Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang bermula pada tahun 2011 menekankan elemen Kreativiti dan Inovatif, Keusahawanan serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) sebagai elemen merentas kurikulum. Mulai 2017, TMK dilaksanakan sebagai modul tambahan yang akan diajar merentas kurikulum mengikut kesesuaian topik dalam mata pelajaran.
Modul TMK yang diperkenalkan dalam KSSR (Semakan 2017) menerapkan Kemahiran Pemikiran Komputasional (KPK) sejajar dengan perubahan trend global kurikulum TMK. Melalui KPK murid dilatih berfikir secara logik dan sistematik dalam menyelesaikan masalah dengan menggunakan prinsip asas sains komputer melalui kemahiran pengaturcaraan dan algoritma.
Hasrat memperkenalkan Modul TMK adalah selaras dengan Anjakan 7 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang memberi penekanan memanfaatkan TMK untuk meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia bagi menyediakan murid dengan kemahiran dan pengetahuan untuk belajar dengan berkesan dan hidup secara produktif dalam dunia global dan digital. Ini dilaksanakan dengan manfaatkan TMK dalam membangunkan kemahiran berfikir aras tinggi secara menyebatikan TMK dalam kurikulum (Gelombang 1) dan memperkenal inovasi dalam TMK (Gelombang 2).
Dalam Rancangan Malaysia Ke-11, TMK akan ditawarkan sebagai Mata Pelajaran Wajib di peringkat menengah rendah dan Mata Pelajaran Elektif pada peringkat menengah atas. Penawaran ini dapat memastikan murid mempunyai asas yang kukuh dalam bidang TMK sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi. Sehubungan dengan itu, Modul TMK yang menekankan prinsip-prinsip asas dan konsep pembinaan teknologi digital diperkenalkan di peringkat sekolah rendah sebagai persediaan murid ke peringkat menengah.
Modul TMK peringkat sekolah rendah bermatlamat untuk memastikan murid berupaya mengaplikasikan kemahiran, mengukuhkan pengetahuan dan menghayati nilai serta etika dalam penggunaan TMK bagi melahirkan murid yang boleh mencipta dan berinovasi.
Pada akhir persekolahan di peringkat rendah, murid akan dapat:
1 Menghasilkan pelbagai produk digital melalui perisian secara kreatif dan inovatif
2 Menyelesaikan masalah melalui pendekatan Algoritma (Algorithm), Logik (Logical Reasoning), Leraian (Decomposition), Pengecaman Corak (Pattern Recognition), Peniskalaan (Abstraction) dan Penilaian (Evaluation).
3 Menyusun, menganalisis dan mempersembahkan data atau idea secara logik dan sistematik melalui algoritma.
4 Menginterpretasi data melalui konsep visualisasi seperti model, simulasi dan carta alir.
5 Mengenal pasti, menganalisis dan melaksanakan penyelesaian yang mungkin bagi mencapai matlamat untuk mendapatkan kombinasi langkah dan sumber yang paling cekap dan berkesan dengan menggunakan teknologi komputer.
6 Mengamalkan nilai dan etika TMK serta mematuhi undang-undang siber.
Fokus Modul TMK adalah bagi pengukuhan kemahiran TMK, penerapan kemahiran pemikiran komputasional dan penyediaan hasil kerja yang kreatif dan inovatif.
Modul TMK terdiri daripada Modul Kemahiran Asas TMK dan Modul Aplikasi.
i. Modul Kemahiran Asas TMK ialah modul yang mengandungi kemahiran asas TMK yang perlu dikuasai oleh murid untuk melaksanakan Modul Aplikasi. Contoh kemahiran asas TMK adalah seperti kemahiran menyunting teks, menyisip imej, membuat jadual, membina pangkalan data, membuat persembahan elektronik dan melayari serta menggunakan perkhidmatan internet.
ii. Modul Aplikasi ialah modul yang mengandungi Kemahiran TMK dan Kemahiran Pemikiran Komputasional (KPK) yang diajar melalui pengintegrasian dalam mata pelajaran sedia ada.
Dalam melaksanakan pengintegrasian Modul TMK dalam mata pelajaran, guru hendaklah mengambil perhatian dan pertimbangan kepada aspek latihan, waktu pelaksanaan, peranan guru, pelaksanaan PdP dan peruntukan per kapita geran.
Latihan penggunaan Modul TMK telah diberi kepada wakil guru setiap sekolah bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan modul tersebut. Guru yang telah menerima latihan bertanggungjawab untuk melaksanakan latihan dalaman kepada guru mata pelajaran terlibat di sekolah masing-masing.
Modul TMK dilaksanakan dalam waktu mata pelajaran yang berkaitan.
i. Guru merujuk Modul Aplikasi untuk menentukan Kemahiran TMK yang perlu diajar berpandukan Standard Kandungan/ Standard Pembelajaran yang terlibat.
ii. Sebelum memulakan PdP, guru perlu mengenal pasti kumpulan murid yang menguasai dan belum menguasai kemahiran asas TMK berpandukan senarai semak yang terdapat dalam Modul Aplikasi.
iii. Bagi murid yang menguasai kemahiran asas TMK, murid boleh terus menggunakan Modul Aplikasi dan menyiapkan tugasan dalam modul tersebut.
iv. Guru hendaklah memastikan murid yang belum menguasai kemahiran TMK menggunakan Modul Kemahiran Asas TMK yang disediakan.
v. Guru hendaklah membimbing murid menguasai kemahiran asas TMK yang diperlukan dalam Modul Aplikasi. Setelah murid menguasai kemahiran asas TMK, murid akan meneruskan PdP menggunakan Modul Aplikasi.
vi. Guru hendaklah melaksanakan pentaksiran kemahiran asas TMK secara formatif berpandukan rubrik pentaksiran dalam Modul Kemahiran Asas TMK.
vii. Guru hendaklah menggunakan rubrik pentaksiran yang disediakan dalam Modul Aplikasi untuk menentukan tahap penguasaan kemahiran TMK murid.
viii. Guru hendaklah mengubah strategi PdP jika ada murid yang belum menguasai tahap penguasaan kemahiran TMK dan KPK.