Dokumen Rasmi Sejarah Penubuhan SRABB
ALHAMDULILLAH, Pada awal tahun 1946, penubuhan sekolah ini telah diasaskan oleh beberapa pemimpin yang diketuai oleh Allahyarham Dato Karjan Bin Mat Mijan selaku Ketua Kampung pada ketika itu dengan murid seramai dua puluh lapan (28) orang. Di antara murid tersebut ialah Allahyarham Tuan Hj Salamon Bin Hj Abdullah Mukhri AMN., PPC. bekas Ketua Kampung Bukit Badong yang lalu. Guru Besar nya yang pertama ialah Ustaz Hj Saien Bin Hamzah.
Awal tahun 1955 Sekolah ini berpindah ke bangunan baru dengan pembinaan secara bergotong-royong di Tanah Wakaf Sementara oleh En Sudek Bin Karto dengan nama “Madrasattul Tarbiah Irsyadiah” dengan diiktiraf oleh Guru Besar yang ke-2 Hj Abdullah Fauzi Bin Abd. Rahman bersama beberapa guru lain termasuk Ustaz Hj Kamari Bin Hj Abdullah yang merupakan anak watan pertama menjadi Guru Agama.
Akhir tahun 1975, pentadbiran sekolah ini apabila diarahkan untuk berpindah ke bawah kawalan Pejabat Agama Daerah Kuala Selangor untuk mula belajar tahun 1976 dengan murid seramai dua ratus enam puluh (260) orang dan tiga orang tenaga pengajar. Usaha dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Kampung pimpinan Allahyarham Tuan Hj Salamon Bin Hj Abdullah Mukhri selaku Ketua Kampung dengan mengadakan perbincangan dengan Jabatan. Alhamdulillah dengan usaha gigih beliau Sekolah ini berjaya dibuka semula pada 3hb Februari, 1976 dengan murid seramai dua ratus enam puluh (260) orang dan tiga orang tenaga pengajar.
Pada tahun 1993 sekali lagi Sekolah ini berpindah tempat ke bangunan baru yang dibina secara gotong-royong di Tanah Wakaf Masjid bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Bukit Badong. Pembiayaan pembinaan sekolah ini telah disumbangkan oleh YB. Dato’ (Dr) Haji Abu Hassan Bin Haji Omar dan para dermawan tempatan dengan murid seramai empat ratus empat puluh dua (442) orang yang diketuai oleh Guru Besar nya Ustaz Mohd Yunus Bin Hj Mohd Talib. Oleh kerana bilik darjah yang tidak mencukupi sebahagian murid menumpang belajar di Sekolah Kebangsaan Bukit Badong.
Dengan kegigihan JKKK Bukit Badong yang diketuai oleh Allahyarham Tuan Hj Salamon Bin Hj Abdullah Mukhri selaku Ketua Kampung berusaha menyiapkan bangunan tambahan sebanyak dua (2) blok. Kerajaan berjumlah lebih RM300,000-00 bagi mendirikan dua (2) blok tambahan dua (2) tingkat yang dibina di atas Tanah Pusat Desa pada tahun 1988.
Pada 4hb Jun 1990, bangunan baru ini telah mula digunakan oleh pentadbiran utama dan jumlah murid seramai lima ratus enam belas (516) orang dan tenaga pengajarnya ialah dua belas (12) orang. Bangunan tambahan ini juga dibina secara gotong-royong dengan dibayar oleh YB. Dato’ (Dr) Haji Abu Hassan Bin Haji Omar dan dermawan tempatan. Pada tahun 1995 sekali lagi Sekolah ini mendapat bangunan tambahan tiga (3) kelas dengan Peruntukan Kerajaan sebanyak RM120,000-00. Alhamdulillah dengan bangunan empat (4) blok kini menampung seramai enam ratus (600) murid dengan tenaga pengajar seramai dua puluh (20) orang yang diketuai oleh Guru Besar nya Ustaz Mohd Sayuti Bin Hj Said PPT. PPN. PJK.
Pada Hari Jumaat tanggal 10hb Rabiul Awal, 1417 Hijrah bersamaan 26hb Julai, 1996, sekali lagi sekolah ini menempah sejarah apabila ia telah dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Pemangku Sultan Selangor Darul Ehsan Tengku Azman Shah Al Haj Ibni Almarhum Sultan Hisamudin Alam Shah Al Haj DK(II), SPMS, DJMK.
Kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pembangunan sekolah ini dan tenaga pengajarnya kepada Allah Subhanahu Wa Taala jua dipohonkan balasan yang sewajar nya.
AMIN YA RABBAL ALAMIN