SELAMAT DATANG KE SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2026
Sekolah Menengah Kebangsaan Majidi Baru yang bertapak di Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor Bahru telah mula ditubuhkan pada tahun 1970. Pada awalnya, pelajar-pelajar telah ditumpangkan di Sekolah Rendah Kebangsaan Air Molek, Johor Bahru memandangkan bangunan sekolah pada ketika itu belum siap sempurna. Lambang, bendera dan cogan kata sekolah iaitu 'Berilmu, Berbahasa, Berjasa' pula telah diilhamkan oleh En. Ahmad bin Hisham. Sekolah Menengah Kebangsaan Majidi Baru telah dibuka secara rasminya pada tahun 1981 oleh YB Dato' Musa Hitam, Menteri Pendidikan Malaysia.
Koperasi sekolah yang dikenali sebagai Koperasi SMK Majidi Baru Berhad mula ditubuhkan pada tahun 1983 serta telah dijadikan sebagai suatu badan pertubuhan yang berdaftar. Pada tahun 1990 projek pembinaan dua blok bangunan tiga tingkat mula dijalankan untuk menampung jumlah pelajar yang semakin meningkat. Surau Rahmaniah juga telah dibina untuk kegunaan warga sekolah serta telah dirasmikan oleh YB Tuan Hj. Mohd Ali b. Hassan. Dua blok baru yang telah siap dibina iaitu Blok Budi dan Bahasa telah dirasmikan oleh YB Dato' Syed Hamid Albar bin Syed Jafaar Albar pada tahun 1994.
Pembinaan surau sekolah yang baru untuk keselesaan warga sekolah telah dibina pada tahun 1997 iaitu hasil cadangan Tuan Haji Samsudin bin Haji Ali, Pengetua SMK Majidi Baru yang ke-8. Surau yang mempunyai keluasan 70 kaki x 56 kaki terletak bersebelahan bangunan PGR (bangunan Projek Gotong-royong). Keluasan surau ini boleh menampung kira-kira 800 pelajar dalam satu masa dan telah dibina dengan kos RM191 ,918.00 hasil sumbangan daripada para pelajar, wakil rakyat serta sekolah-sekolah di sekitar daerah Johor Bahru. Majlis perasmian surau baru yang dikenali sebagai Surau Ar-Rahman ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato' Haji Abdul Kadir bin Anuar, Pengerusi Jawatan kuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor pada 24 April 1999.
Kerja-kerja baik pulih sekolah telah banyak dilakukan pada tahun 2002. Hamparan pagar dawai telah digantikan dengan tembok batu mengelilingi kawasan sekolah, Bilik Kawalan untuk pegawai keselamatan sekolah telah didirikan berhampiran dengan Pintu pagar utama sekolah. Bangunan sekolah juga diberi wajah baru. Longkang di kawasan sekolah telah diperbesar untuk mengelakkan banjir kilat serta mengawal sistem perparitan di kawasan sekolah..
Dewan sekolah telah mula dibina semasa SMK Majidi Baru di bawah pimpinan Pengetua Tuan Haji Kasim bin Sudin, iaitu Pengetua SMK Majidi Baru yang ke-ll . Dewan yang telah dibina hasil kutipan derma daripada ibu bapa, PIBG sekolah serta badan-badan swasta bertujuan digunakan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak sekolah khususnya kepada para pelajar. Seiring dengan arus globalisasi yang semakin pesat serta untuk melahirkan modal insan yang celik tentang teknologi maklumat, makmal komputer telah mula dibina pada tahun 2004. Makmal komputer yang dikenali sebagai Makmal Komputer Toh Puan Aishah serta dewan sekolah telah mula beroperasi untuk majlis —majlis dan aktiviti sekolah mulai bulan April tahun 2005. Dewan Tun Syed Nasir Ismail ini telah dirasmikan oleh YAB Dato' Haji Abdul Ghani bin Othman, Menteri Besar Johor pada 23 Jun 2007.
Pada tarikh yang sama juga SMK Majidi Baru telah melalui proses pertukaran nama kepada SMK Tun Syed Nasir Ismail sempena nama Tokoh Bahasa Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail iaitu hasil cadangan Pengetua SMK Majidi Baru yang ke11. Perasmian nama sekolah baru ini telah disempurnakan oleh YAB Dato Abdul Ghani bin Othman serta disaksikan oleh keluarga terdekat Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail. Koperasi SMK Majidi Baru Berhad juga telah bertukar nama kepada Koperasi SMK Tun Syed Nasir Ismail Berhad secara berdaftar.
Barisan Pentadbiran SMK Tun Syed Nasir Ismail, Johor Bahru diterajui oleh
PENGETUA
PEN. KANAN PENTADBIRAN
PEN. KANAN HEM
PEN. KANAN KOKURIKULUM
PEN. KANAN PETANG
PEN. KANAN PENDIDIKAN KHAS