilakukan secara konsisten dan tepat, mengurangkan kesilapan manusia dan meningkatkan keadilan dalam proses penilaian (Duggineni, 2023).
Selain itu, e-SGPolyCC Smart Checker mempunyai ciri pengumpulan maklumat yang terintegrasi, membolehkan pengguna untuk mengumpulkan data dan bukti lampiran dari pelbagai institusi yang menyertai Anugerah SmartGreen PolyCC dengan mudah dan pantas (Claudius Mitchell Hamarah & Fitri Suraya Mohamad, 2020). Platform ini juga dilengkapi dengan sebuah dashboard visual yang interaktif, memberikan paparan data terkini dan analisis yang berguna bagi pengguna (Duggineni, 2023). Dashboard ini memudahkan pengguna untuk melihat secara keseluruhan prestasi projek dan aktiviti yang berkaitan dengan kelestarian alam sekitar serta memantau pencapaian pelbagai institusi secara terperinci.
Keistimewaan utama e-SGPolyCC Smart Checker adalah pelaksanaannya secara atas talian menggunakan internet. Ini membolehkan pengguna untuk mengakses platform dari mana-mana tempat dan pada bila-bila masa dengan menggunakan peranti yang mempunyai sambungan internet. Pengguna juga boleh bekerjasama secara dalam talian untuk melakukan penilaian, memudahkan proses kolaborasi di antara pelbagai pihak yang terlibat dalam Anugerah SmartGreen PolyCC.
Selain itu, e-SGPolyCC Smart Checker juga dibangunkan menggunakan sumber percuma. Justeru itu institusi yang menggunakan platform ini tidak perlu membelanjakan wang untuk mendapatkan akses ke ciri-ciri penilaian yang canggih dan berdaya maju ini. Secara tidak langsung, e-SGPolyCC Smart Checker memberikan nilai tambah yang besar kepada pengguna dengan mengurangkan beban kewangan yang berkaitan dengan teknologi dan memastikan kelestarian dalam pengurusan projek berteraskan teknologi hijau dan kelestarian (Zulzaidi Mahmod & Ahmad Hidayat Buang, 2022).