Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) kini berada dalam fasa akhir perancangan strategik bagi merangka Pelan Strategik POLYCC 2026–2035 sebagai dokumen hala tuju utama yang akan memacu POLYCC sebagai penyedia pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) negara yang unggul bagi tempoh sepuluh tahun akan datang. Pelan strategik ini amat penting bagi memastikan sistem Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) kekal relevan, berdaya saing serta responsif terhadap perubahan landskap pendidikan, keperluan industri, cabaran global, agenda kelestarian, pendigitalan serta aspirasi pembangunan negara.
Sehubungan itu, Bengkel Hala Tuju Strategik POLYCC 2026–2035 dirancang bagi menyediakan platform perbincangan strategik yang komprehensif dan berfokus, melibatkan pimpinan tertinggi JPPKK, Pengarah-Pengarah Bahagian serta Pengarah-Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti. Bengkel ini akan dilaksanakan selama tiga (3) hari bagi membolehkan sesi libat urus mendalam, perkongsian pandangan strategik serta penyelarasan aspirasi di semua peringkat organisasi. Pelaksanaan bengkel ini adalah selaras dengan keperluan tadbir urus strategik sektor awam yang menekankan pendekatan bersepadu, inklusif dan berasaskan bukti dalam perancangan dasar dan pelaksanaan program. Hasil bengkel ini akan menjadi input utama dalam memuktamadkan hala tuju, teras strategik, objektif strategik serta inisiatif-inisiatif utama POLYCC 2026–2035.
Membincangkan Hala Tuju Strategik POLYCC untuk tempoh 10 tahun
Menyelaras Kefahaman Dalam Kalangan Pengarah-Pengarah di JPPKK, Politeknik dan Kolej Koumuniti Berkaitan Hala Tuju Reformasi POLYCC
Mengenalpasti Inisiatif-Inisiatif Strategik Bagi Menjayakan Hala Tuju Reformasi POLYCC