Sistem Pendidikan Malaysia berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memberi tumpuan kepada perkembangan emosi diri pelajar secara menyeluruh untuk melahirkan individu yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Falsafah ini digunakan bagi melahirkan warganegara yang berketrampilan dan bertanggungjawab dalam segala bidang serta mampu menghadapi cabaran dalammenuju wawasan Negara.
Walaubagaimanapun, kurikulum pendidikan masih berteraskan kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana falsafah memainkan peranan sebagai dasar yang menjadi arah tuju, panduan dan bimbingan. Tanpa falsafah sesuatu kurikulum pendidikan itu adalah tanpa asas. Kurikulum yang berteraskan falsafah ini umumnya untuk membentuk pelajar bagi perkembangan menyeluruh meliputi dimensi insrtrumental / sosial dan dimensi intrinsik.
Kurikulum ialah segala rancangan pendidikan (akademik dan kokurikulum) yang dikendalikan oleh sesebuah institusi pendidikan untuk mencapai matlamat pendidikan. la suatu rancangan yang meliputi segala ilmu pengetahuan, kemahiran, nilai dan norma, unsur-unsur kebudayaan dan kepercayaan masyarakat untuk diwariskan kepada ahli-ahlinya. Kurikulum kebangsaan yang ditetapkan hendaklah menentukan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang dijangka akan diperolehi oleh murid-murid pada akhir tempoh persekolahan masing-masing (Akta Pendidikan 1996).
Oleh itu, kurikulum amat penting dalam sistem Pendidikan di Malaysia. Kurikulum pendidikan merupakan satu wadah penting dalam menjana anjakan paradigma dalam diri setiap individu dan ia juga memainkan peranan penting untuk melahirkan insan deduktif yang dinamik dalam semua aspek kehidupan.
Pendidikan khas adalah perkhidmatan dan kemudahan pendidikan yang disediakan untuk individu berkeperluan khas, atau kurang upaya, yang terdiri daripada mereka yang mengalami kecacatan mental, bermasalah pembelajaran, gangguan emosi dan tingkah laku, gangguan komunikasi(pertuturan dan bahasa), hilang pendengaran, hilang penglihatan atau darjah penglihatan yang rendah, kecacatan fizikal dan golongan pintar cerdas.
Kementerian Pelajaran Malaysia menurut Akta Pendidikan 1996, Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas 1997 Bahagian II 3(2) menyediakan pendidikan khas dan kemudahan untuk murid bermasalah penglihatan dan pendengaran, manakala pendidikan khas integrasi pula adalah untuk yang bermasalah pembelajaran, penglihatan, dan pendengaran.
Ia diwujudkan di peringkat prasekolah, sekolah harian biasa rendah dan menengah serta sekolah menengah teknik atau vokasional, dengan menggunakan pendekatan pengajaran berasingan dan separa inklusif. Tempoh pengajian bagi sekolah rendah adalah selama enam tahun, manakala bagi sekolah menengah pula selama lima tahun dan dilanjutkan sehingga dua tahun maksimum mengikut keperluan murid.
Bilangan murid pendidikan khas rendah dan menengah di seluruh Malaysia adalah seramai 2912, manakala guru pula ialah seramai 630. Terdapat sebanyak 28 buah sekolah rendah, iaitu lima(kanak-kanak buta), dan 23 (kanak-kanak pekak). Manakala bagi sekolah menengah rendah pula, terdapat tiga buah sekolah pendidikan khas iaitu, satu (kanak-kanak buta) dan tiga (kanak-kanak pekak). Bilangan murid pendidikan khas integrasi pula adalah seramai 11 961, manakala gurunya pula adalah seramai 2587 orang.