SMK Seri Intan mula beroperasi pada 17 Januari 2000. Nama itu diberi memandangkan sekolah ini terletak di Taman Intan dan rata-rata pelajar datang dari taman perumahan tersebut. Tapak sekolah ini meliputi kawasan seluas 7 ekar. Pendaftaran kumpulan pelajar perintis sekolah ini telah bermula pada 12 Januari 2000 seramai 450 orang. Pengetua pertama ialah Puan Hajah Masnah binti Mukhtaram. Beliau dibantu oleh 20 orang guru dan 3 orang staf sokongan. Semasa pembukaan sekolah, terdapat 11 buah kelas pembelajaran, iaitu satu kelas peralihan, 5 kelas Tingkatan 1, 3 kelas Tingkatan 3 dan 2 kelas Tingkatan 4. Sekolah ini mempunyai 3 blok utama iaitu blok A, B dan C. Blok A menempatkan makmal sains, bengkel Kemahiran Hidup, bilik seni dan galeri sejarah. Blok B menempatkan ruang pejabat, bilik jawatankuasa peperiksaan sekolah, bilik bimbingan dan kaunseling serta makmal komputer. Pembinaan Dataran Kejat, Gazebo Ilmu dan Balai Budaya yang telah siap merupakan penambahan kepada projek pembangunan prasarana sekolah. Pihak sekolah turut mementingkan keceriaan sekolah dengan pembinaan taman dan lanskap yang boleh merangsang daya intelek dan kreativiti pelajar. Pada tahun 2005, SMK Seri Intan diterajui oleh pengetua baru,Pn. Hjh Tumirah binti Samat dengan kekuatan guru seramai 56 orang. Bermula tahun 2007, SMKSI mendapat 1 blok bangunan baru. Bangunan tersebut menempatkan pejabat pentadbiran, makmal dan sebuah dewan terbuka. Selain itu, banyak penambahan prasarana lain seperti tempat letak kereta berbumbung, dan pusat semaian pokok hiasan. Pada tahun 2010, sekali lagi sekolah dipimpin oleh pengetua baru Tn. Hj.Mohamad bin Yusof. Bagi menyahut seruan kerajaan melalui dasar teknologi dan maklumat, Beliau mewajibkan penggunaan Frog VLE bagi menggantikan buku rekod mengajar serta pembinaan surau telah berjaya dilaksanakan. . SMKSI dipimpin oleh Pn. Hajah Siti Fatimah binti Umar bermula tahun 2014 sehingga tahun 2017. Kini SMK Seri Intan diterajui oleh En. Abdul Razak bin Ibrahim. Semoga SMK Seri Intan terus bersinar bagaikan sinaran beribu intan
Bentuk logo mengambil bentuk intan dalam satu lengkungan bujur kerana nama sekolah ialah Seri Intan yang melambangkan kekuatan yang menunjukkan penguasaan objektif sekolah.
Bentuk bujur melambangkan keselamatan ahli dan sekolah sentiasa diutamakan dan terkawal.
Berwarna biru muda metalik menunjukkan masyarakat Malaysia yang sihat dan berwibawa.
Warna merah menunjukkan iltizam yang tinggi untuk menguasai segala ilmu dan kemahiran pendidikan, meningkatkan keupayaan mengendalikan diri dalam situasi kehidupan yang membawa berkat kepada semua ahli masyarakat sekolah.
Lambang buku yang berwarna putih menunjukkan keikhlasan yang menyeluruh dalam kalangan ahli masyarakat sekolah. Ini juga bermaksud ilmu yang dipelajari akan sentiasa diterap seumur hidup.
Lambang obor yang berwarna merah menunjukkan semangat yang sentiasa kuat dalam diri ahli masyarakat sekolah untuk menghadapi segala cabaran.
Lambang lima bulatan bererti penglibatan aktif pelajar dalam kemajuan sukan dan semangat kesukanan yang tulen.
Latar belakang cogan kata yang berwarna hijau menunjukkan ilmu sentiasa menjadi keutamaan dan segar di minda pelajar sekolah ini.
ILMU PENYULUH HIDUP bermaksud hanya dengan mempelajari ilmu pengetahuan dapat menerangi kehidupan pada masa hadapan yang mencabar.
Lambang sijil menunjukkan keupayaan memperolehi pengiktirafan dalam segala bentuk penglibatan pelajar sama ada pencapaian kurikulum atau kokurikulum.
LAGU SEKOLAH
Sekolah Menengah Seri Intan,
Kilau cahaya terus gemerlapan,
Kau menjadi impian dan juga harapan,
Warga pendidikan berwawasan.
Berani menghadapi cabaran,
Tekun tabah dalam kehidupan,
llmu Penyuluh Hidup cogan katanya,
Buat pedoman setiap masa.
Mari bersama, padu tenaga,
Menuju satu cita yang mulia,
Pelajar bestari, ikhlas berbudi,
Kejayaan cemerlang menanti.
Seri Intan terus gemilang,
Terus maju dalam pendidikan,
Kau menjadi impian dan juga harapan,
Maju jaya SMK Seri Intan,
Maju jaya SMK Seri Intan,
Maju jaya SMK Seri Intan,
IKRAR PELAJAR
Bahawasanya kami,
Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan
Seri Intan berikrar
Akan mematuhi segala undang-undang
dan peraturan sekolah,
Menghormati guru-guru, kakitangan sekolah
serta rakan-rakan kami,
Berusaha mencapai kecemerlangan pelajaran,
Bergiat cergas dalam semua lapangan,
Bersopan santun setiap masa,
dan mengamalkan
prinsip-prinsip Rukun Negara.
KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA
KELUHURAN PERLEMBAGAAN
KEDAULATAN UNDANG-UNDANG
KESOPANAN DAN KESUSILAAN
MOTO
“Ilmu Penyuluh Hidup”
VISI
“Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera”
MISI
“Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi
Negara”
SLOGAN
“Menggilap Intan Mencari Sinar”