LATAR BELAKANG SEKOLAH
LATAR BELAKANG SEKOLAH
Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian merupakan sebuah sekolah harian biasa yang terletak di Taman Nilai Impian, Nilai, Negeri Sembilan. Sebuah kawasan strategik dan terancang meliputi kawasan kediaman berprestij, kawasan perindustrian dan perdagangan, lembah ilmu serta mempunyai lingkaran perhubungan yang baik.
Pembinaan sekolah ini bermula pada tahun 2018. Walau bagaimanapun, pandemik Covid19 yang bukan sahaja melanda seluruh negara malahan melanda seluruh dunia pada tahun 2019 turut memberi impak terhadap pembinaan sekolah ini. Sekolah ini yang sepatutnya siap pada tahun 2020 hanya siap sepenuhnya pada tahun 2021 apabila Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) diikemukan pada 5 April 2021 oleh Reza Ridzuan Architect . Syarikat yang bertanggungjawab melaksanakan kerja-kerja pembinaan sekolah ini ialah Syarikat MIZURA Sdn Bhd.
Pembinaan sekolah ini dijalankan di atas tanah seluas 5.093 hektar yang terletak lebih kurang 5 km dari Bandar Baru Nilai. Pembinaan sekolah ini melibatkan empat blok bangunan yang merangkumi 24 buah bilik darjah, dewan, kantin dan pondok pengawal serta dilengkapi dengan padang dan court bola keranjang. Sekolah ini juga dilengkapi dengan fasiliti moden berasaskan rekabentuk pembangunan lestari.
Caretaker yang bertanggungjawab terhadap sekolah ini Puan Haslina binti Hashim (Penolong Kanan Pentadbiran) dan Ts.Dr Mohd Tafizam bin Mohd Taib (GKMP Teknik dan Vokasional) telah memulakan tugas sebagai caretaker pada 25 September 2019 hingga 5 Disember 2021.
Majlis Penyerahan Sekolah Baharu 24 Bilik Darjah dan Lain-Lain Kemudahan di SMK Nilai Impian telah diadakan pada 1 Oktober 2021. Majlis ini telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Md Fiah bin Mad Jamin, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.
SMK Nilai Impian beroperasi secara rasmi (operasi tanpa murid) pada 6 Disember 2021 di bawah kepimpinan Puan Khalidah binti Haji Omar, sebagai pengetua pertama SMK Nilai Impian bersama dengan 7 orang guru barisan hadapan iaitu Puan Haslina binti Hashim sebagai Penolong Kanan Pentadbiran, Encik Mohd Zaini bin Khalid sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Pu’at bin Mohd Haron sebagai Penolong Kanan Kokurikulum, Puan Lakshmi a/p Palarman sebagai GKMP Bidang Bahasa, Puan Noorasikin binti Nen sebagai GKMP Bidang Sains dan Matematik, Ts Dr Mohd Tafizam bin Mohd Taib sebagai GKMP Bidang Teknik & Vokasional, Puan Hajarul Salasiah binti Mansor sebagai GKMP Bidang Kemanusiaan. Manakala Pembantu Tadbir, Encik Muhammad Hasif bin Mat Darus melapor diri pada 16 Disember 2021.
11 orang guru pula memulakan tugas pada 3 Januari 2022. Mereka ialah Puan Normaizatul Farahin binti Satimin (Kaunselor), Puan Farah Faizura binti Ahmad Rostam, Encik Jumat Abang, Puan Junaidah binti Mat Saat, Puan Nor Hanisah binti Ibrahim, Puan Norsyadillah binti Muhamad, Puan Nurul Asyikin binti Mohd Yasin, Puan Siti Mariam binti Muhammad, Puan Siti Nurbaya binti Abdul Malek, Puan Wan Nor Aniza binti Wan Hussin dan Encik Zafarul Nizar bin Zan.
Sesi persekolahan yang bermula pada tanggal 21 Mac 2022 menyaksikan murid kohot pertama memulakan persekolahan di sini. Mereka terdiri daripada murid tingkatan satu dan tingkatan dua. Sebagai permulaan, pengoperasian sekolah pada tahun ini hanya melibatkan 6 buah kelas tingkatan satu dan 4 buah kelas tingkatan 2 sahaja.
Sebagai sebuah sekolah baharu yang beroperasi tanpa apa-apa dana, seluruh warga SMK Nilai Impian mengharapkan sokongan dan kerjasama yang erat daripada semua pihak. Kami membuka ruang kepada komuniti setempat dan rakan-rakan strategik untuk bersama-sama membangunkan sekolah ini. Impian besar kami adalah melahirkan modal insan yang PROGRESIF dan DINAMIK melalui ekosistem pembelajaran yang kondusif berteraskan kemenjadian murid seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.