”TUGAS ITU AMANAH, KERJA ITU IBADAH”
”TUGAS ITU AMANAH, KERJA ITU IBADAH”
BICARA ASPIRASI TUAN PENGETUA
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Segala puji bagi Allah S.W.T dan selawat serta salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W. Sekalung ucapan tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua warga sekolah kerana telah bertungkus-lumus dalam memastikan perjalanan dan pengurusan mendidik murid dengan cemerlang.
Syukur juga kerana dengan izin dan inayah-Nya, kita dapat meneruskan khidmat bakti di sekolah tercinta ini. Walaupun kita terpaksa menghadapi pelbagai cabaran namun tidak mematahkan semangat untuk terus berjuang mendidik anak bangsa ke arah kegemilangan. Semoga dengan berkat kesabaran dan keihklasan kita, maka kejayaan terus menerangi kehidupan kita semua. Sesungguhnya kita mempunyai amanah besar untuk meningkatkan akses pendidikan berkualiti di sekolah ini. Marilah kita sama-sama memperbaharui azam untuk menyuntik semangat baru dalam melonjakkan kecemerlangan SMK Sungai Tiang bagi merealisasikan USAHA TERAS KEJAYAAN.
”Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera” merupakan visi 2026 yang perlu kita hayati bersama. Sehubungan dengan itu, segala tenaga dan usaha mesti ditumpukan supaya visi itu bukan sekadar impian. Kita mesti bekerjasama dan berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam semua bidang merangkumi kurikulum, kokurikulum dan pembentukan sahsiah pelajar agar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Sebagai sebuah sekolah yang mempunyai cita-cita besar untuk menempa nama di persada negara dan dunia pendidikan penggemblengan tenaga dan usaha daripada warga sekolah amat diharapkan supaya dapat menguasai ilmu untuk menghasilkan pendidikan berkualiti demi meningkatkan kecemerlangan akademik melalui pengurusan sekolah yang cekap dan efisien.
Bagi mencapai matlamat ini usaha yang gigih dan pengorbanan yang tinggi perlu dimiliki oleh seluruh warga sekolah. Komitmen yang jitu daripada semua pihak akan menjadi faktor utama penentu kejayaan sekolah. Hal ini menuntut iltizam yang tinggi bagi membentuk budaya kerja yang cemerlang. Semua tugasan yang terkandung dalam Manual Pengurusan Sekolah Tahun 2026 diharap dapat berfungsi serta dijana mengikut garis panduan yang dinyatakan di dalamnya. Saya amat berharap semua warga SMK Sungai Tiang dapat memastikan kerja yang dilakukan tidak tersasar dari landasan.
Sama-samalah kita menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan penuh keikhlasan dan mudah-mudahan usaha ini diberkati Allah S.W.T dan menjadi amal soleh yang akan dikecapi pada kemudian hari. Insya-Allah.
Sekian, terima kasih.
“MALAYSIA MADANI”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"
"PENDIDIKAN CEMERLANG KEDAH TERBILANG"
“SEMESTI MENDAHULUI PASTI”
Saya yang menjalankan amanah,
PN SHAMARIZA BINTI ARIFFIN
Pengetua