بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ  


Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

 

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya e-SEMKEY SMK Yan dapat diterbitkan. Sekalung penghargaan dan setinggi tahniah diucapkan kepada semua guru di atas kegigihan, kesungguhan dan  pengorbanan  serta usaha  yang bersepadu yang membolehkan e-SEMKEY SMK Yan ini terhasil. Dengan terhasilnya laman  ini, diharap dapat dijadikan one stop centre yang berguna dalam menguruskan data sekolah bersesuaian dengan Dasar KPM iaitu Dasar Pendidikan Digital.

 

Dasar Pendidikan Digital menjelaskan empat objektif pendidikan digital yang disokong dengan enam teras, 18 strategi dan 41 inisiatif secara terperinci. Pelaksanaan dasar ini dapat dimanfaatkan secara optimum oleh murid, pendidik, pemimpin pendidikan dan semua pihak berkepentingan bagi merapatkan jurang digital seterusnya membolehkan pendidikan digital dilaksanakan dengan jayanya di sekolah.

 

e-SEMKEY SMK Yan ini akan menjadi panduan kepada semua pihak berkepentingan di sekolah ini untuk mendepani era digital. Selain itu, penerapan aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti akan mewujudkan suasana harmoni seterusnya menghindari gejala negatif dalam kalangan warga pendidikan. Semua elemen ini menyumbang dalam menyediakan peluang kepada warga SMK Yan untuk meningkatkan kemahiran dalam pendidikan digital.

 

SMK Yan sebuah sekolah yang mempunyai cita-cita besar untuk menempa nama di persada negara dan dunia pendidikan, penggemblengan tenaga dan usaha daripada warga sekolah amat diharapkan supaya dapat menguasai ilmu terkini untuk menghasilkan pendidikan berkualiti demi meningkatkan kecemerlangan akademik melalui pengurusan sekolah yang cekap dan efisien. Kewujudan laman ini mampu membantu sekolah untuk melangkah setapak ke hadapan untuk terus bersaing dalam arus teknologi digitalisasi. Justeru, kewujudannya diharap dapat menjadi pencetus dan pemangkin peningkatan hubungan ibu bapa dan masyarakat serta pihak sekolah pada masa akan datang.

 

Kami berharap, semoga komunikasi, interaksi dan pertukaran maklumat akan terus berlaku dengan lebih pesat dan dinamik di ruang siber ini bagi manfaat bidang pendidikan negara. Semoga ini bukan kunjungan kali terakhir anda ke laman ini, kami sentiasa mengalu-alukan kehadiran anda semua.

 

Sesungguhnya kegemilangan sesuatu organisasi menagih banyak pergorbanan, kesungguhan serta usaha gigih semua pihak. Justeru itu semua warga SMK Yan diseru untuk terus berganding bahu mencipta kegemilangan dengan menjayakan budaya ilmu pengetahuan dan menjana kemenjadian guru sebagai  agenda utama dalam perkhidmatan. Akhir kata, “Kebersamaan dan Keharmonian Memacu Pendidikan Kedah” dijadikan panduan dalam menentukan hala tuju sekolah ini. In Sya Allah. 

 

SMK YAN HEBAT

 

Sekian terima kasih. Wassalam.

 

AHMAD BADRI BIN ABU BAKAR

Pengetua SMK Yan

 

 

Sederap Mencipta Kecemerlangan SMK Yan