SEJARAH SEKOLAH
_______________________________
Sekolah Kebangsaan Sungai Rapat ini telah diasaskan dalam tahun 1944, sewaktu pemerintahan Jepun. Bangunannya menumpang sementara di rumah Pak Mat Wali. Murid-muridnya pada waktu itu adalah seramai kira-kira 85 orang, iaitu murid-murid yang tidak dapat ke sekolah di Ipoh kerana kesulitan kenderaan sewaktu itu. Pada masa itu, hanya terdapat beberapa kelas dari darjah satu hingga lima. Guru-Besar pertamanya ialah Encik Ngah Tasir b. Muhammad, dibantu oleh tiga orang guru lain iaitu Cikgu Putih, Cikgu Abdullah Jalal serta Cikgu Sahudi iaitu guru bahasa Jepun.
Murid-murid di sekolah ini terus bertambah dari semasa ke semasa, bukan sahaja terdiri daripada murid-murid Melayu bahkan daripada bangsa Cina, India dan Orang Asli yang datang dari sekitar perkampungan yang berhampiran dengan sekolah ini. Pada awal tahun enam puluhan, bilangan murid di sekolah ini telah melebihi 1 000 orang.
Memandangkan kepesatan pertambahan murid-murid ini, bangunan-bangunan tambahan telah didirikan. Bangunan MARA telah dipinjamkan untuk menampung bilangan murid-murid ini. Masa persekolahan telah dibahagikan kepada dua, iaitu sesi pagi dan petang.
Manusia merancang sesuatu, Tuhan menentukannya, begitulah juga dengan keadaan sekolah ini, bilangan murid yang begitu pesat akhirnya merosot semula sejak mulai dari tahun 1965 disebabkan beberapa faktor seperti pemindahan sebahagian besar anggota-anggota Pasukan Polis Hutan dari markas asal berhampiran dengan Lapangan Terbang ke markas baru di Ulu Kinta.
Sungguhpun begitu, pada awal tahun sembilan puluhan pertumbuhan perkampungan baru serta beberapa projek perumahan yang begitu pesat, bilangan murid di sekolah ini juga turut bertambah sehingga menjangkau lebih 1 100 orang. Bangunan tambahan dibina atas daya usaha sekolah dan PIBG iaitu 2 buah bilik darjah dengan kos lebih RM50 000.
Pada masa ini usia sekolah telah menjangkau 78 tahun. Dalam usia yang begini, bolehlan disifatkan satu usia yang telah matang dalam mengharungi dunia ini, begitulah juga terjadi pada sekolah ini. Dalam tempoh tersebut, pelbagai pembaharuan telah dialami oleh SK Sungai Rapat. Dari segi fizikal, SK Sungai Rapat kini mempunyai 6 blok bangunan. Blok utama 3 tingkat termasukpejabat sekolah, Blok kedua 1 tingkat bilik-bilik kelas, Blok ketiga dan keempat 1 tingkat setiap blok bilik-bilik kelas dan Prasekolah. Blok kelima ialah kantin sekolah. Blok keenam merupakan Makmal Komputer 2 tingkat dibina pada tahun 2008. Terkini ialah Dataran Kasih Berbumbung yag dibina dalam tahun 2011. Terkini, atas hasil usaha pihak sekolah dan PIBG sebuah bangunan surau Al-Muqarrabin telah berjaya dibina pada tahun 2017 dan pada tahun 2019 sebuah mini dewan terbuka telah dibina demi keselesaan anak-anak didik SKSR.
Warga, SK Sungai Rapat sentiasa berusaha bersungguh untuk merealisasikan visi KPM iaitu "PENDIDIKAN BERKUALITI INSAN TERDIDIK NEGARA SEJAHTERA".