Permainan bola tampar telah direka oleh Professor William G. Morgan (1870 – 1942) pada 9 Februari, 1895 di Young Men’s Christian Association (YMCA) Holyoke, Massachusetts, Amerika Syarikat. Permainan ini direka berdasarkan permainan tenis (jaring) dan bola keranjang (bola), dan beliau menamakan permainan baru ini sebagai ”Mintonette”.
Pada tahun 1896, nama tersebut telah ditukar kepada “Volley Ball” setelah cadangan dibuat oleh Professor Alfred T. Halstead, dan diterima oleh Morgan dalam persidangan. Pada tahun 1952, Jawatankuasa Pentadbiran United States Volleyball Association (USVBA) telah memutuskan supaya nama permainan ini dieja sebagai satu perkataan, “Volleyball”.
Persekutuan bola tampar antarabangsa (Federation Internationale de Volleyball – FIVB) telah ditubuhkan pada tahun 1947.Kejohanan bola tampar sedunia bahagian lelaki yang pertama telah diadakan di Prague pada tahun 1949 manakala Kejohanan bola tampar sedunia yang pertama untuk wanita telah berlangsung di Paris pada tahun 1951.
Pada tahun 1957, sukan bola tampar telah diperkenalkan sebagai sukan berpasukan Olimpik dan kemudiannya buat pertama kali dipertandingkan di Sukan Olimpik yang ke-18 di Tokyo pada tahun 1964.