Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera. Salam Malaysia MADANI, rakyat disantuni. Selamat Datang ke Gerbang Digital Kami!
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama menghayati kemajuan teknologi melalui laman sesawang rasmi Sekolah Menengah Kebangsaan Warisan Puteri ini.
Terlebih dahulu, bagi pihak seluruh warga SMK Warisan Puteri, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada penyelaras laman web sekolah dan seluruh pasukan yang terlibat. Usaha gigih dan kreativiti anda telah menghasilkan sebuah laman web yang sangat menarik, interaktif, dan bermaklumat. Platform digital ini bukan sahaja menjadi jendela komunikasi utama, malah mencerminkan semangat inovasi yang sentiasa disemai di sekolah kita. Tahniah atas hasil kerja yang cemerlang!
Wawasan utama saya sebagai Pengetua adalah untuk memastikan SMK Warisan Puteri terus gah sebagai Lembah Ilmu dan Budi yang unggul. Di sini, kami tidak hanya fokus pada kecemerlangan akademik, tetapi yang lebih penting, kami berazam untuk melahirkan murid-murid yang memiliki pembentukan karakter dan sahsiah yang mantap.
Kami mahu setiap murid yang melangkah keluar dari gerbang sekolah ini bukan sahaja kaya dengan ilmu pengetahuan yang bermanfaat, tetapi juga diperkasakan dengan nilai-nilai murni, integriti, disiplin diri, dan semangat kepimpinan yang tinggi. Mereka adalah pewaris negara yang berbudaya, beretika, dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
Bagi merealisasikan impian besar ini, saya menyeru kepada semua guru yang dikasihi untuk menggembeleng tenaga, idea, dan kepakaran secara bersepadu. Marilah kita bekerjasama sebagai satu pasukan yang dinamik, bukan sahaja dalam menyampaikan kurikulum tetapi juga sebagai pendidik dan pembimbing yang berkesan.
Dengan semangat kebersamaan dan komitmen yang jitu, saya percaya bahawa SMK Warisan Puteri akan menjadi Lembah Ilmu dan Budi yang akan terus melakar kejayaan demi kejayaan, melahirkan generasi pewaris bangsa yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.
Sekian, terima kasih.
MOHD KHAIRUL NIZAM BIN SAID
Pengetua
SMK Warisan Puteri