SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH
Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan mula dibangunkan pada tahun 2018 oleh pemaju perumahan di Bandar Sri Sendayan iaitu Syarikat Matrix Concepts Holding Berhad. Bangunan ini telah siap sepenuhnya pada bulan Mei 2019. Sekolah ini tersergam indah di antara kawasan perumahan Taman Nusari Bayu dan Taman Nusari Aman serta bersebelahan dengan SMK Bandar Baru Sri Sendayan.
Oleh kerana faktor kepadatan penduduk di sini, sekolah ini telah dilengkapi 24 bilik darjah dengan kapasiti 35 orang murid bagi setiap kelas. Ia juga turut dilengkapi bilik-bilik khas yang mempunyai prasarana serta kemudahan yang begitu canggih. Sekolah ini juga merupakan satu-satunya sekolah kebangsaan di Negeri Sembilan yang mempunyai sebuah auditorium untuk menempatkan 216 orang peserta pada satu-satu masa. Selain itu, pemaju turut membina sebuah dewan besar berkapasiti 1000 orang murid dilengkapi dengan sistem audio dan pencahayaan yang canggih.
Pada 8 Ogos 2019, Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Sendayan telah diserahkan sepenuhnya oleh Syarikat Matrix Concepts Holding Berhad kepada Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan. Pada 15 Oktober 2019, dua orang caretaker telah dilantik bagi menguruskan persediaan pembukaan sekolah. Seterusnya pada 24 Februari 2020, sekolah ini telah dilawati oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu YBhg. Dato’ Dr. Mohd Gazali bin Abas. Rentetan dari lawatan tersebut sekolah dijangka akan dibuka pada Jun 2020.
Walaubagaimanapun, penularan pandemik Covid 19 di seluruh negara telah menyebabkan proses pembukaan sekolah ini tertunda dan satu tarikh baharu telah ditetapkan iaitu pada 20 Januari 2021. Bagi persediaan pembukaan sekolah dua orang Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) telah dilantik pada 1 September 2020 dan empat orang pentadbir dilantik pada 1 Oktober 2020. Sebanyak enam buah kelas tahun 1 dan empat kelas tahun 2 dibuka di SK Bandar Sri Sendayan dengan kapasiti seramai 350 orang murid.
Seramai 14 orang guru terlatih telah ditempatkan di SK Bandar Sri Sendayan bagi permulaan sesi persekolahan pada 20 Januari 2021. Walaubagaimanapun, sekali lagi takwim sekolah ditunda berikutan peningkatan mendadak kes Covid 19 di seluruh negara. Kemasukan murid ke sekolah ini yang sepatutnya dijadualkan pada 20 Januari 2021 telah ditunda dan murid yang telah ditempatkan di sekolah ini menjalanai pengajaran dan pembelajaran di rumah.