Assalamualaikum w.b.t. dan salam sejahtera.
Syukur Alhamdulillah ke hadrat Ilahi atas segala nikmat dan limpah kurniaNya dapat kita bertemu kembali pada tahun 2020. Semoga semuanya dalam keadaan sihat, ceria dan dikurniakan kecekalan dan kesabaran dalam menjalani kehidupan yang semakin mencabar ini.
Saya sebagai pengetua sekolah yang tercinta ini amat bersyukur kerana SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah berjaya mewujudkan laman web sekolah yang menjadi wadah penghubung sekolah. Bersesuaian dengan zaman abad ke 21, segala maklumat, laporan program dan aktiviti sekolah dapat dikongsi dengan semua warga sekolah secara lebih cepat dan mudah. Terima kasih kepada warga pendidik yang telah dapat merealisasi keinganan kita ini.
Kepada warga guru SMK SSAAS, marilah kita mendidik anak bangsa dengan penuh kasih sayang untuk melahirkan insan yang bersedia mendepani masa hadapan yang lebih mencabar bersesuaian dengan tema kita ‘GURU CAKNA MURID DI PERSADA’. Para guru mesti sedar bahawa pendidikan merupakan tunjang dan wadah terpenting kepada pembinaan Negara bangsa dan pembangunan modal insan. Guru mestilah komited dan bersungguh dalam melaksanakan dan mengamalkan KBAT, PAK 21, Google Classroom, GENOSIS dalam pembelajaran dan pemudahcaraan. Ini bermakna guru mesti memiliki iltizam dalam menempuh cabaran yang mendatang terutama dalam gelombang IR 4.0.
Kepada anak murid SSAASian sekelian, jadilah anak -anak yang berilmu dan beradab. Timba sebanyak mana ilmu yang boleh bagi membina potensi diri dan membentuk peribadi yang utuh. Beri tumpuan dan berfikir secara aktif semasa proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Jauhkan diri dari pengaruh yang tidak baik dan perasaan yang negatif. Jadilah anak murid yang berdisiplin, bertanggungjawab, boleh menghormati orang lain dan berkasih sayang. JOM JADI BAIK.
Akhirul kalam, saya berdoa agar kita semua dikurniakan kesihatan yang baik dan kesejahteraan dalam mendepani cabaran hidup masa kini. Marilah kita berganding bahu mewujudkan suasana yang harmoni dan kondusif di sekolah yang tercinta ini. Semoga tahun 2020 akan menjanjikan kecemerlangan buat Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dalam semua bidang termasuk akademik dan kokurikulum. Guru berdedikasi, murid berkualiti, sekolah terpuji.
Sekian, terima kasih.
GURU CAKNA, MURID DI PERSADA
Guru yang hebat mendidik bangsa
Anak yang baik mendengar kata
#jomjadibaik
ROHAIDAH BINTI ZAINAL
Pengetua