PENGENALAN
Matlamat modul ini adalah untuk; melahirkan murid yang memiliki personaliti terpuji dan boleh dicontohi oleh murid-murid lain, sentiasa memburu ilmu untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat, mempraktikkan amalan penjagaan kesihatan yang cemerlang dalam kehidupan seharian, mempunyai ketahanan diri dalam menghadapi cabaran hidup serta berusaha meningkatkan daya kepimpinan dan bersemangat patriotisma.
Mesyuarat Pemurnian Modul yang diadakan di Hotel Quality, Shah Alam, SELANGOR pada 12 hingga 15 Mac 2008 dengan berpandukan kepada program rintis yang dilaksanakan kepada 10 buah sekolah sebelum ini memutuskan empat program untuk dilaksanakan seterusnya iaitu Program Berbudi Bahasa; Program Mutadayyin; Program Penampilan Diri dan Program Jati diri.
Mesyuarat Pengurusan Bahagian Pendidikan Islam Bil. 2/2010 pada 8 Februari 2010 memutuskan Sumur diserahkan kepada Operasi Dakwah, Bahagian Pendidikan Islam dan program tersebut hendaklah dilaksanakan di semua SMKA dan SABK pada tahun 2010.
MATLAMAT PROGRAM SUMUR
Melahirkan pelajar yang memiliki personaliti terpuji dan boleh dicontohi
Melahirkan pelajar yang sentiasa memburu ilmu untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat
Melahirkan pelajar yang mempraktikkan amalan penjagaan kesihatan yang cemerlang
Melahirkan pelajar yang mempunyai ketahanan diri dan berusaha meningkatkan daya kepimpinan
Melahirkan pelajar yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi
OBJEKTIF PROGRAM SUMUR
Pelajar dapat menunaikan solat yang berkualiti serta menghafaz ayat lazim dan mengamalkan zikir dan doa.
Pelajar mengamalkan cara berpakaian yang sesuai menurut syarak.
Pelajar Pelajar mempunyai adab dan bersikap positif dan proaktif
Pelajar mempunyai keyakinan diri, semangat juang dan tetap pendirian
Pelajar mengamalkan amalan berbudi bahasa
PANDUAN PELAKSANAAN MODUL SUMUR
Modul Sahsiah Unggul Murid (SUMUR) ini telah dimurnikan semula menjadi empat program utama iaitu program berbudi bahasa, program mutadayyin, program penampilan diri dan program jatidiri. Ia bertujuan untuk memudahkan para guru untuk melaksanakan modul ini.
Semua murid hendaklah diberitahu dan diperjelaskan secara terperinci pelaksanaan setiap program supaya setiap pelajar faham dan menyedari bahawa sesuatu program tersebut sedang berlangsung dan mereka sedar bahawa mereka terlibat. Adalah lebih baik jika terdapat pernyataan-pernyataan yang berkaitan dipamer bagi setiap program.
Penilaian bagi setiap program adalah kumpulan-kumpulan kecil pelajar (usrah) bagi meringankan tugas guru. Guru Murabbi perlu mengesahkan penilaian berdasarkan borang yang disediakan.
Penilaian hendaklah dibuat sebanyak empat kali iaitu dua minggu sekali bagi program dalam masa dua bulan program itu berjalan.
Pemantauan bagi program pertama tetap berjalan walaupun program kedua dan selanjutnya dilaksanakan dan suatu penilaian keseluruhan akan dibuat oleh naqib/naqibah ke atas ahli usrah masing-masing di hujung tahun.
Sebarang kesulitan pada pelaksanaan modul ini hendaklah dirujuk kepada Sektor Operasi Dakwah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia.