Coretan Pelajar

BANGKIT

 Oleh: Aishah Kusnan


Suasana pada hari itu agak mendung. Awan-awan yang terapung di langit menjadi gelap. Bunyi guruh turut sahut-menyahut seolah-olah menggegarkan kotak yang kosong. Orang ramai mula mengeluarkan payung untuk menghindarkan diri menjadi kuyup.

 

“Ayah! Lihat apa yang Sheila lukiskan!” pekik Sheila sambil berlari menujuku.

 

 Aku mengambil lukisan yang dihulurkan Sheila sambil bertukar senyuman dengannya. Lukisan tersebut menggambarkan sebuah keluarga bahagia di taman. Terdapat juga mesej ringkas, ‘Ibu, cepatlah sembuh. Kami semua merindui kuih Ibu’. Hatiku sebak!

 

Aku terkesima, terdiam tanpa kata. Fikiranku mula melayang ke luar angkasa. Nostalgia lama mula menunjukkan dirinya lagi. Titisan air mata mula berkumpul di kelopak mataku.

 

“Gambar apa ini?! Siapa jantan yang berpegangan tangan dengan kau ini?!” Suaraku menggegarkan seluruh bilik yang sepi itu.

 

Wajah isteriku berubah pucat bagai ditoreh tiada darah. Hendak mengatakan sesuatu tetapi aku hanya mengabaikannya. Hatiku panas seperti api yang membara.  Aku menuju bilikku lalu menghempaskan daun pintu semahunya. 

 

“Pang!” Kedengaran barang terjatuh di atas lantai diikuti dengan tangisan anak-anak. Aku cuak.

 

 “Mama! Bangunlah mama!” Sheila dan Amir menggoncang badan isteriku sambil menangis teresak-esak.

 

Seperti lipas kudung aku menuju ke dapur. Tanpa aku sedari, isteriku sudah terlantar di atas lantai. Darah mengalir dari kepala isteriku seperti air terjun. Suasana di rumah menjadi sangat kecoh. Perasaan risau mula menyelubungi seluruh tubuhku. Aku meletakkan kepala isteriku di atas pahaku lalu mengeluarkan telefon bimbitku untuk menghubungi ambulans.

 

Setibanya di hospital, isteriku dikejarkan ke bilik kecemasan. Hatiku berasa tidak tenteram. Aku serik!

 

Derapan tapak kaki membuatku berdebar-debar. Kelihatan seorang doktor yang berpakaian hijau dan berpelitup muka menghampiriku. Dia memberitahu bahawa isteriku mempunyai darah beku di bahagian otak dan harus dibedah segera. Doktor turut mengatakan bahawa walaupun dapat diselamatkan, isteriku akan dalam keadaan koma.

 

Ya Tuhan! Dugaan apakah ini?! Maafkan Abang sayang! Abang janji akan buat apa sahaja demi menyelamatkanmu. Aku terkesima.

Dua bulan sudah berlalu, aku masih tidak boleh menerima qada’ dan qadar. Aku asyik termenung dan menyalahkan diri sendiri. Kehidupanku menjadi semakin tidak terurus. Anak-anak, aku biarkan sahaja ibu mertuaku menguruskan mereka.

 

“Adam, janganlah asyik duduk terperap di dalam bilik sahaja. Tengoklah anak-anak kamu tu, pagi ke malam asyik tanyakan keadaan kamu. Kalau Adam terus begini, bagaimana dengan perniagaan Amelina?” nasihat ibu mertuaku.

 

Dia memberikanku sekeping kertas yang ditulis oleh isteriku sebelum dia menikahiku. Aku berasa bersalah. Aku bangun dari kerusi empuk lalu menuju ke dapur untuk mencuba membuat kuih bangkit. Mataku melilau mencari buku resepi isteriku. Aku mesti bangkit! Aku mesti kuat demi anak-anak. Aku mesti meneruskan impian isteriku untuk membuka kedai Kuih Bangkit!

 

Aku masih ingat kemesraan kami sekeluarga sebelum kejadian itu berlaku. Aku masih ingat hilai tawa kami sewaktu sama-sama di dapur. Aku masih ingat bagaimana aroma kuih isteriku menusuk ke dalam hidungku. Ya, kuih bangkit isteriku memang tiada tandingannya.

 

Dengan bertungkus-lumus, aku mencuba untuk membuat kuih bangkit. Percubaanku yang pertama gagal namun, aku tidak berputus asa. Aku cuba untuk membuat kuih itu sekali lagi namun keputusannya sama, aku tetap gagal. Tanpa mengenal erti jemu, aku cuba lagi sehingga berjaya membuat kuih bangkit. Walaupun rasanya tidak sama dengan hasil buatan isteriku namun, aku berjanji perusahaan kuih bangkit isteriku akan kembali beroperasi.

 

Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, nama kuih bangkit isteriku kembali meniti di bibir orang-orang sekeliling. Mataku terbeliak apabila melihat jumlah wang yang aku kumpulkan hasil jualan kuih bangkit. Titisan air mata mula jatuh satu-persatu.

 

“Ayah! Kenapa ayah menangis?” Tanya anakku, Sheila.

 

Tiba-tiba, lamunanku terhenti. Aku menyeka air mataku sambil mengukirkan senyuman yang lebar. Aku harus terus kuat demi anak-anakku. Aku tidak boleh kelihatan sedih di hadapan mereka, pasti mereka akan turut berasa sedih. Kejadian ini telah mengajarkan aku bahawa aku harus menerima takdir Tuhan dan bangkit dari kesalahanku.

 

Permintaan

Oleh: Nur Asyiqin Binte Effendy 

Hari ini menandakan tahun yang ketiga sejak pemergian ibuku. Ayahku sudah lama meninggal dunia sejak lima tahun yang lalu akibat penyakit kronik. Beberapa titik air jernih membasahi pipiku yang gebu apabila aku menatap kubur ibuku yang dihiasi dengan bunga-bunga yang ditabur oleh anak angkatnya yang bersebelahan denganku. Pada pagi itu, aku dan Hasnah melawat kubur arwah ayah dan ibuku. Aku menyesal kerana hanya berbaik dengan Hasnah selepas kematian ibuku. Pasti ibuku gembira jika dia melihat aku dan Hasnah akhirnya berbaik semula. Aku telah pun menunaikan salah satu permintaan ibuku selepas dia meninggal dunia. Ingatanku kembali menjangkau suasana masa lampau, ketika ibuku baru sahaja mengambil Hasnah sebagai anak angkatnya.


Pada ketika itu, aku baru sahaja pulang dari kerja apabila aku melihat seorang remaja yang berusia kira-kira 18 tahun duduk di ruang tamu. Aku terkejut dengan kehadirannya kerana ibuku tidak memberitahuku bahawa ada tetamu yang akan datang pada hari tersebut. Namun, daripada wajah ibuku, aku tahu ada perkara yang serius yang mahu disampaikan olehnya. Dengan nada yang serius, dia memberitahuku bahawa dia telah mengambil budak tersebut yang bernama Hasnah sebagai anak angkatnya. Aku seolah-olah tidak percaya akan kata-kata ibuku. Aku tidak tahu jika aku sepatutnya berasa gembira ataupun kecewa kerana ibuku langsung tidak berbincang denganku tentang hasratnya untuk mengambil anak angkat. Namun begitu, aku berasa gembira kerana akhirnya aku mempunyai seorang adik walaupun dia hanya adik angkatku. Ini kerana aku anak tunggal dan tidak mempunyai adik-beradik, jadi, berita tersebut membuatku melonjak kegembiraan.


Aku mendapat tahu bahawa ibuku mengenali Hasnah sejak pertemuan mereka di Rumah Kebajikan Anak Yatim dua bulan yang lalu. Ibuku terkenal dengan perwatakannya yang dermawan dan suka membantu orang lain dalam kesusahan. Kebetulan, Hasnah ialah salah seorang anak yatim yang tinggal di rumah kebajikan tersebut. Ibuku sering meluangkan masanya dengan anak-anak yatim itu untuk mengisi masa lapangnya dengan baik. Pada masa yang sama, Hasnah dan juga ibuku amat rapat kerana Hasnah sering mengongsi masalahnya dengan ibuku. Hasnah selesa berbual dengan ibuku kerana wajah ibuku mirip dengan wajah arwah ibunya. Setelah sekian lama mengenali Hasnah, ibuku membuat keputusan untuk mengambil Hasnah sebagai anak angkatnya.


Setelah Hasnah menetap di rumahku selama sebulan, aku berasa senang dengan kehadirannya. Malah, kehadirannya telah membuat suasana rumahku lebih meriah. Walaubagaimanapun, aku merasakan bahawa perhatian dan kasih saying ibuku telah beralih kepada Hasnah sebaliknya. Contohnya, setiap kali aku ingin meluangkan masa dengan ibuku, Hasnah selalu menjadi penghalang untuk membuat demikian. Hari demi hari, ibuku selalu meluangkan bersama Hasnah. Aku berasa tersinggung akan perbuatan Hasnah. Ini membuatkan aku benci terhadap Hasnah dan mula menyesal akan keputusan ibuku yang mahu mengambil Hasnah sebagai anak angkatnya pada mulanya. Ini telah menyebabkan pertengkaran antara aku dan juga Hasnah. Pada masa yang sama, aku mula perasan bahawa kesihatan ibuku semakin merosot. Tanpa berlengah lagi, aku pun membuat keputusan untuk membawa ibuku ke hospital. Naluriku untuk membawa ibuku ke hospital memang tepat. Ini kerana aku telah mendapat tahu bahawa ibuku telah menghidap kanser payudara tahap empat.


Rupa-rupanya, ibuku telah menyorok sakitnya itu daripadaku. Hatiku pecah seribu. Aku hanyut dibawa arus resah kerana aku tahu ibuku akan pergi buat selama-lamanya pada bila-bila masa sahaja. Disebabkan itu, ibuku terpaksa dimasukkan ke wad hospital. Sebab disebalik ibuku yang selalu meluangkan masa dengan Hasnah ialah dia mahu meluangkan sisa masanya yang dia ada di dunia ini dengan membuat kebaikan. Selain itu, Hasnah menemankannya ke hospital untuk menjalankan kimoterapi. Tambahan pula, dia telah membuat wasiat dan menetapkan beberapa permintaan yang harus aku tunaikan.


Namun, belum sempat aku menunaikan permintaannya itu, ibuku telah pergi buat selama-lamanya empat hari kemudian. Hatiku terlalu dukacita. Aku sering sibuk dengan kerja sehingga tiada masa untuk membuat amal kebajikan. Dengan itu, ibuku telah menetapkan beberapa permintaan yang harus aku tunaikan seperti menjaga Hasnah, menjadi seorang yang pemurah sepertinya dan juga membangunkan sebuah rumah kebajikan anak yatim. Setelah pemergian ibuku, aku bertekad untuk menunaikan permintaan tersebut dan akhirnya, aku berjaya. Hubunganku dengan Hasnah semakin akrab, namun aku berasa serba salah kerana bersangka buruk terhadap Hasnah.


Tiba-tiba, lamunanku terhenti apabila Hasnah mengajakku untuk pulang ke rumah setelah berada di tapak perkuburan tersebut pada jangka masa yang lama. Senyuman mesra terukir di bibirku apabila mengenangkan peristiwa tersebut dan akhirnya menunaikan segala permintaan ibuku.

Kuih Bahulu

Oleh: Rayna Na'eema Binte Noorazan 

“Bip… bip… bip…”


Garisan hijau yang turun dan naik yang terpapar di skrin itu bertukar menjadi garis lurus secara tiba-tiba. Adikku yang baru sahaja tiba pun membeliakkan matanya lantas berlari keluar dari bilik wad ini. Penglihatanku mulai kabur. Aku hanya mampu terbaring di atas lantai sambil mendengar suara-suara doktor yang cuba menyelamatkan ibuku.

      

 “Ibu.. kakak ada belikan kuih bahulu. Makanan kegemaran ibu”.

Ibu hanya tersenyum lebar tatkala melihat kelibatku. Aku masih ingat akan senyuman yang terukir itu. Senyuman sangat mendamaikanku.


Melihat akan muka ibu itu, aku teringat akan permintaan terakhir arwah ayahku. Pada waktu itu, ayah sedang bertarung nyawa di katil hospital. Walaupun dalam keadaan lesu, dia masih mampu lagi untuk tersenyum dan meninggalkan pesanan terakhir buatku.


“Kakak, tolong jagakan ibu ya. Ayah tahu ibu kamu itu kadang-kala degil, tetapi kakak bersabar lah ya! Tolong jagakan adik juga. Walaupun kakak tidak pernah bersuara tetapi ayah tahu yang kakak ada terasa hati. Ayah dan ibu sering memberi tumpuan kepada adik. Ayah mahu kakak tahu yang ayah sayang kamu berdua sama sahaja,”

Ya, apa yang dikatakan itu benar. Aku selalu merasakan yang mereka berdua hanya ada masa untuk adik. Yang paling memeritkan ialah, dia bukanlah adik kandungku. Dia diambil sebagai anak angkat hanya kerana ibu dan ayah berasa kasihan melihatku sering bermain seorang diri tanpa teman.


Saat pertama kali bertemu, aku dan adik berasa amat kaku. Kami tidak tahu bagaimana untuk berinteraksi antara satu sama lain. Hari berganti hari, aku semakin selesa dengan adik. Aku sudah tidak keseorangan lagi. Dia sering membuatku berasa gembira. Dialah insan yang sentiasa mendengar segala rintihanku. Namun, adik lebih pandai daripadaku. Dia sering mendapat keputusan yang cemerlang dan tidak pernah sesekalipun mengecewakan ibu dan ayah. Aku pula seseorang yang sering gagal. Cita-cita adik adalah untuk menjadi seorang doktor manakala aku, ingin bekerja dalam bidang muzik. Ibu dan ayah tidak setuju dengan keputusanku itu. Disebabkan itu, aku mengambil keputusan untuk keluar dari rumah demi mencapai cita-citaku.


Lima belas tahun berlalu dengan pantas. Aku sudah menjadi seorang ahli muzik yang berjaya. Sewaktu aku sedang sibuk bekerja di sebuah studio, tiba-tiba aku menerima sebuah panggilan telefon dari sebuah hospital. Degupan jantungku menjadi pantas apabila diberitahu bahawa ibuku menghidapi penyakit barah hati dan tidak mampu untuk bertahan lama. Tanpa berlengah, aku bergegas ke hospital. Aku sempat singgah ke kedai untuk membeli kuih bahulu. Aku teringat yang ia merupakan makanan kegemaran ibu dan mahu membelinya sebagai buah tangan.


Setibanya di hospital, aku berasa gementar untuk memasuki bilik yang kelihatan muram itu. Hatiku berasa tenang apabila terpandang senyuman ibu. Adik hanya diam seribu bahasa. Aku terus memeluk kemas ibuku sambal menangis.  Wajah ibu begitu pucat dan badannya yang lemah itu mengingatkanku akan saat-saat terakhir ayah.

“Kakak, sudah lama kita tidak berjumpa. Kakak kelihatan kurus sekali. Ibu dan adik rindu sama kakak. Kakak tolong jagakan adik ya! Ibu…,” belum sempat ibu menghabiskan ayatnya, tiba-tiba garis lurus terpapar di skrin itu.


Tidak dapat aku ungkapkan perasaanku pada saat itu. Marah, sedih dan kecewa.  Ibu dan ayah hanya sayangkan adik sahaja. Permintaan mereka berdua adalah untuk menjaga adik. Aku pula bagaimana? Semuanya tentang adik, tidak pernah sesekalipun tentangku. Alangkah bagusnya jika adik tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan kami.

Tidak tahu berapa lama aku terduduk di lantai. Aku pun keluar untuk mencari adik. Pelbagai kata-kata yang ingin aku lemparkan kepadanya. Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Aku diberitahu bahawa adikku baru sahaja terlibat dalam kemalangan di luar hospital dan telah meninggal di tempat kejadian. Telefon bimbitku terlepas dari genggamanku.


Aku menyesal! Aku telah gagal sekali lagi. Aku gagal untuk jadi seorang kakak dan seorang anak yang baik. Aku gagal untuk memenuhi permintaan ibu dan ayah. Maafkan kakak!

PENGORBANAN IBU

Oleh: Noor Ashikin Binte Abdul Khalid 

Budi seseorang harus diingat seumur hidup bak kata peribahasa hutang emas dapat dibayar, hutang budi dibawa mati. Aku masih tidak boleh melupakan pengorbanannya walaupun peristiwa itu berlaku dua puluh tahun yang lalu.

 

Ketika aku berumur sepuluh tahun, aku sering jatuh sakit. Aku sering berasa lesu dan senang tercungap-cungap apabila melakukan aktiviti fizikal bertahap sederhana. Ibu semakin risau setiap kali aku merungut kepadanya. Beliau pun membawa aku ke klinik. Perkhabaran yang disampaikan doktor benar-benar mengguris luka di hati ibu. Kami diberitahu bahawa aku menghidapi penyakit leukemia tahap kedua. Doktor menasihatiku supaya menjalani kemoterapi untuk merawat penyakit ini. Namun, tiada jaminan bahawa rawatan itu akan berhasil seratus peratus.

 

Perasaan berkecamuk melanda hati ibu. Mampukah ibu melangsaikan bil-bil hospital dengan pendapatannya yang rendah? Setelah berfikir panjang, ibu bercadang untuk mencari pekerjaan lain yang mendatangkan gaji yang lebih lumayan. Selain itu, ibu juga mencari pekerjaan yang mempunyai waktu yang fleksibel agar dapat menjagaku sambil bekerja.

 

Beberapa bulan kemudian, aku ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan. Malangnya, aku diberitahu bahawa kesihatan aku semakin merosot. Kini, penyakitku telah menjangkau tahap ketiga. Aku tidak boleh menangguhkan lagi rawatan kemoterapi. Ketika aku ditahan di hospital, ibu bekerja dari pagi sehingga malam. Ibu melawat aku setiap hari meskipun berasa letih.

 

Pada suatu hari, ibu menerima panggilan daripada hospital yang mengkhabarkan bahawa aku harus menjalani pemindahan sumsum tulang untuk menyelamatkan nyawaku. Ibu meninggalkan semua kerjanya lalu bergegas ke hospital. Sayangnya, dalam perjalanannya ke hospital, ibu terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya. Ibu dikejarkan ke hospital, namun doktor tidak dapat menyelamatkan nyawa ibu kerana kecederaan ibu terlalu parah. 

 

Jelas terpancar kehampaan di raut wajahku apabila mendengar khabar buruk ini. Namun dalam kesakitan menanggung peritnya kehilangan ibu, doktor mengkhabarkan bahawa sumsum tulang ibu serasi untuk dipindahkan buatku. Aku teragak-agak untuk menerima hakikat ini. Kesihatanku diperoleh atas permergian ibu? Kejayaanku mendapatkan kembali kesihatanku dan diberi nafas baharu diperoleh atas nafas terakhir ibuku sendiri?

 

Ibu telah pergi buat selamanya. Namun aku tahu bahawa kejayaanku hari ini adalah disebabkan pengorbanannya selama ini biarpun terpaksa mengharungi segala kesusahan. Itulah pengertian sebenar kasih sayang seorang ibu yang tiada berkesudahan sampai bila-bila.

Ibu…Berkorban Apa Sahaja

Oleh: Nur'ili Aimi Saifuddin

Kehidupan aku dahulu tidak semewah seperti kawan-kawanku tetapi, apa yang aku minta, ibuku selalu ada di sisiku untuk memenuhi segala permintaanku. Aku bahagia hidup di samping ibu tersayang tetapi kehadiran ibu seperti embun di hujung rumput. Ibu tidak kekal di sisiku buat selama-lamanya. Kini aku sudah besar panjang dan berjaya. Malangnya, ibu tiada lagi di sisiku. Aku melihat ke kirii dan kanaku, ibu bapa teman-teman dapat menyaksikan kejayaan anak-anak mereka dan bersorak kegirangan. Aku telah dapat menamatkan pengajianku di Universiti Cambridge. Sijil itu mengingatkanku segala pengorbanan dan sumbangan ibu sehingga aku berjaya. Ibu telah bekerja  keras demi kejayaan anak kesayangannya. Ibu ingin memberikanku masa hadapan yang cerah. Fikiranku melayang jauh…

 

Aku dan ibu sering mengalami kesempitan kewangan. Namun kmi tidak suka menonjolkan kedukaan dan kemiskinan kami keppada sesiapa. Kami lebin suka bersikap ceria dan juga menyinari kehidupan orang lain. Bapaku  menceraikan Ibuku dan tidak memberi sesen nafkah pun untuk menyenangkan kehidupan ibu dan diriku. Setiap kali aku meminta sesuatu daripada ibu, ibu tidak pernah menghampakan permintaanku. Dia berusaha dengan pelbagai cara untuk memenuhi permintaanku. Pergerakan ibu ada hadnya.  Ibuku tergolong dalam golongan orang kurang upaya kerana kakinya tempang. Namun keadaannya itu tidak menghalangnya  untuk memenuhi keperluan anak tunggalnya ini. Selagi terdaya, ibu terus menggunakan empat keratnya untuk berusaha.

 

Setiap pagi pada hari bersekolah, Ibuku akan selalu bangun lebih awal untuk menyiapkan sarapanku. Bukan itu sahaja, Ibuku juga membuat kuih untuk dihantar ke salah sebuah gerai di kantin sekolahku supaya boleh menambahkan pendapatan keluarga kami. Selepas itu, Ibuku akan ke stesen Pengangkutan Gerak Cepat (MRT) bawah tanah dan bekerja sebagai pencuci tandas. Ibuku terpaksa membongkok dan mencuci setiap permukaan lantai tandas yang kotor. Yang kasihannya, Pada hujung minggu pula, Ibu mengambil upah mengemas dan menggosok baju di rumah orang. Aku masih ingat lagi peristiwa yang berlaku suatu masa dahulu. Ketika itu, peperiksaan GCE peringkat ‘O’ hampir menjelang. Aku mengalami kesukaran  menelaah pelajaran lalu aku berasa sangat tertekan. Dengan peluh sejuk berkumpul di dahiku,aku pula memberanikan diri untuk bertanya kepada ibuku.

 

“Ibu, bolehkah Faqih menyertai tuisyen dan mendapatkan bantuan tambahan dalam pelajaran Faqih?” Ibu memandang wajahku dengan penuh kasih sayang lalu mengangguk dengan senyuman manisnya. Aku mengucapkan terima kasih lalu mencium pipinya sambil memeluknya erat. Aku amat menghargai pengorbanan ibu.

 

“Faqih janji, akan belajar rajin-rajin dan tidak menyusahkan Ibu!”janjiku kepada ibu.

 

Akhirnya sudah selesai peperiksaan GCE peringkat ‘O’ dan hari untuk mengambil keputusan pun tiba. Semasa aku dan ibuku di dewan sekolah, rasa gelisah menjamah hatiku dan ketakutan mula bergayut di sudut hatiku. Guru memanggil namaku lalu memberiku slip keputusan yang aku nanti-nantikan. Jantungku berdegup kencang. Dengan perlahan-lahan, aku membuka slip keputusanku. Allhamdulillah! Aku mendapat gred ‘A1’ untuk setiap subjek. Aku menoleh ke belakang lalu terpandang wajah ibu di tepi.

Tanpa berlengah lagi, aku bergegas ke arah ibu. Sekonyong-konyong, ibu jatuh dari kerusinya lalu terbaring di atas lantai. Orang ramai di dewan ketika itu turut berasa terperanjat tatkala melihat apa yang berlaku. Aku mempercepatkan langkahku untuk mendapatkan ibu.

 

 "Ibu… tolong bangun! mengapa Ibu tidak memberitahu yang ibu sakit?" Aku menggoyang-goyangkan bahu ibu. Manik-manik jernih mula membasahi pipiku.

 

Ibu membuka matanya perlahan-lahan seraya berkata, "Ibu sangat bangga akan kejayaan Faqih. Jangan risau tentang Ibu. Ibu ingin melihat Faqih gembira." Tiba-tiba genggaman ibu melepaskan tanganku dan tanpa kuduga sama sekali ibu telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

 

“Ibu……!” Aku menjerit sekuat hatiku dan enggan melepaskan ibu. Aku sedar bahawa segala pergorbanan ibu tidak kira kecil mahupun besar memainkan peranan yang besar dalam hidupku. Dia bekerja bertungkus-lumus untuk memenuhi permintaanku dan untuk memberikanku kebahagiaan. Walaupun kami miskin, dia masih sanggup membelanjakan wang untuk diriku supaya aku tidak dipinggirkan oleh  kawan-kawan yang lain. Dia membayar yuran pengajianku dengan keringatnya sendiri. Sebagai balasan untuknya, aku berjanji untuk mengejar impianku dan terus mengejar kejayaan. Ibu meninggal dunia akibat lelah. Walaupun dia tidak bersama denganku lagi, aku tahu bahawa dia memerhati dari atas.

 

Ibu telah pergi buat selamanya.  Namun aku tahu bahawa kejayaanku hari ini adalah disebabkan oleh pengorbanannya selama ini biarpun terpaksa mengharungi segala kesusahan.  Itulah pengertian sebenar kasih sayang seorang ibu yang tiada berkesudahan sampai bila-bila.

PERKENALAN

Oleh: Eisyraf Anaqi Esham 

"Hai, boleh saya berkenalan dengan awak?" Tersentak aku apabila tetiba sahaja menerima kiriman mesej daripada seseorang yang tidak aku kenali di dalam akaun media sosialku. Hatiku berbelah bagi. Haruskah aku memberikan respons kepada si pengirim ini?


Aku klik pada gambar profilnya dan ia menunjukkan seorang lelaki yang berwajah kacak. Hatiku yang pedal menjadi cair umpama ais yang diletakkan di bawah terik mentari.


“Kacaknya lelaki ini!" bisik hati kecilku.


Dengan tidak berlengah lagi aku mengikutinya di platform media sosial Instagram kerana aku mahu mengenalinya dengan lebih dekat. Sejak hari itu , aku sering membaca kiriman mesej daripada lelaki itu yang bernama Saufiaz. Aku masih belum berjumpa Saufiaz secara peribadi kerana setiap kali aku mahu bertemunya, dia sentiasa akan menolak permintaanku. Meskipun, aku tidak berfikir panjang tentang hal itu, aku mula jatuh cinta dengan Saufiaz.


Pada suatu hari, semasa aku di dalam bas awam untuk ke sekolah, aku terdengar bunyi telefon bimbitku berdering. Aku mengeluarkan telefon bimbit ku daripada poketku. Rupa-rupanya, ia adalah kiriman mesej daripada Saufiaz. Mataku sehingga-hingga terkeluar daripada soketnya apabila aku membaca mesej itu.


Aisyah, boleh awak jumpa saya di tempat kerja saya pada jam 10:00 malam ini? Saya mahu berkenalan dengan awak secara peribadi. Saya akan berada di gudang syarikat pekerjaan saya kerana saya harus membuat pengambilan stok untuk teknologi yang baru dihantar dari China. Awak boleh berjumpa saya di gudang ini. Ini adalah nama gudang itu, Lifty Tech Pte Ltd.


Perasaan gembira meruap di dadaku. Aku menuruni bas dan hampir hilang langkah tetapi aku tidak peduli kerana satu-satunya perkara yang membuatku ghairah ialah aku akan berjumpa dengan kekasihku buat kali pertama!

Pada jam 8.30 malam, aku memberitahu mak aku yang bengis seperti singa bahawa aku mahu menjumpa Saufiaz.

“Jangan! Kau hendak merayap pada pukul 10.00 malam setakat untuk berjumpa kekasih engkau. Lagipun, kalau Saufiaz hendak menjumpa engkau untuk berkenalan dengan engkau sahaja, kenapa harus pada waktu malam? Ibu rasa tidak sedap hati, mesti ada yang tidak kena."


Kata - kata ibuku itu menikam terus ke jantungku. Aku menunjuk ibuku wajah yang amat sedih tapi dalam fikiranku,aku sudah membuat keputusan untuk keluar rumah apabila ibuku sudah nyenyak tidur. 30 minit kemudian, ibuku pun tidur seperti beruang berhibernasi. Aku menyelinap keluar dari rumahku senyap seperti tikus.

Setelah aku di gudang tersebut, aku disambut dengan lelaki yang berumur sekurang-kurangnya 35 tahun.

“Assalamualaikum pak cik, adakah pak cik penyelia kepada Ahmad Sau ... "


Mataku melihat tag nama pak cik itu. Alangkah terperanjatnya aku apabila nama pakcik itu ialah Ahmad Saufiaz. Aku mula berasa lemah seolah-olah aku tidak makan sehingga 2 bulan. Fikiranku berkocak. Pak cik itu tersenyum jahat dan mula menyentuh aku. Aku mula menjerit sekuat mungkin. Tiba-tiba, aku mendengar jeritan yang amat tegas.

"Ahmad Saufiaz Bin Abu Bakar ! Kamu diberkas kerana dipercayai telah merogol tujuh orsng perempuan. Ikut saya ke balai!”


Empat pegawai polis memberkas pak cik itu dan seorang lagi pegawai polis mengiringi saya pulang ke rumah. Aku mula memahami maksud peribahasa sudah terhantuk, baru tengadah.

Penyesalan

Oleh: Ilithyia Nuriman Bte Mohamed Norazly


“Mikhail, Mikhail sihat?” tanya lbu.

 

Kata-katanya terngiang-ngiang di telingaku. Aku hanya mampu menganggukkan kepala. Mataku mula berkaca.

 

“Maafkan Mikhail, Ibu,” kataku dengan nada yang rendah.

 

“Mikha…” ayat Ibu terganggu tatkala kedengaran ketukan pada pintu besi.

 

“Masa anda sudah tamat, sila keluar dari bilik. Terima kasih,” arah pegawai polis tersebut.

 

“Bagaimanalah aku boleh berada di sini?” tanyaku dalam hati sambil melihat sekeliling selku, sebaik sahaja Ibu melangkah pergi.

 

Aku anak tunggal. Ibu bapaku telah bercerai ketika aku berumur tujuh tahun. Sejak itu, Ibu dan aku hidup dalam kemiskinan. Ibu melakukan beberapa pekerjaan untuk memastikan aku dapat terus bersekolah dan kami mempunyai kediaman yang selesa. Aku terlalu muda untuk bekerja jadi aku hanya mampu belajar bersungguh-sungguh untuk membantu ibu meringankan bebannya. 

 

Aku memanjat kesyukuran kerana segala usaha gigihku dalam pelajaran membuahkan hasil. Aku berjaya mendapat pekerjaan impianku. Namun selepas beberapa tahun, aku mendapati ramai rakan sepejabatku dinaikkan pangkat dalam masa yang singkat. Sebagai peguam di syarikatku, aku mempunyai akses kepada maklumat dalaman tentang saham syarikat yang dikendalikan. Perasaan iri hati terhadap rakan sejabatku menyelubungi diriku sehinggakan aku tidak dapat berfikiran waras lagi. Tanpa berfikir panjang, aku  ‘menjual’ informasi dalaman syarikat kepada syarikat saingan yang lain. Setiap kali aku berkongsi maklumat dengan syarikat pesaing, aku disyorkan kepada pelanggan untuk menjadikan aku peguam mereka. Aku dinaikkan pangkat kerana aku telah membantu untuk menambah bilangan pelanggan. Pendapatanku melonjak naik.

 

Pada suatu hari, tatkala aku sampai di pejabat selepas makan tengah hari, aku mendapati seorang pegawai polis sedang menunggu kepulanganku di dalam pejabatku.

 

“Apakah yang telah aku lakukan?” kata-kata itu bermain-main di fikiranku.

 

Ketakutan mula bergayut di sudut hatiku.Pegawai polis itu lantas menggari tanganku. Aku tergamam.

“Apakah salah saya, Encik?” tanyaku kepada pegawai polis itu. Selagi aku tidak menerima jawapan yang memuaskan, aku terus bertanya.


“Encik akan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. Encik didapati telah pecah amanah.” Kata-kata pegawai polis itu amat memeranjatkan diriku. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga. Selama ini aku sangka aku tidak akan diberkas. Aku yakin aku telah berhati-hati setiap kali aku ingin berkongsi informasi tentang syarikatku dengan para pesaing. Aku tidak terfikir sama sekali bahawa perbuatanku akan meninggalkan kesan.

 

 “Ada kerak, adalah nasi. Banyak kali Ibu berpesan kepada kamu bahawa kita harus berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu kerana setiap perbuatan akan meninggalkan kesan,” kata-kata Ibu tadi masih segar dalam ingatanku.

 

Rupa-rupanya, syarikat saingan menyuruh seseorang merakam pertemuanku dengan mereka dan rakaman itu telah disiarkan di internet sehingga menular. Aku sudah berjaya menggapai impianku untuk menjadi seorang peguam. Daripada kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, aku telah dapat mengubah taraf kehidupan keluargaku sehingga aku dapat memberikan ibu kemewahan. Aku telah sia-siakan segala kenikmatan yang Allah kurniakan kepadaku. Nasi sudah menjadi bubur. Aku tidak dapat memutarkan masa ke masa silam. Segalanya telah berlaku.


Mujurlah aku masih mempunyai Ibu di sisi yang tidak putus-putus memberiku semangat untuk terus kekal positif.


“Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna. Sudah terlambat untuk kamu menyesali akan perbuatanmu. Yang penting, apabila mendapat kebebasan semula, bertaubatlah. Mulakan kehidupan baharu. Tidak mudah untuk bangkit kembali tetapi Ibu percaya Mikhail akan dapat melakukannya. Jika ada kemahuan, tentu sekali ada jalan. Terus berdoa kepada Allah agar diberi kekuatan untuk tabah dan sabar ketika mengharungi segala cabaran sehingga berjaya bak pepatah genggam bara api biar sampai jadi arang. Ingat, ada kerak adalah nasi. Usaha yang gigih itu akan diberikan kejayaan yang setimpal.” Begitulah kata-kata akhir Ibu kepadaku sebelum tamat waktu lawatan tadi. Aku menyeka air mata yang mengalir. Aku berjanji kepada diriku bahawa aku akan bangkit semula dan akan memulakan perjuangan setelah bebas dari penjara nanti.


“Terima kasih Ibu. Mikhail berjanji tidak akan mengecewakan Ibu lagi,” kataku dalam hati. Aku terus mengambil wuduk untuk menunaikan fardhu asar. 

KESAL

Oleh: Khairul Hadif Bin Muhammad Khairul Fahmi 


9 Ogos 2021. Warga Singapura sedang sibuk meraikan Hari Kebangsaan. Namun aku? Aku sibuk menguruskan jenazah Afwan, yang tewas dengan virus yang menyerang seluruh cakerawala ini.

Sebelum Ibu meninggal dunia setahun yang lalu, Ibu telah mengamanahkanku untuk menjaga Afwan seperti darah daging sendiri.  Afwan merupakan adik angkatku. Kami berdua merupakan anak tunggal. Afwan dijaga oleh arwah Ibu kerana Afwan ialah anak kepada rakan baik arwah Ibu, Puan Halimah. Malangnya, setelah Afwan dilahirkan, Puan Halimah meninggal dunia setelah melahirkan Afwan. Sebelum Afwan dilahirkan lagi, Puan Halimah sudah menjadi janda apabila suaminya meninggal dunia. Kini, Afwan menjadi tanggungjawab aku. Maklumlah, aku anak tunggal, sama seperti Afwan. Afwan sudah berusia 11 tahun. Kasih sayangku terhadapnya ibarat peribahasa bagai menatang minyak yang penuh. Namun, tragedi yang berlaku pada hari itu sememangnya telah mengubah hidupku untuk selamanya.

Sejak bermulanya pandemik COVID-19, aku berasa ragu-ragu dan tidak yakin akan keberkesanan peraturan dan arahan yang ditetapkan oleh pemerintah. Prasangkaku semakin menebal setelah aku membaca teori konspirasi berkaitan virus ini yang menular di media sosial. Aku menganggapnya perkara remeh dan tidak perlu diutamakan. Semenjak langkah pemutus rangkaian COVID-19 bermula, aku tidak menghiraukan segala perintah kawalan terhadap pandemik ini dan menjalankan kehidupan dengan sambil lewa.

Pada suatu hari, aku dan Afwan didatangi seorang duta penjarakkan selamat kerana tidak mengamalkan jarak sosial yang ditetapkan oleh pemerintah. Darahku terus menyirap menusuk kemarahanku kerana ditegur. Aku menengking angkuh kepadanya dan berkata bahawa sebagai warga negara aku berhak dan mempunyai kebebasan untuk menentukan nasib dan keselamatanku sendiri. Duta tersebut pun mendiamkan diri dan meninggalkan tempat tersebut. Tanpa aku sedari, kelakuanku telah menarik perhatian orang-orang awam yang berada di situ. Kelakuanku juga dirakam dan telah menjadi tular di media sosial.

Aku masih tidak mempedulikan ancaman jangkitan virus pandemik ini. Aku tetap angkuh dan degil mengatakan kepada Afwan bahawa dia tidak perlu mengikuti langkah-langkah keselamatan yang ditetapkan oleh pemerintah kerana padaku, yang menentukan sakit pening dan ajal maut semuanya di tangan Tuhan. Aku dan Afwan langsung menjalani kehidupan seharian kami tanpa megamalkan penjarakan sosial atau langkah langkah keselamatan kendiri.

Malang sememangnya tidak berbau. Pada suatu waktu, sedang aku bekerja dari rumah dan Afwan melakukan pembelajaran dari rumah, mengadu sesak nafas. Peluh dingin ngeri mula menyelinap hatiku apabila Afwan mengatakan ubat batuk dan sesak nafas ‘Vicks’ yang aku berinya minum terasa tawar. Aku tidak mempunyai pilihan, aku bergegas membawanya ke klinik dengan segera.

Sesampai sahaja kami di klinik, Afwan dan aku dipisahkan untuk menjalani ujian ‘swab’. Ujian Pantas Antigen menunjukkan aku bebas Covid tetapi adikku didapati positif. Doktor terus memanggil ambulans dan mengejarkan Afwan ke hospital kerana nyawa Afwan berada di hujung tanduk. Keadaan Afwan semakin teruk dan dia memerlukan oksigen untuk membantu pernafasannya. Afwan di masukkan terus ke Unit Penjagaan Rapi di hospital.

Selepas beberapa hari bertarung nyawa, Afwan menghembuskan nafas terakhirnya dalam keadaan kuarantin. Aku terjatuh melutut apabila aku dikhabarkan berita pemergiannya. Aku cuba meraung akana pemergiannya tetapi suaraku menyepi, cuma air mata yang berlinangan di pipi. Aku tidak pernah terfikir bahawa virus ini akan memudaratkan sehingga sejauh ini. Oleh sebab kelakuanku yang angkuh, sombong dan bodoh, aku kehilangan Afwan. Kini aku tinggal sendiri, hidup sendiri tanpa sesiapapun disisiku. Aku sedar bahawa penularan virus ini tidak boleh diambil remeh. Aku menyesal, aku menyesal, aku menyesal. Sesal dahulu pendapatan tetapi sesal kemudian tidak berguna.

SALAH ANGGAP 

Oleh: Nur Insyirah Binte Mohamed Faizal


Malam semakin larut. Jalan raya kini lengang. Hanya sekali-sekala sahaja terdengar beberapa bunyi kenderaan yang menderu melintas lalu. Aku semakin risau. Soalan bertalu-talu datang dan pergi dalam fikiranku. Namun, hanya satu perkara yang aku pasti. Kawan baikku, Qistina, memang seorang yang kejam. Disebabkan aku kalah semasa bermain permainan ‘Truth or Dare’ bersamanya, sekarang aku merempat di tepi jalan.

 

Pada mulanya, kami berdua dalam perjalanan ke rumah ibu dan bapa Qistina. Keesokan hari menjelang hari perkahwinan rakanku itu. Sepanjang perjalanan itu, kami berdua tidak henti berborak tentang masa dulu. Masih ingat lagi memori-memori sekolah menengah baik yang manis mahupun yang pahit. Tiba-tiba Qistina teringat permainan yang selalu kami lakukan semasa waktu rehat dahulu. ‘Truth or Dare’ merupakan permainan yang terkenal dalam kalangan pelajar pada satu masa dahulu.

 

“Syirah, kebenaran atau cabaran?“ tanya Qistina dengan senyuman sinis yang mula berputik pada wajahnya.

 

Pada ketika itu, aku tidak memikirkan akibat teruk yang akan berlaku pada diriku. Aku pun pilih cabaran. Aku percaya yang Qistina seorang yang waras dan tidak akan menyuruhku untuk membuat perkara yang keterlaluan. Ternyata, firasat aku salah. Seterusnya, dia menghentikan keretanya itu dan meminta aku keluar sebentar untuk mengambil sesuatu di but kereta untuk menyahut cabaran itu. Aku seperti seorang yang tidak berakal mengikut arahannya. Belum sempat jariku menyentuh but kereta yang licin itu, kereta itu berdesup dan meninggalkan aku dengan kepulan asap hitam. Keadaan di jalan raya semasa itu seperti fikiranku, lengang dan kosong. Betulkah Qistina benar-benar meninggalkanku di tengah-tengah jalan raya yang entah beberapa jauh dari destinasi utama kami?

 

Sekarang aku seperti orang buta kehilangan tongkat. Aku tidak ada hala tuju dan jalan yang aku ambil ini tiada hujungnya. Tiada sesiapa yang aku boleh hubungi kerana tiada talian langsung di jalan raya ini. Aku hampir putus semangat dan menyerah pada takdir. Namun, sebuah kereta Volkswagen kuning berhenti di sebelahku. Alangkah terkejut aku, apabila ternampak sepasang suami isteri di dalam kereta itu berpakaian hitam.

 

“Adik ini mahu ke mana? Boleh kami tolong hantarkan?” tanya sang isteri dengan nada yang lembut.

 

Tanpa berfikir panjang, aku pun memberitahu mereka tempat yang ingin aku tuju dan menaiki kereta itu. Mereka berpakaian hitam dari hujung rambut sampai ke hujung kaki dan suasana dalam kereta itu sejuk hingga menusuk tulang. Walaupun begitu, pasangan suami isteri itu, Encik Adi dan Puan Lia, melayaniku dengan baik dan kami juga bersembang sedikit. Mungkin mereka baru saja pulang dari upacara pengebumian dan secara kebetulan, alat penghawa dingin kereta kuat. Dengan cara itu sahaja aku dapat memujuk hatiku supaya menjadi lebih berani.

 

Selepas beberapa minit, kami berhenti di sebuah stesen minyak untuk berehat seketika. Selepas aku kembali dari tandas untuk membuang air kecil, aku mengambil surat khabar dari rak-rak di tepi kedai stesen minyak itu. Aku menyelak helaian surat khabar itu sehingga mataku terpaku kepada satu artikel. Di muka hadapan artikel itu, terpampang dua keping gambar, seorang wanita dan lelaki. Mereka baru sahaja meninggal dunia petang tadi kerana kemalangan kereta. Mata aku terbeliak. Segugus debaran menggoncang dadaku. Dua orang di dalam gambar itu kelihatan seperti Encik Adi dan Puan Lia!

 

Aku memandang ke arah mereka yang sedang menungguku. Pasangan suami isteri itu merenung ke arahku. Mereka mengulum senyuman tipis. Sekonyong-konyong itu, bulu romaku mula meremang. Dengan hati yang berat, aku naik juga kereta itu. Aku tiada pilihan lain. Aku tersadai di tengah-tengah tempat yang entah di mana. Aku hanya mahu sampai ke destinasiku. Sepanjang perjalanan ke rumah ibu bapa Qistina, aku diam membisu.

 

“Syirah, kenapa diam sahaja? Ada apa-apa yang berlaku tadi?” tanya Encik Adi dengan dahi yang berkerut.

 

Aku tidak menjawab. Debar jantungku memukul dada. Mulutku bagaikan terkunci tanpa kata. Puan Lia memerhatikan aku sahaja dengan penuh kehairanan. Pada awal perjalanan kami, aku tidak berhenti membebel tentang Qistina tetapi sekarang, aku mendiamkan diri sahaja.

 

Sampai sahaja di rumah Qistina, aku bergegas mencari dan memeluk kawan aku itu dengan erat. Aku pun memberitahunya bahawa ada dua hantu yang telah membawa aku ke rumahnya! Qistina pun melepaskan dakapanku. Badan aku sudah mula menggigil. Qistina memegang kuat lenganku menggoncangkan sedikit tubuhku untuk memulihkan aku daripada keadaan histeria itu.

 

Pada sangkaan Qistina, aku sudah menjadi gila. Dia meluru menjemput Encik Adi dan Puan Lia. Aku pun bersembunyi di belakang pintu bilik yang menampakkan keadaan di ruang tamu. Seram sejukku belum reda. Kelihatannya seperti semua orang sedang bersembang seperti biasa. Sebentar lagi malam mula bertahta. Encik Adi dan Puan Lia mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan pulang.

 

Hendak ke mana lagi hantu-hantu ini? Mengapa Qistina berborak dengan mereka seperti biasa? Dalam keadaan yang tidak puas hati, aku mengumpulkan segala kudrat yang berada dalam diriku untuk ke ruang tamu dan berdiri di hadapan hantu-hantu tersebut. Aku menyekat perjalanan mereka.

 

“Tadi di stesen minyak… Dalam surat khabar ada gambar kalian berdua… Mati sebab kemalangan petang tadi…,” tergagap-gagap aku cuba menyusun struktur ayatku yang tunggang-terbalik.

 

Pada mulanya, dahi mereka berkerut dengan pertanyaan aku itu. Namun, selepas itu, bayang-bayang kesedihan dan kepiluan tercalit di wajah mereka. Mereka pun terduduk di kerusi kayu dan menceritakan kisah adik kembar mereka yang terlibat dalam sebuah kemalangan ngeri.

 

Agak sukar untuk aku bayangkan hal yang sebenar. Tidak aku sangka perkara ini boleh terjadi dalam alam realiti. Sangkaku ini terjadi dalam filem-filem seram sahaja. Rupa-rupanya Encik Adi dan Puan Lia mempunyai kembar. Adik-beradik kembar mereka juga suami isteri, seperti mereka!

 

Malang tidak berbau. Semasa perjalanan kembar mereka ke rumah Encik Adi dan Puan Lia, mereka dilanggar oleh sebuah lori yang dipandu oleh seorang pemandu yang mabuk. Jelaslah bahawa mereka berpakaian serba hitam kerana mereka baru pulang daripada upacara pengebumian arwah adik-adik mereka. Selepas menceritakan perkara yang telah berlaku, aku berasa menyesal. Sudahlah aku tidak sensitif, aku membuat anggapan pula tanpa bukti yang kukuh.

 

Aku meminta maaf kepada Encik Adi dan Puan Lia. Mereka juga menenangkan hatiku dan meminta maaf kerana tidak memberitahuku duduk perkara yang sebenar. Selepas kejadian itu, kami terus berhubung rapat. Aku sudah anggap mereka seperti keluarga aku sendiri. Melalui kejadian ini, aku pelajari untuk tidak serkap jarang dan menyiasat sesuatu dahulu sebelum membuat anggapan.

KEBERANIAN

 Oleh: Ilithyia Nuriman Bte Mohamed Norazly


       “Semua hadirin, sila berdiri untuk kedatangan hakim.”

 

Kedengaran pengumuman daripada seorang bailif. Pernahkah kau dimarah, dimaki, diherdik, dicaci dan dituduh melakukan sesuatu yang tidak kau lakukan oleh orang-orang yang selama ini kau kagumi akan pencapaian hidup dan budi pekerti mereka?

 

  Datangnya aku ke pulau ini dengan harapan untuk mengubah nasib aku dan adik-adikku. Kata jiran tetangga yang pernah bekerja di sini, Singapura yang serba moden ini mampu merealisasikan impianku untuk memberikan kehidupan yang terbaik untuk adik-adikku. Pekerjaan di Singapura dapat membiayai segala kos persekolahan mereka, agar kami tidak terus tenggelam di dalam lingkaran kemiskinan dan dapat memperbaik keadaan hidup kami.

 

Ibu telah lama pergi meninggalkan kami kerana menghidapi barah paru-paru. Aku sebagai anak yang sulung memikul segala tanggungjawab untuk menjaga dan menyara adik-adikku selepas pemergian Ibu. Ayah yang tidak pernah menghiraukan perihal kami sejak adanya Ibu dulu, tanpa berlengah mencari ratu hati yang baharu dan terus berpindah ke kampung yang lain.

 

Aku tidak menyambung pengajianku dan terus menawarkan diri untuk bekerja di sawah jiran-jiran untuk menampung kehidupanku dan adik-adikku. Hampir lima tahun aku bekerja dan menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Dengan usaha gigih, adik-adikku berjaya dalam semua mata pelajaran mereka. Ya, kami tidak kaya, tetapi aku selalu menasihati mereka untuk terus mencapai prestasi yang terbaik di sekolah. Biar aku seorang saja yang bertungkus-lumus bekerja, berhempas pula untuk keselesaan adik-adikku.

 

Ramai teman-temanku mencuba nasib bekerja di luar negara. Aku terpanggil untuk melakukan perkara yang sama kerana aku melihat mereka berjaya meningkatkan mutu  kehidupan keluarga mereka dengan bekerja selama beberapa tahun sahaja di negara asing. Aku bertekad untuk melakukan perkara yang sama dan mendaftarkan diri di agensi pekerja asing.

 

Tidak lama kemudian, aku mendapat berita bahawa aku telah terpilih untuk bekerja dengan sebuah keluarga di Singapura. Meskipun aku dan adik-adikku sedih kerana harus berpisah, namun aku tahu ini adalah keputusan yang terbaik buat keluarga kami.

 

Setibanya aku di Singapura, aku disambut baik oleh Encik Lim, majikanku dan juga keluarganya. Aku diajar cara-cara untuk memasak, melayan dan membersihkan kediaman Encik Lim. Aku juga diberikan bilik sendiri untuk berehat. Aku dilayan dengan baik, walaupun aku sekadar seorang pembantu rumah dan Encik Lim dan keluarganya merupakan keluarga yang kaya.

 

Pada satu Ahad, ketika aku sedang membersihkan ruang atas rumah, aku terdengar Encik Lim berbual dengan seseorang melalui telefon bimbit. Encik Lim kedengaran sungguh marah.

 

“Ya, aku tidak peduli! Masuk kan wang yang diperuntuk untuk semua pesakit Covid ke dalam akaun bankku. Mereka sudah sakit, biarlah mereka mati,” Aku terperanjat mendengar jeritan Encik Lim yang selalunya bertutur dengan lembut.

 

       Dalam ketakutan, aku dengan cepat cuba berlalu dari tempat itu. Dengan tidak sengajanya, aku terlanggar pasu bunga kegemaran Puan Lim. Encik Lim bergegas keluar dari bilik dan tersentak melihat aku di situ. Muka nya kelihatan cemas, seolah-olah dia tahu bahawa aku telah terdengar akan perbualannya. Tidak lama kemudian, ahli keluarga yang lain datang dan setelah memastikan keadaan baik-baik sahaja dan aku tidak terluka dek serpihan pasu yang pecah, aku disuruh untuk untuk menyiapkan hidangan makan malam.

Hari-hari seterusnya, aku menjalankan kerja seperti biasa, tanpa memikirkan apa yang telah kuterdengar tempoh hari.

 

“Somaly, datang ke sini sekarang! Apa semua ini? Cuba kamu terangkan bagaimana semua barangan aku boleh berada di bilik kamu? Kamu dibayar dengan lumayan dan dilayan dengan baik! Mengapa kamu sanggup mencuri barang kemas saya?” jerit Puan Lim sambil menunjukkan beg kepunyaanku yang dipenuhi barang kemas.

 

       “Tidak ma’am… saya tidak buat semua itu. Saya... tidak pernah mencuri,” tergagap-gagap aku menerangkan kepada Puan Lim kerana aku terperanjat disergah sebegitu. Aku sendiri tidak tahu bagaimana barang-barang itu boleh berada di dalam begku.

Puan Lim tidak menghiraukanku. Bilik tidurku terus digeledah. Dia seperti orang yang sudah hilang akal. Tidak lama kemudian Encik Lim bergegas masuk bersama dua orang pegawai polis. Aku disoal dan disuruh berdiri di satu sudut. Pegawai polis terus menggeledah barang-barangku. Berkali-kali aku mengatakan bahawa aku tidak bersalah. Ini semua adalah satu salah faham. Namun, pegawai polis itu tidak mengambil endah dan aku terus digari dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

 

Aku bingung. Meskipun terdetik kegelisahan yang menebal dalam diriku, aku cuba menenangkan diriku. Berkali-kali aku meyakinkan diriku bahawa aku tidak bersalah, tiada sebab langsung untuk aku berasa takut. Apa yang sebenarnya terjadi? Aku disoal perkara yang sama berulang kali. Pihak polis menggertak aku dengan pelbagai ancaman dengan harapan aku akan mengaku salah tetapi aku tetap menafikan segalanya. Ya, aku miskin, tetapi aku bukan pencuri! Aku berpegang teguh pada pepatah “Berani kerana benar, takut kerana salah”. Aku harus terus berikhtiar untuk terus membersihkan namaku. Aku harus lakukan ini demi adik-beradikku. Bagaimanakah mereka akan meneruskan kehidupan mereka di Myanmar tanpaku dan pendapatan yang disalurkan kepada mereka?

 

Selang beberapa hari, akhirnya aku diberitahu bahawa aku mendapat lawatan dari pihak kedutaan, peguam bela dan pegawai penterjemah. Aku menangis dalam kelegaan kerana dapat menceritakan hal yang sebenar. Semua yang aku ceritakan dipandang serius oleh peguam bela dan pihak kedutaan. Pegawai penterjemah gigih memberitahu peguam bela duduk perkara yang sebenar. Namun mereka tidak dapat melepaskanku dari kurungan lokap sehingga hari perbicaraan yang ditetapkan. Mereka menasihati aku untuk menenangkan diri dan banyak bersabar. Mereka berjanji akan melakukan yang terbaik untuk aku.

 

Setelah berbulan-bulan lamanya, hari perbicaraanku akhirkan tiba. Aku disarankan oleh peguam bela untuk bertenang dan bersikap jujur bukan hanya kepada semua di bilik mahkamah tetapi pada diriku sendiri. Aku menarik nafas panjang dan melangkah masuk ke bilik mahkamah dengan harapan yang aku akan dibebaskan.

 

Peguam bela ku dengan gigih membuktikan aku tidak bersalah. Aku tidak tahu-menahu tentang barang kemas yang dijumpai di dalam bilikku. Malahan, peguam belaku dapat membuktikan bahawa barang kemas yang dijumpai baru sahaja dikeluarkan oleh Encik Lim dari peti simpanan bank pada hari aku dituduh mencuri barang tersebut. Sahlah, dialah dalang di sebalik pencurian itu!

 

Dengan bukti yang kukuh itu, hakim memutuskan bahawa aku tidak bersalah. Aku dibebaskan dan majikanku harus membayar wang pampasan kepadaku. Mereka juga disaman oleh pihak mahkamah kerana tidak bersikap jujur di dalam mahkamah. Aku redha akan dugaan ini, tetapi aku tahu aku tidak boleh berhenti untuk meneruskan perjuangan dalam cuba memperbaik keadaan hidup aku dan adik-adikku. Selagi aku berada di pihak yang benar, aku tidak akan takut apabila berhadapan dengan cabaran.

BULI

Oleh: Muhammad Fatris Bin Abdul Wahid 

Aku membilas mukaku untuk menyegarkan diriku. Perlahan-lahan jari-jemariku menekup keseluruhan mukaku. Jemari kananku tergeser sebuah parut panjang di tepi dahiku. Aku melihat wajahku. Sekonyong-konyong ingatanku kembali menjangkau sebuah peristiwa buruk yang berlaku sewaktu aku masih berstatus pelajar di sekolah menengah.

 

Tahun itu merupakan tahun terakhirku di sekolah itu setelah lima tahun menuntut ilmu. Aku seorang pendiam dan lebih gemar bersendiri. Oleh itu, aku tiada kenangan indah selain persahabatan yang aku jalinkan dengan Natasha. Dia insan istimewa yang aku pilih untuk membuat tugasan dan projek sekolah denganku. Hubungan kami begitu akrab sehinggakan ramai pelajar lain menganggap kami sebagai pasangan kekasih.

 

Ternyata Natasha bukanlah istimewa pada pandanganku sahaja. Aku selalu ternampak Syahrul, seorang pembuli yang terkenal kerana sering melanggar peraturan sekolah, memberikan Natasha sejambak bunga ros. Namun, Natasha selalu menolak pemberian itu. Dada Syahrul berombak-ombak apabila melihat Natasha berlari ke arahku untuk pulang ke rumah bersama-sama. Memang sah, Syahrul ada hati terhadap Natasha.

 

Selepas kelas tambahan, aku menggalas begku dan bergegas untuk pulang. Semasa aku berjalan di kolong blok, aku ternampak Syahrul. Aku hanya menundukkan kepalaku dan meneruskan langkahku. Namun, gerakan Syahrul mencurigakan, membuat hatiku diselubungi ketakutan. Sekonyong-konyong, Syahrul menarik bahuku dan menumbukku di dahi beberapa kali sampai aku menjadi mamai. Sempat dia mengugut aku agar menjauhkan diri daripada Natasha. Aku berjaya melarikan diri, darah pekat terus mengalir di dahiku. Aku terhuyung-hayang seperti orang mabuk.


Aku mengharapkan kepulanganku dalam keadaan sebegitu disambut dengan belas ihsan. Namun sejurus setelah melihatku, ibuku melepaskan penyapu di tangannya lalu mengorak langkah mantap mendekatiku. Sebuah penampar hinggap di pipi gebuku.

 

“Siang malam aku cari duit untuk sekolahkan engkau, engkau jadi samseng di sekolah? Anak derhaka!“ kata-kata kasar ibuku menikam terus ke kalbu.

 

Aku tersentak. Bendungan air mata tidak dapat lagi kutahan. Ibuku seorang yang baik hati sebenarnya, sentiasa memeliharaku dengan penuh kasih sayang bak kata pepatah, ditatang bagai minyak yang penuh. Ayah angkatku yang mengubah ibuku. Dia telah menyeksa raga ibuku. Dia mendesak ibuku agar memberikannya wang untuk membeli dadah. Jika tidak, habislah ibuku dipukul bantai. Aku pula, menjadi mangsa pelepas geram ibuku. Sebab itulah aku lebih suka meluangkan masa dengan Natasha di sekolah.

 

Namun, sejak hari itu, entah apa fitnah yang telah ditaburkan oleh Syahrul sehingga Natasha, satu-satunya kawanku, meninggalkanku. Di matanya penuh kebencian terhadapku, walaupun aku sendiri tidak tahu apakah kesilapanku. Semua perasaan mula bercampur-baur - kekecewaan, kesakitan jiwa, kesunyian - sehinggakan terdetik di hatiku untuk menamatkan riwayatku agar aku bebas daripada cengkaman perasaan itu.

 

“Perspektif. Apabila kita dibuli, adakah kita hendak terus-menerus menjadi mangsa? Atau kita jadikan kejadian itu satu pengajaran untuk kita bangkit semula?”

 

Keseluruhan dewan itu dibungkus sepi dan aku dapat merasakan beratus-ratus pasang mata merenung tajam diriku. 

 

“Saya dibuli dan didera dari segi fizikal dan mental, sehingga menjejas emosi saya. Kalau dua puluh tahun dahulu saya berputus asa, saya tidak akan berada di hadapan awak semua hari ini,” kataku melabuhkan tirai.

 

Air mataku mengalir sedikit setelah membuat ucapan di hadapan para pelajar Sekolah Menengah Ahmad Ibrahim. Ternyata kesan luka buli itu masih di hatiku meskipun aku telah berjaya menjadi seorang pakar motivasi sekarang.