KSSM Pendidikan Khas yang dilaksanakan di sekolah menengah menggunakan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP), yang digubal berlandaskan Kerangka KSSM yang mempunyai enam tunjang, iaitu Komunikasi, Kerohanian, Sikap & Nilai, Kemanusiaan, Keterampilan Diri, Perkembangan Fizikal & Estetika serta Sains & Teknologi. Hasratnya supaya melahirkan insan yang seimbang selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Penggubalan KSSM Pendidikan Khas pada dasarnya mengambil kira pendidikan yang sesuai dan relevan bagi dua kumpulan MBK iaitu yang berkeupayaan mengikuti mata pelajaran kemahiran vokasional, dan yang mempunyai kombinasi satu atau lebih ketidakupayaan termasuk ketidakupayaan kognitif. Seperti murid lain, MBK turut merupakan modal insan perlu diberi perhatian agar mereka berkemampuan untuk hidup berdikari dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
KSSM Pendidikan Khas menyediakan ruang dan peluang untuk MBK yang berkeupayaan mempelajari dan menguasai pengetahuan dan kemahiran vokasional, serta nilai ke arah menghasilkan modal insan yang berkemahiran bekerja dan mampu berdikari. Bagi MBK yang tidak berkeupayaan mengikuti kemahiran vokasional, kurikulum mata pelajaran teras dan kemahiran yang disediakan mengambil kira tahap kefungsian MBK.
KSSM Pendidikan Khas memastikan kumpulan MBK ini berupaya mengurus diri, menguasai dan mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran, serta mengamalkan nilai murni agar mereka boleh bersosialisasi dan berdikari dalam menjalani kehidupan seharian. KSSM Pendidikan Khas turut membekalkan pengetahuan tentang Advokasi Diri supaya MBK dapat mengenal pasti potensi dan matlamat diri serta boleh menyuarakan hak dan pendapat mereka dalam masyarakat.
CONTOH TEMPLATE PELAPORAN BAGI MURID KEFUNGSIAN RENDAH DAN SEDERHANA
Rancangan Pendidikan Individu (RPI) adalah satu dokumen bertulis. Ia dirancang khusus untuk seseorang murid. Ia juga dibentuk bertujuan mendokumentasikan segala pengubahsuaian dan penerapan ke atas program pembelajaran serta perkhidmatan yang disediakan.
RPI berfungsi sebagai satu alat atau instrument untuk menentukan kerjasama dan kolaborasi antara sekolah, ibu bapa, murid itu sendiri dan jika perlu, dengan pegawai pendidikan daerah, dan individu dari agensi atau khidmat sokongan lain.
RPI pada dasarnya adalah satu pernyataan ringkas tentang :
tahap prestasi seseorang murid
perancangan yang merangkumi aspek akademik dan bukan akademik
matlamat tahunan yang boleh dicapai oleh murid
maklumat yang mengandungi satu siri objektif yang boleh diukur bagi setiap matlamat yang dikenal pasti
objektif, prosedur dan urutan penilaian bagi menentukan pencapaian satu huraian berhubung dengan perkhidmatan yang diperlukan oleh murid
perancangan jangka masa dan tarikh perkhidmatan yang disediakan untuk murid
satu perancangan dan persediaan untuk membantu murid berkeperluan khas menghadapi alam sekitar
Kesimpulannya RPI adalah rancangan program penilaian berterusan untuk seseorang murid, dan sebagai teras perancangan pendidikan dalam program pendidikan khas