PENGENALAN
Teras Strategik 3 dalam Rancangan Malaysia Kesebelas telah menyatakan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melaksanakan inisiatif bagi mengurangkan kadar keciciran dan memastikan enrolmen sejagat menjelang tahun 2020. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 juga meletakkan salah satu daripada aspirasi sistem ialah menyediakan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua kanak-kanak. Dalam pelan tersebut, satu inisiatif iaitu Peningkatan Akses dari Prasekolah hingga Menengah Atas merupakan inisiatif utama yang memfokuskan kepada strategi peningkatan enrolmen pada semua peringkat pendidikan termasuk usaha menangani keciciran murid di sekolah.
KPM telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan enrolmen namun isu murid tercicir di sekolah rendah dan menengah masih berlaku sehingga kini. Pada tahun 2016, secara keseluruhan peratus murid yang tercicir dari sekolah rendah adalah 0.36 peratus dan sekolah menengah adalah 1.50 peratus.
Pada tahun 2016, KPM juga telah melaksanakan pengesanan awal bagi murid berisiko cicir iaitu murid yang berada dalam sistem pendidikan (bersekolah) tetapi menunjukkan kebarangkalian yang tinggi untuk keluar dari sistem sebelum tamat tempoh pendidikan. Secara keseluruhan, didapati bahawa sebanyak 2.00 peratus murid sekolah rendah menghadapi risiko cicir tahap tinggi dan sebanyak 4.3 peratus murid sekolah menengah menghadapi risiko cicir tahap tinggi.
Faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada murid berisiko tinggi untuk tercicir ialah faktor murid dan faktor keluarga. Antara faktor murid ialah ketidakhadiran ke sekolah yang tinggi, tidak menguasai asas membaca, menulis dan mengira (3M), gagal lebih separuh atau keseluruhan subjek yang diambil, melakukan kesalahan disiplin yang berulang dan tiada motivasi untuk belajar. Manakala antara faktor keluarga pula ialah pendapatan isi rumah yang rendah, taraf pendidikan ibu bapa/penjaga yang rendah dan tiada penglibatan ibu bapa/ penjaga dalam sarana sekolah.
KPM berhasrat memastikan bahawa pihak sekolah perlu mengesan lebih awal murid yang menghadapi faktor yang akan menyumbang kepada keciciran murid dari persekolahan. Justeru, Garis Panduan Mengurus Murid Berisiko Cicir Di Sekolah (GPMBC) ini adalah sebagai rujukan bagi pihak sekolah. GPMBC ini menjelaskan peranan dan tanggungjawab serta langkah-langkah yang perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi mengatasi isu keciciran murid di sekolah. GPMBC akan berfokus kepada murid berisiko cicir bagi memastikan mereka kekal bersekolah sehingga tamat tempoh persekolahan peringkat menengah.
DEFINISI
Murid Berisiko Cicir
Murid yang berada dalam sistem pendidikan (bersekolah) tetapi menunjukkan kebarangkalian yang tinggi untuk keluar dari sistem sebelum tamat tempoh pendidikan.
MATLAMAT
Memastikan semua murid kekal dalam sistem persekolahan sehingga tamat pendidikan rendah dan menengah.
OBJEKTIF
Membantu pihak sekolah mengenal pasti murid berisiko cicir;
Membantu pihak sekolah mengurus murid berisiko cicir secara berkesan dan sistematik; dan
Memastikan pemantauan murid khususnya murid berisiko cicir dapat dibuat oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah secara berterusan.
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil.14/2002 : Pelaksanaan Pendidikan Wajib Di Peringkat Rendah 2003
Peraturan-peraturan (Pendidikan Wajib) 2002
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025