Jemaah Nazir Sekolah (JNS) adalah sebuah badan ikhtisas yang telah ditubuhkan dalam bulan Oktober 1956 atas perakuan Penyata Razak 1956 dan seterusnya diberi pengesahan di bawah Ordinan Pelajaran 1957. Penubuhan sebuah pengawalan dalam pendidikan seperti JNS telah disarankan semenjak tahun 1938 oleh sebuah Suruhanjaya Khas berkenaan dengan Dasar Pelajaran Tahun 1952 dan Penyata Jawatankuasa Pelajaran 1956 (Laporan Razak) yang menyokong penubuhan sistem pengawalan khas bagi seluruh negara.
Pada peringkat awal penubuhannya pada tahun 1956, JNS merupakan sebuah organisasi tertutup yang dikenali sebagai Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan (JNSP). JNSP kemudiannya dikenali sebagai JNS pada tahun 1996. Pada tahun 2008 apabila penstrukturan Kementerian Pelajaran dibuat, nama JNS ditukar kepada JNJK iaitu satu nama yang mencerminkan tugas utamanya sebagai pengawal kualiti pendidikan, namun setelah berlaku penstrukturan semula nama JNJK telah ditukar kepada Jemaah Nazir (JN). Mulai tahun 2018 organisasi JN diketuai oleh Ketua Nazir Sekolah (Utama B) dengan dibantu oleh seorang Timbalan Ketua Nazir Sekolah Kanan (Perancangan Penaziran- JUSA C) dibantu oleh tiga orang Timbalan Ketua Nazir Sekolah iaitu Penaziran Kurikulum, Penaziran Hal Ehwal Murid dan Kokurikulum dan Penaziran Institusi Pendidikan serta seorang Timbalan Pengarah (Pengurusan). Organisasi JN disokong oleh empat orang Ketua Sektor yang berpangkalan di JN Ibu Pejabat Putrajaya. Setiap negeri di Malaysia, terdapat Jemaah Nazir Negeri (JNN) yang diketuai oleh Ketua Nazir Negeri (KNN) dan lima Jemaah Nazir Cawangan (JNC) diketuai oleh Ketua Nazir Cawangan (KNC).
JN Negeri Melaka bermula dengan penubuhan Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan (JNSP) Melaka. Ia adalah cawangan pejabat JNSP Negeri Sembilan dan telah dibuka pada bulan Mei 1974. Pejabat pertama JNSP Negeri Melaka terletak di Bangunan Rumah Guru SK Bachang. Ketika itu terdapat empat orang Nazir Sekolah dan dua orang kakitangan sokongan.
Pada tahun 1979 JNSP Melaka telah berpindah ke bangunan di SK Kubu dan kemudiannya berpindah pula ke bangunan Bank Rakyat, Jalan Hang Tuah, Melaka pada bulan Oktober 1979. Ruang pejabat JNSP Negeri Melaka di Bank Rakyat pada awalnya hanya mempunyai bilik mesyuarat tetapi telah diperluaskan selaras dengan pertambahan bilangan Nazir Sekolah sejak tahun 1985.
JNSP Negeri Melaka bertukar nama kepada Jemaah Nazir Sekolah Negeri Melaka (JNSNM) dan kemudian ditukar pula kepada Jemaah Nazir Dan Jaminan Kualiti (JNJK) Negeri Melaka bermula pada tahun 2009. Pejabat JNJK Negeri Melaka telah berpindah ke lokasi baharu di Aras 9, Menara Persekutuan, Ayer Keroh, Melaka pada 7 Jun 2010. Pejabat baharu yang lebih strategik dan turut menempatkan sebahagian besar Pejabat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
JNJK Negeri Melaka terlibat dalam penstrukturan semula Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai 10 Disember 2018, JNJK Negeri Melaka dikenali sebagai JNN Melaka dan bilangan Nazir Sekolah adalah seramai 13 orang serta dibantu oleh empat orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP). Sehingga tahun 2020 seramai lapan orang KNN telah menerajui JNN Melaka.