Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Alhamdulillah, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa syukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya kita masih lagi diberi kekuatan dan kesungguhan untuk memikul amanah sebagai pendidik.
Bidang pendidikan negara sememangnya bersifat dinamik bagi memenuhi keperluan semasa khususnya global. Oleh hal yang demikian, warga pendidik dan AKP merupakan arkitek sosial yang memikul tanggungjawab yang besar dalam memberikan pendidikan, menyampaikan ilmu, membentuk peribadi dan sahsiah sekali gus menjana potensi murid ke arah yang lebih optimum.
Matlamat utama sekolah adalah untuk meningkatkan kualiti pengurusan dan peningkatan pencapaian murid ke satu tahap yang dapat mencapai KPI sekolah, memperkasa STEM agar murid mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa. Pembudayaan PdPc, PAK21, PBD dan PLC yang berkesan diharap membantu melonjakkan prestasi murid-murid secara holistik. Penandaras kepada kejayaan dan keberhasilan usaha-usaha yang cekap dan berkesan adalah Kemenjadian Murid.
Akhir kata, saya yakin dan percaya bahawa SMK Sri Tanjung, akan sentiasa berusaha secara total untuk menyediakan landskap pembelajaran yang terancang, terkawal dan sempurna dalam usaha membentuk modal insan yang berkualiti. Apa juga halangan, cabaran dan transformasi yang mendatang, seluruh warga SEMESTA harus berfikiran positif dan menerima dengan minda yang terbuka dan dengan penuh iltizam, dedikasi dan berintegriti untuk menempuh dan mengatasinya demi mencapai misi dan visi sekolah. Teruskan tekad, gandakan usaha agar kita dapat menjadi Khalifah yang dapat menyempurnakan tuntutan agama, bangsa dan negara.
Selamat menjalankan tugas dengan dedikasi sepanjang tahun 2025.
Sekian, terima kasih.
Encik Muzakkir Mohd Sidek
Pengetua
SMK Sri Tanjung