Isu sosioekonomi masyarakat luar bandar selalu menjadi tumpuan dan perhatian negara dalam merealisasikan matlamat Wawasan 2020. Perbezaan iini dan status ekonomi boleh mencipta jurang dalam pencapaian akademik dan mempengaruhi pengalaman pendidikan serta persekitaran mereka. Sehubungan dengan itu, bagi masyarakat luar bandar, transformasi ini merupakan titik permulaan dalam meningkatkan kapasiti sosioekonomi dan taraf pendidikan ahli keluarga untuk kesejahteraan keluarga, komuniti dan juga negara. Selain itu, tahap pendidikan merupakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi pendapatan keluarga pada hari ini. Malah, terdapat teori yang mengatakan terdapat perhubungan antara kemiskinan dengan pendidikan. Menurut Awang Had Salleh, kemiskinan mampu menyebabkan pencapaian pendidikan rendah dan juga menyebabkan kemiskinan diwariskan daripada ibubapa kepada anak-anak. Kanak-kanak daripada keluarga yang berpendapatan rendah ini sering dikatakan ketinggalan dalam memulakan pembelajaran mereka di sekolah jika dibandingkan dengan rakan sebaya mereka yang datang daripada latar belakang keluarga yang berada atau kaya (Loh, A. 2004; Zulkifli et.al., 2011; Hassan, & Rasiah, 2011).