ASAS PENUBUHAN
Merujuk kepada Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia versi 1.0 (2024) bertujuan memberikan panduan pelaksanaan pengurusan prestasi di bawah MyPerformance bagi pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Pelaksana serta Kumpulan Sokongan I & II dalam perkhidmatan awam.
Sistem Pengurusan Prestasi baharu yang dikenali sebagai MyPerformance diperkenalkan bagi memperkukuh pengurusan bakat dan penyampaian perkhidmatan awam. MyPerformance dibangunkan berasaskan aspek kompetensi dan nilai serta menitikberatkan lima (5) prinsip iaitu adil, objektif, telus, relevan dan kebolehasingan.
MyPerformance dibangunkan berdasarkan fungsi dan peranan jabatan serta keperluan semasa perkhidmatan awam merangkumi lima (5) elemen prestasi iaitu Penghasilan Kerja, Kompetensi Fungsian, Kompetensi Tingkah Laku, Nilai Sepunya dan Penglibatan dan Sumbangan. Setiap elemen prestasi akan dinilai secara sistematik dengan mengambil kira setiap peringkat penilaian bagi memastikan hasil penilaian yang lebih menyeluruh dan berkesan. Hasil penilaian akan digunakan untuk pelbagai urusan sumber manusia ke arah menggalakkan budaya kerja yang produktif dan organisasi berprestasi tinggi.
Justeru, pihak pengurusan Klinik Kesihatan Nilai telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan satu kelab yang akan membantu setiap warga kerja untuk kekal aktif, menonjol dan berkebolehan. Penilaian prestasi setiap warga kerja juga akan dikira melalui penglibatan mereka dalam setiap aktiviti. Kelab SUKER adalah gabungan untuk SUKAN, KEROHANIAN DAN REKREASI iaitu sebuah platform yang berfungsi dan berperanan sebagai wadah untuk memberi peluang kepada warga kerja untuk terus proaktif.
Pada asalnya kelab ini dibincangkan untuk ditubuhkan supaya dapat merancang dan mengadakan aktiviti-aktiviti yang diuruskan oleh warga kerja dan disertai oleh warga kerja sendiri bagi memupuk hubungan silahturahim, semangat kekitaan, kerjasama disamping menjadi motivasi supaya untuk kekal positif ketika berada ditempat kerja.
Selain itu, penubuhan kelab ini dapat melatih nilai kepimpinan dalam kalangan warga kerja masing-masing. Penjawat awam juga perlu melaksanakan tugas hakiki dengan cekap dan berkesan serta memastikan penyampaian perkhidmatan jabatan berada pada tahap cemerlang selaras dengan dasar dan peraturan yang berkuat kuasa. Antara penekanan yang dinilai dalam MyPerformance ini adalah :
Pengurusan Tugas dan Tanggungjawab Jabatan
Melaksanakan tugas hakiki mengikut perjawatan dengan cekap, berintegriti dan menepati tempoh masa ditetapkan.
Memastikan semua arahan dan pekeliling dipatuhi.
Penyampaian Perkhidmatan Berkualiti
Memberi perkhidmatan yang cepat, tepat dan mesra pelanggan.
Mengurangkan aduan serta meningkatkan kepuasan pelanggan dalaman dan luaran.
Pengurusan Rekod dan Dokumentasi
Menyediakan, mengemas kini dan menyelenggara rekod/dokumen dengan teratur dan selamat.
Memastikan data adalah tepat dan mudah dirujuk.
Pemantuhan Peraturan dan Tadbir Urus
Memastikan semua urusan mematuhi undang-undang, peraturan kewangan dan tatacara kerja.
Menyokong amalan tadbir urus yang baik dan telus.
Peningkatan Kecekapan dan Produktiviti
Menyiapkan tugasan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Mencadangkan penambahbaikan proses kerja untuk meningkatkan kecekapan.
Kerja Berpasukan dan Kolaborasi
Bekerjasama dengan rakan sekerja dan pihak berkaitan untuk mencapai objektif jabatan.
Menyumbang secara positif dalam pasukan.
Pembangunan Kompetensi Diri
Mengikuti latihan/kursus yang relevan.
Meningkatkan pengetahuan dan kemahiran selaras dengan keperluan organisasi.
PERANCANGAN JANGKA MASA PENDEK
Kelab juga akan menganjurkan apa jua aktiviti pengumpulan dana secara rasmi, terancang dan telus, selaras dengan peraturan serta garis panduan yang ditetapkan. Setiap aktiviti akan dilaksanakan dengan kelulusan pihak berkuasa berkaitan dan diuruskan secara berakauntabiliti bagi memastikan integriti serta kepercayaan ahli dan pihak berkepentingan sentiasa terpelihara.
Melalui dana sumbangan yang berjaya dikumpulkan, kelab berupaya merancang dan menganjurkan pelbagai aktiviti berkaitan kesihatan bersama masyarakat dan komuniti setempat. Aktiviti ini merangkumi program kesedaran kesihatan, pemeriksaan kesihatan asas, ceramah gaya hidup sihat serta aktiviti fizikal yang melibatkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat. Penganjuran program sebegini diharap dapat meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan penjagaan kesihatan secara berterusan.
Selain memberi manfaat dari aspek kesihatan, pelaksanaan aktiviti bersama komuniti ini juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli kelab sesama warga kerja dan masyarakat setempat. Penglibatan aktif komuniti akan mewujudkan semangat kerjasama, keprihatinan sosial dan rasa tanggungjawab bersama dalam usaha meningkatkan kesejahteraan hidup. Secara tidak langsung, inisiatif ini turut menyumbang kepada imej positif kelab sebagai sebuah organisasi yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap pembangunan sosial masyarakat.
PERANCANGAN JANGKA MASA PANJANG
Dalam jangka masa panjang, kelab merancang untuk melaksanakan perlindungan insurans yang menyeluruh kepada ahli, pengurusan serta staf bagi menjamin kebajikan, keselamatan dan kesejahteraan mereka. Perlindungan ini merangkumi aspek keselamatan diri, kesihatan dan kebajikan sosial sebagai langkah proaktif dalam mengurus risiko serta menyediakan jaringan keselamatan kewangan sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini. Melalui inisiatif ini, kelab berhasrat untuk mewujudkan persekitaran yang lebih selamat, stabil dan menyokong, sekali gus meningkatkan keyakinan, komitmen serta rasa kebersamaan dalam kalangan ahli dan staf terhadap pengurusan kelab.
Selain itu, kelab juga memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan staf dengan merancang dan melaksanakan pelbagai program sokongan yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan fizikal, mental dan sosial. Pendekatan ini diharap dapat meningkatkan motivasi, produktiviti serta keseimbangan kerja dan kehidupan dalam kalangan staf. Seiring dengan itu, kelab akan berusaha ke arah pemantapan tadbir urus kewangan melalui pengurusan yang lebih sistematik, telus dan berakauntabiliti agar memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan bagi memberi pelepasan cukai pendapatan bagi setiap ahli yang yang membayar yuran dan sumbangan selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa. Usaha berterusan ini diharap dapat memastikan kelestarian kewangan, kredibiliti pengurusan serta perkembangan kelab secara mampan dalam jangka masa panjang.