Asal Pelajar
Jaku Iban ba Sekula
Asal Pelajar
Jaku Iban ba Sekula
Sejarah bahasa Iban sebagai suatu bahasa vernakular (ibunda) yang dipelajari di sekolah bermula dengan penubuhan sekolah pertama di kawasan Iban di Sarawak. Sekolah yang pertama ditubuhkan di kawasan Iban ialah di Banting pada tahun 1853. Sekolah tersebut telah ditubuhkan oleh mubaligh Anglikan setelah tertubuhnya sekolah-sekolah bandar seperti Sekolah St. Thomas di Kuching pada tahun 1848, sekolah untuk masyarakat Cina di Bau pada tahun 1864 dan sekolah-sekolah di kawasan Bidayuh seperti Kuap, Duras, Taee, Padawan, Bunuk dan juga kawasan Iban seperti Merdang dan Lundu. Namun tiada rekod yang menunjukkan ‘hasil’ persekolahan di kawasan pedalaman yang melibatkan pelajar Iban, khususnya Merdang. Di Lundu pula, bahan agama Kristian telah diterjemahkan dari bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu kerana di kawasan tersebut penduduknya menggunakan pelbagai dialek yang tidak memudahkan bahasa Iban digunakan. Juga sekolah-sekolah di kawasan tersebut tidak menerima respons yang menggalakkan kerana apa yang mereka pelajari tidak sesuai dengan kehidupan masyarakat mereka pada masa itu. Namun sekolah yang ditubuhkan di Banting dalam Bahagian Kedua ketika itu menampakkan kejayaan kerana dapat menghasilkan beberapa orang katekist untuk menyebarkan agama Kristian dalam bahasa Iban terutama di kawasan Saribas dan Saratok. Dalam tahun 1863, Buda iaitu anak pahlawan Orang Kaya Pemancha Dana (Bayang) dari Saribas telah muncul di sekolah di Banting. Kehadiran beliau bukan untuk bermusuhan dengan kumpulan Iban Balau di kawasan tersebut tetapi untuk memerhatikan pengajaran yang diadakan dalam kelas kerana dia amat tertarik dengan kertas tulisan yang digunakan dan dengan aktiviti membaca yang diadakan. Dia bertekad untuk belajar membaca. Seterusnya Buda belajar untuk membaca dan menulis dalam bahasa Iban dan bekerja untuk mubaligh Anglikan sebagai katekist.
Oleh kerana sekolah yang menerima orang Iban pada masa itu ditubuhkan oleh mubaligh Kristian dan bukan oleh kerajaan Brooke, maka pemelukan kepada agama Kristian dikaitkan dengan minat dalam pelajaran kerana orang Iban yang terlibat percaya bahawa literasi adalah kunci kepada kuasa yang ada pada kaum kulit putih yang nyata terbukti dengan kemenangan Rajah melawan Rentap di Sadok.
Era Pemerintahan Kolonial British
Setakat ini belum dapat dipastikan bila sebenarnya bahasa Iban mula diajar sebagai mata pelajaran yang tersendiri (bukan sebagai bahasa pengantar) di sekolah rendah. Di sekolah menengah pula bahasa Iban telah diajar sebagai mata pelajaran sejak tahun 1955 di bawah Asian Language dan telah ditawarkan sebagai mata pelajaran peperiksaan dalam peperiksaan Sarawak Junior Certificate (SJC) dengan nama mata pelajaran “Sea Dayak” mulai tahun 1957. Mulai 1958 mata pelajaran tersebut telah dinamakan mata pelajaran “Iban Language.” Setakat ini tidak diketahui apa jenis sukatan pelajaran atau panduan guru yang digunakan pada masa itu.
Pada tahun 1964 sukatan pelajaran bahasa Iban untuk sekolah menengah rendah telah dikeluarkan. Sukatan pelajaran tersebut adalah sebahagian daripada sukatan pelajaran untuk mata pelajaran lain dalam “The Curricular and Syllabuses for Junior Schools” yang terkandung dalam “Sessional Paper No. 3 of 1963” yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak beberapa bulan sebelum penubuhan Malaysia. Dalam kurikulum tersebut bahasa Iban diajar hanya kepada pelajar yang bahasa ibundanya Iban dan bukan untuk mereka yang baru belajar bertutur dalam bahasa Iban. Masa yang diperuntukkan untuk pengajaran-pembelajaran ialah 3 waktu seminggu. Dalam sukatan pelajaran tersebut ditekan dan diharapkan bahawa seseorang Iban yang terpelajar
...sepatutnya dapat menggunakan bahasa ibundanya dengan betul dan berkesan, walaupun dia mungkin menggunakan bahasa Inggeris dalam tugasan hariannya. Seorang yang terpelajar yang telah kehilangan kefasihan dalam bahasanya sendiri akan mendapati wujud kekangan antara dia dengan generasi yang lebih tua, dan dia tidak mungkin akan dapat membantu kaumnya dengan sepenuhnya.
Elemen-elemen yang terkandung dalam sukatan mata pelajaran tersebut ialah kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan menulis, pengajian bahasa, appresiasi verse Iban dan intepretasi dan terjemahan. Antara ciri-ciri menarik yang diberi penekanan ialah:
Penggunaan bahasa Iban yang betul termasuk sebutan, tatabahasa dan kosa kata. Guru-guru diingatkan supaya tidak terlibat dalam sebarang perbalahan tentang perbezaan penggunaan bahasa di antara penduduk di Bahagian Kedua (sekarang Bahagian Sri Aman dan Betong) dan di Bahagian Ketiga (sekarang Bahagian Sarikei, Sibu, Kapit dan Mukah). Murid-murid hanya perlu sedar tentang perbezaaan tersebut.
· Karangan-karangan yang dihasilkan boleh digunakan untuk meningkatkan pengetahuan murid tentang sejarah, legenda, budaya, seni dan kraf orang Iban.
· Pengajian tatabahasa Iban secara formal tidak digalakkan. Jika berlaku kesilapan oleh murid, sama ada berbentuk lisan atau tulisan, ia perlu diperbetulkan oleh guru tanpa penghuraian panjang lebar dari segi tatabahasa.
· Murid-murid perlu peka dengan kosa kata Iban moden yang dipinjam daripada bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
· Seseorang Iban yang terpelajar dijangka dapat menjadi penghubung yang efektif di antara rakan Iban yang tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris dan pegawai-pegawai atau orang lain yang tidak pandai bertutur dalam bahasa Iban.
Sukatan pelajaran tersebut terus digunakan (dari segi format peperiksaan) hingga ke tahun 1984, iaitu tahun terakhir peperiksaan LCE ditawarkan di Sarawak.
Era Peralihan (1976-1996)
Tahun 1975 merupakan tahun yang membawa implikasi besar dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Iban dari segi peruntukan undang-undang dan dari segi amalan administratif pendidikan. Pada tahun tersebut telah ditubuhkan satu jawatankuasa yang dinamakan “Joint Committe of Officials Set to Look into the Feasibility of Extending the Education Act, 1961 to Sarawak.” Fungsi jawatankuasa tersebut ialah untuk mengkaji kesesuaian memanjangkan penggunaan Akta Pelajaran 1961 (yang telah terpakai di Semenanjung Malaysia) ke Sarawak. Belum dapat dipastikan siapa ahli-ahli jawatankuasa tersebut tetapi dalam laporannya pada bulan Julai 1975 ia tidak menyentuh sama sekali tentang status bahasa Iban dalam sistem pelajaran kebangsaan yang bakal dipanjangkan ke Sarawak. Maka bila Akta Pelajaran 1961 dipanjangkan ke Sarawak berkuatkuasa pada 1 Disember 1976 bahasa Iban tidak disenaraikan sebagai mata pelajaran yang boleh diajar di sekolah. Namun demikian, pengajaran bahasa tersebut tidak pula dihentikan, mungkin kerana ia telah lama menjadi sebahagian daripada sistem persekolahan di Sarawak.
Ketiadaan peruntukan undang-undang untuk pengajaran bahasa Iban di bawah Akta Pelajaran 1961 telah membawa beberapa kepincangan, terutama sekali dari segi sumber kewangan untuk mata pelajaran. Tidak ada sebarang peruntukan per capita grant (PCG) dapat disalurkan untuk mata pelajaran Bahasa Iban kerana tidak ada punca kuasa sah untuk perkara tersebut. Juga, walaupun bahasa Iban terus diajar di sekolah, ia tidak sama taraf dengan bahasa Cina dan Bahasa Tamil sebagai bahasa ibunda (mata pelajaran tambahan) yang diajar di luar sesi persekolahan dengan kelayakan peruntukan kewangan untuk pupil’s own language (POL).
Walaupun menghadapi kepincangan-kepincangan tersebut, bahasa Iban terus diajar seperti biasa di sekolah. Ini termasuk apabila peperiksaan SJC digantikan dengan peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) dalam tahun 1977. Pada tahun 1985 format baru kertas Bahasa Iban dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) telah diperkenalkan dengan pemansuhan peperiksaan LCE yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam tahun yang sama. Dalam format baru tersebut bahagian terjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Iban, dan Bahasa Iban ke Bahasa Inggeris telah digugurkan sejajar dengan kehendak kerajaan untuk memantapkan penggunaan bahasa Malaysia. Pada Disember 1986 Menteri Pendidikan bersetuju (secara administratif juga) supaya Bahasa Iban dijadikan sebagai mata pelajaran tambahan dalam skim KBSM untuk negeri Sarawak.
Namun dari segi undang-undang pendidikan yang sedia ada pada masa itu, bahasa Iban masih tidak ‘sah’. Jadi tindakan-tindakan untuk meneruskan pengajaran-pembelajaran bahasa tersebut dibuat secara administratif. Mungkin berpandukan kebenaran yang telah diberikan oleh Menteri Pelajaran dalam 1986 tadi, Pengarah Pelajaran Sarawak telah mengeluarkan surat pekeliling pada 13 Mei 1987 yang membenarkan bahasa Iban diajar di sekolah rendah sebagai mata pelajaran KBSR. Pada tahun 1988 pula Kementerian Pelajaran telah meluluskan bahasa Iban diajar di peringkat sekolah menengah rendah pada Mesyuarat Jawatkuasa Kurikulum Pusat 4/88. Kedua-dua dokumen ini merupakan punca kuasa penting kerana ia membolehkan aktiviti seperti penghasilan Sukatan Pelajaran untuk KBSR dan KBSM dijalankan, disamping penerbitan buku teks untuk tingkatan 1, 2 dan 3.
Dari segi kandungannya, sukatan pelajaran yang baru untuk sekolah menengah menampakan beberapa perbezaan dengan sukatan pelajaran yang dikeluarkan pada 1964 dahulu dalam aspek-aspek berikut:
Kandungannya tidak dibahagiakan kepada tingkatan-tingkatan tertentu seperti halnya dengan sukatan lama. Ia merupakan skim pelajaran menyeluruh seperti format yang terpakai bagi Bahasa Cina dan Bahasa Tamil.
Kecekapan berbahasa yang akan dikuasai melalui tiga kemahiran iaitu mendengar dan bertutur, membaca, dan menulis telah diberi penekanan. Untuk itu, aspek-aspek merangkumi tatabahasa, peri bahasa, perbendaharaan kata, dan sastera dan budaya telah dimuatkan.
Semangat kewarganegaraan dan nilai-nilai murni masyrarakat Malaysia telah diberikan penekanan yang signifikan. Sukatan baru ini tidak lagi memusatkan perhatian kepada masyarakat Iban sahaja seperti halnya dalam sukatan yang lama.
Penerbitan buku teks untuk sekolah menengah ketika itu bukan menggunakan peruntukan seperti sedia ada sekarang dan ia dilakukan untuk memenuhi tuntutan keperluan mata pelajaran Bahasa Iban yang ditawarkan dalam peperiksaan SRP. Bagi sekolah rendah di mana bahasa Iban bukan mata pelajaran peperiksaan untuk UPSR tidak pernah diterbitkan buku teks pada pada zaman itu. Aktiviti-aktivti lain berkaitan dengan pengajaran-pembelajaran seperti kursus, bengkel dan penghasilan sukatan pelajaran dijalankan bukan menggunakan peruntukan yang disalurkan oleh Jabatan Pelajaran Sarawak melalui Bahagian Kurukulum atau Sektor Penguran Akademik (mulai Oktober 1995) tetapi melalui fleksibiliti perbelanjaan yang dapat dilakukan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP).
Pada tahun 1989 Jabatan Pelajaran Sarawak telah mengemukakan cadangan supaya bahasa Iban diajar di sekolah menengah atas mulai 1992. Namun cadangan tersebut tidak menerima respons yang positif daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia.
Era Akta Pendidikan 1996
Akta Pendidikan 1996 telah diwartakan berkuatkuasa 31 Disember 1997 untuk menggantikan Akta Pelajaran 1961. Dalam Akta Pendidikan 1996 bahasa Iban dan bahasa-bahasa etnik yang lain diberi ruang untuk diajar dan dipelajari di sekolah melalui definisi sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan, tertakluk kepada beberapa syarat termasuk kelulusan menteri, kemampuan sumber manusia dan kewangan, dan keupayaan jentera untuk pengoperasian. Maka dengan itu satu unit khas untuk bahasa etnik telah ditubuhkan di Bahagian Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1996 untuk melaksanakan kehendak Akta Pendidikan 1996.
Penutup
Bahasa Iban telah banyak berkembang sebagai mata pelajaran yang ditawarkan di sekolah. Setakat ini pelaksaanan pengajaran bahasa tersebut sudah sampai ke peringkat penuh, iaitu hingga ke Tingkatan 5, bermula dengan pelaksanaan secara rintis bagi Tingkatan 4 pada tahun 2006. Pada tahun 2008 Bahasa Iban akan ditawarkan sebagai mata pelajaran peperiksaan pada peringkat SPM. Dengan itu, diharapkan bahasa tersebut akan terus berkembang dan ditawarkan bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi di peringkat institusi pengajian tinggi dan di institut perguruan sebagai mata pelajaran opsyen.
Dikelala buah ari langgu,
Dikelala damun ari kayu,
Dikelala basa ari penyiru,
Dikelala bansa ari jaku.
"JAKU LATI BANSA PEGARI"