PROGRAM PEMBANGUNAN GURU BAHARU (PPGB 2.0)
UNIT PENGURUSAN BAKAT
SEKTOR SUMBER MANUSIA
SEKTOR SUMBER MANUSIA
Mesyuarat Profesionalisme KPM Bilangan 10 Tahun 2021 bertarikh 16 Mac 2021 telah meluluskan Pelaksanaan Program Pembangunan Guru Baharu 2.0 (PPGB 2.0) yang mewajibkan semua guru baharu untuk mengikuti program ini berdasarkan Surat Pekeliling Ikhtisas KPM Bilangan 2 Tahun 2021: Panduan Pelaksanaan Program Pembangunan Guru Baharu 2.0.
PPGB 2.0 ialah salah satu program yang menyokong pembangunan profesionalisme berterusan guru baharu, iaitu guru yang pertama kali dalam perkhidmatan pendidikan dan ditempatkan di sekolah. Tempoh pelaksanaan PPGB 2.0 adalah selama satu (1) tahun dan boleh dipanjangkan maksimum selama tiga (3) tahun sekiranya guru baharu belum mencapai tahap kompetensi yang diharapkan.
Program ini dilaksanakan berasaskan sekolah (work-based programme) melalui bimbingan berstruktur dan meliputi Fasa Orientasi, Fasa Pementoran Profesionalisme Keguruan dan Fasa Pembangunan Profesionalisme Keguruan.
PPGB 2.0 ini adalah bagi meningkatkan kompetensi dan prestasi yang lebih mantap dalam mendepani pendidikan masa kini dan bertepatan dengan dasar-dasar pendidikan negara selaras dengan Anjakan 4 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025: Mentransformasi Profesion Keguruan Menjadi Profesion Pilihan iaitu membudayakan kecemerlangan berasaskan teladan rakan setugas.
Secara khususnya, PPGB 2.0 merupakan proses sosialisasi kepada profesion keguruan yang dapat membantu guru baharu membuat penyesuaian antara ilmu dan kemahiran yang sedia ada dengan prosedur, sistem sekolah dan penguasaan pengajaran yang berkesan serta kemahiran pengurusan bilik darjah.