Sejarah Sekolah
Sekolah Kebangsaan Lui Timor (SKLT) mula dibuka pada 1 Mac 1980 di Felda Lui Timur dalam Gugusan Lui dan sekarang di Wilayah Raja Alias (Negeri Sembilan Barat). Sekolah ini pada mulanya ditempatkan di lima buah rumah peneroka yang kosong sementara menantikan bangunan kekal untuk siap dibina. Pada peringkat awal, hanya murid-murid tahun satu hingga empat sahaja yang diambil untuk bersekolah di bangunan sementara ini dan selebihnya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sungai Lui yang berhampiran. Guru Besar, En Ramli bin Othman merupakan Guru Besar yang pertama di SKLT.
Sekolah Kebangsaan Lui Timor telah mula digunakan pada awal sesi persekolahan tahun 1981. Pada ketika itu, terdapat sebuah bangunan tiga tingkat dan sebuah kantin yang telah beroperasi untuk kemudahan guru dan murid. Dua bangunan tambahan yang mengandungi lapan bilik darjah kemudiannya dibina pada tahun 1985 secara gotong- royong bagi menampung keperluan semasa. Sekolah ini juga telah dinaik taraf kepada sekolah Gred B pada Tahun 1985 dan sekali lagi telah dinaikkan ke gred A pada Tahun 1989.
Pada awal tahun 1989, SKLT hanya mengandungi tiga blok bangunan sahaja dan mengandungi 11 buah kelas. Kini, SKLT telah mempunyai tiga blok bangunan, sebuah kantin, sebuah makmal komputer (dibina pada tahun 2003), sebuah surau (1988), sebuah kelas prasekolah, sebuah pondok kawalan keselamatan (2006) dan empat unit rumah guru di dalam satu plan sekolah.
Bilangan murid semakin berkurangan berbanding tahun sebelumnya. Pada tahun2024/25 jumlah murid hanya 258 orang termasuk murid prasekolah berserta 23 orang guru, tiga orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP), empat orang pekerja pembersihan swasta dan empat orang pengawal keselamatan telah berazam untuk merealisasikan SKLT sebagai antara sekolah yang berpotensi cemerlang dalam Luak Lui, PPDJJ dan JPNS. Guru Besar sekarang iaitu Cikgu Ts. Abdul Aziz How bin Abdullah telah, sedang mengupaya pelbagai sumber yang ada di sekolah ini untuk terus menjana kecemerlangan sekolah dalam bidang akademik, sahsiah, hal ehwal murid (HEM) dan kokurikulum.
ASPIRASI SEKOLAH KEBANGSAAN LUI TIMOR 2025-2030:
MERAPATKAN JURANG DAN MENINGKATKAN KUALITI
Terletak di tengah komuniti luar bandar yang sederhana, Sekolah Kebangsaan Lui Timor (SKLT) menjadi harapan dan pemangkin perubahan bagi masyarakatnya. Halatuju yang ditetapkan ini mencerminkan aspirasi besar sekolah untuk memastikan setiap anak didik mendapat peluang pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang mereka.
Selaras dengan agenda reformasi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan konsep Madani yang menitikberatkan keharmonian dan kemajuan bersama, SKLT bertekad mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inklusif, seimbang, dan mampu memperkasakan kemenjadian murid ke arah potensi yang terbaik.
Tumpuan Utama yang digariskan adalah seperti berikut :
Merapatkan Jurang Pendidikan
Diakui bahawa sekolah luar bandar berdepan dengan kekurangan sumber dan cabaran sosioekonomi. SKLT ini mengambil langkah proaktif melalui usaha mendapatkan sumbangan dan tajaan, menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak, dan sokongan komuniti setempat. Matlamatnya adalah untuk memperkukuh kemudahan pembelajaran, memperkenalkan teknologi terkini, dan memperkayakan gedung ilmu SKLT agar murid-murid dapat menikmati peluang pendidikan yang terbaik.
Memperkasa Profesionalisme Guru
Guru ialah tunjang kejayaan pendidikan. SKLT memastikan guru sentiasa dibimbing dan dilatih dengan pendekatan pengajaran terkini. Melalui pembangunan profesional berterusan, mereka dibekalkan dengan kemahiran untuk mendidik murid secara berkesan, selaras dengan keperluan dan cabaran masa kini.
Memenuhi Keperluan Kepelbagaian Potensi Murid
Setiap murid diakui mempunyai kekuatan dan keperluan yang berbeza. SKLT mengambil pendekatan individu melalui pelan pembelajaran peribadi, sesi bimbingan, dan khidmat kaunseling. Dengan pendekatan ini, setiap murid diberikan peluang untuk mencapai potensi penuh mereka tanpa rasa terpinggir.
Meningkatkan Kemenjadian Murid
SKLT melaksanakan kurikulum akademik yang menekankan pemikiran kritis, kreativiti, dan penyelesaian masalah. Pada masa yang sama, murid didorong untuk melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan, seni, dan kelab untuk memastikan perkembangan holistik mereka sebagai individu yang seimbang.
Pelibatan Komuniti secara Aktif
Pendidikan dilihat sebagai tanggungjawab kolektif. Dengan melibatkan ibu bapa, pemimpin setempat, dan komuniti, SKLT berjaya membina ekosistem sokongan yang menyeluruh. Pendekatan ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mengutamakan perkembangan menyeluruh serta keadilan sosial.
Persediaan untuk Masa Hadapan
Menyedari keperluan ekonomi masa depan yang dipacu oleh kecerdasan buatan, robotik, dan teknologi tenaga, sekolah ini mempersiapkan murid dengan kemahiran teknologi yang relevan. Inisiatif ini termasuk penerokaan penggunaan AI secara
bertanggungjawab untuk pengalaman pembelajaran dan meningkatkan kecekapan pengoperasian sekolah.
Bagi melestarikan halatuju ini, pemerkasaaan Motto SKLT iaitu Ilmu itu Obor dan prinsip kerja di SKLT ditetapkan iaitu :-
SKLT :| SEKOLAH KUALITI LESTARIKAN
TRANSFORMASI. Meletakkan prinsip kerja ELIT seperti berikut :
Empowerment (Pemerkasaan):
Membangunkan keyakinan dan potensi setiap warga sekolah.
Leadership (Kepimpinan):
Memupuk bakat kepimpinan pada semua peringkat.
Inclusion (Inklusiviti):
Menyediakan persekitaran yang menghargai kepelbagaian.
Transformation (Transformasi):
Mendorong perubahan positif yang berterusan dalam pendidikan.
Berinspirasikan pandangan pemikiran Za’ba bahawa pendidikan adalah bidang yang utama yang boleh menjadi platform untuk menanam semangat jati diri dalam kalangan murid SKLT bertekad merealisasikan Sekolah Kualiti Lestarikan Transformasi bagi merapatkan jurang dan meningkatkan kualiti bukan sekadar cita-cita, tetapi tanggungjawab yang dipegang dengan penuh dedikasi. Visi ini berakar pada keyakinan bahawa setiap murid layak mendapat peluang untuk berjaya, dan kejayaan itu memerlukan kerjasama semua pihak. Dengan usaha bersepadu ini, sekolah ini sedang membentuk generasi yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
Penulis:
Ts. Abdul Aziz How Abdullah
Guru Besar, Sekolah Kebangsaan Lui Timor | 01 Februari 2025