SEKOLAH KEBANGSAAN PARIT KADIR
JBA0063
KAMPUNG PARIT KADIR, 83200 SENGGARANG, BATU PAHAT, JOHOR.
013 - 752 4700
JBA0063
KAMPUNG PARIT KADIR, 83200 SENGGARANG, BATU PAHAT, JOHOR.
013 - 752 4700
VISI
PENDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA
MISI
MELESTARIKAN SISTEM PENDIDIKAN YANG BERKUALITI UNTUK MEMBANGUN POTENSI INDIVIDU BAGI MEMENUHI ASPIRASI NEGARA
SEJARAH SEKOLAH
Sekolah ini terletak kira-kira setengah kilometer dari Masjid Kampung Parit Kadir, Mukim X Senggarang, Batu Pahat, Johor. Nama sekolah ini mengambil sempena nama kampong yang telah diasaskan oleh Ketua Kampung ini iaitu Allahyarham Tuan Haji A. Kadir bin Amran. Kedudukan sekolah ini lebih kurang 3 kilometer dari jalan besar Parit Botak iaitu jalan bertar hingga ke sekolah.
Pengasas Sekolah Kebangsaan Parit Kadir iaitu Tuan Haji Salleh bin Haji Idris iaitu Ketua Kampung yang menggantikan Allahyarham Tuah Haji A. Kadir bin Amran. Beliaulah yang telah menghadiahkan tapak asal sekolah ini. Bangunan asal sekolah ini didirikan dengan tenaga gotong royong penduduk kampung. Bangunannya diperbuat dari kayu-kayu hutan terdiri daripada nibung, kayu riang berlantaikan batang pinang serta beratapkan rumbia yang terdapat di sekitar kampung ini dan siap dibina dalam tahun 1937.
Bangunan sulung sekolah ini hanya dapat digunakan selama empat tahun sahaja kerana pada tahun 1941 Jepun telah menjajah Tanah Melayu. Semasa penduduk Jepun, kampung dan sekolah ini telah dijadikan markas dan sekolah Jepun hingga tahun 1945. Setelah Tentera Imperial Jepun menyerah kalah, pengganas Komunis pula mengambil alih. Semasa Komunis mengambil alih kuasa sementara, kebanyakkan rumah-rumah orang kampung termasuk Sekolah Parit Kadir dibakar oleh Komunis (1945).
Setelah kezaliman pemerintahan sementara Komunis dapat diatasi dan berakhir yang mana kebanyakkan telah melarikan diri ke dalam hutan, keadaan kampung kembali tenang dan aman. Orang-orang kampung kembali ke rumah masing-masing dan Sekolah Parit Kadir dibina semula ditapak lama. Pada 03hb Ogos 1950 bangunan sekolah ini telah didirikan semula oleh orang kampung yang merupakan sebuah bangunan kayu, atas tanah (tidak bertiang tinggi) dinding papan, beratapkan zink atas perbelanjaan orang kampung dan bakinya adalah dari bantuan kerajaan.
Oleh sebab muridnya semakin ramai dari semasa ke semasa, pada tahun 1953 didirikan lagi sebuah bangunan yang serupa di bahagian belakang bangunan sedia ada. Kos pembangunannya adalah hasil sumbangan orang kampung dan sebahagian lagi dibantu oleh Pihak Kerajaan. Bangunan tambahan yang baru ini diberi nama "Sekolah Seri Senyum" kerana mengambil sempena pengasas sekolah itu yang juga Ketua Kampung yang sentiasa tersenyum walaupun sering menempuh rintangan dan halangan dalam hidupnya. Ini bermakna ada dua bangunan sekolah yang mempunyai nama masing-masing.
Masa berlalu, keadaan berubah dengan kehendak suasana dua bangunan sekolah yang berada di situ tapak yang sama dan kedudukannya bersebelahan, mempunyai nama berasingan, mengambarkan seolah-olah tidak bersatu. Akhirnya dua bangunan sekolah ini dinamakan dengan satu nama asalnya SEKOLAH KEBANGSAAN PARIT KADIR.
23 tahun telah berlalu iaitu tahun 1973 - Sekolah Kebangsaan Parit Kadir (bangunan kayu) semakin usang dimamah usia. Ketua kampungnya pada ketika itu En Jamah bin Surip bersama Guru Besarnya Encik Abu Bakar bin Ismail dan Guru Penolong Kanannya Encik Shaharun bin Haji Otham serta AJK sekolah lainnya, telah berpakat berusaha dengan gigih dan bersungguh-sungguh, memohon mendapatkan peruntukkan dari pihak Kerajaan supaya dibina bangunan yang baru.
Selama 2 tahun berusaha dan berikhtiar akhirnya dengan berkat kegigihan dan semangat bersatu padu semua pihak, permohonan diluluskan pada 01 Mei 1975. Kerja-kerja membina bangunan baru dimulakan. Malang menimpa sejarah sekolah ini sekali lagi, pembinaannya tergendala beberaoa kali kerana kontraktor yang diberi tanggungjawab membangunkan bangunan baru ini menghadapi masalah, akhirnya pada penghujung tahun 1978 bangunan baru sekolah ini sempurna didirikan.
Bangunan yang mengambil masa selama 3 tahun pembinaannya, didirikan di bahagian hadapan bangunan lama, merupakan blok bangunan batu dua tingkat, mengandungi 12 bilik darjah, pejabat, bilik Guru Besar, bilik guru, stor, tandas guru dan tandas murid beserta sebuah kantin. Bangunan ini mula digunakan pada awal persekolahan penggal pertama tahun 1979 dan Majlis Perasmian Bangunan baru ini telah dilakukan oleh YAB Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman bin Saat pada 18 oktober 1979.
Sehingga kini bangunan terakhir ini masih kekal seperti keadaan asal dan digunakan dengan sepenuhnya, manakala bangunan lama yang diperbuat dari kayu beratapkan zink telah dirobohkan kerana terlalu uzur dan mengancam keselamatan murid. Sebahagian bangunan lama masih dikekalkan dan digunakan oleh Kemas bagi menjalankan Kelas Tadika Kemas. Banyak aktiviti telah dirancang dan dilaksanakan bagi menceriakan serta membaikpulih beberapa perkara telah dilakukan bagi mempastikan bagunan ini dapat digunakan dengan selamat dan berfungsi dengan baik. Dan dijangkakan boleh digunakan dengan baik sehingga tahun 2005. Bersempena perkembangan era maklumat terkini sekolah ini, telah diperuntukkan sebuah bangunan komputer untuk mempelajari ICT yang telah siap dibina dan dirasmikan pada 06 Mac 2007 yang dirasmikan oleh En. Jailani bin Rusni, Pengarah Pelajaran Johor. Kini SK Parit Kadir akan terus membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti seiring dengan perkembangan pendidikan negara yang semakin mencabar ini.