Sekolah Menengah Methodist (ACS) Sitiawan ditubuhkan pada tahun 1903. SMK Methodist (ACS) bermula sebagai sebuah rumah anak yatim dengan empat orang kanak-kanak lelaki dari Singapura. Di bawah bimbingan Residen Mubaligh Rev. B.F. Ven Dyke, sekolah awal SMK Methodist (ACS) Sitiawan berkembang dari segi enrolmen dan bilangan mata pelajaran yang ditawarkan. Akhirnya, sekolah ini dinaiktarafkan dan menjadi Sekolah Perusahaan Sitiawan (Industrial School Sitiawan).
Pada tahun 1910, Dr. Shellabear (Guru Besar) mendirikan sebuah lagi bangunan sekolah. Pada tahun 1916, Rev. W.E Horley, seorang mubaligh di Ipoh menukarkan nama sekolah dari Sekolah Perusahaan Sitiawan kepada Sekolah Anglo-Chinese (ACS) Sitiawan. Pada tahun 1927 murid perempuan mulai diterima dan hanya terdapat tiga orang guru sahaja, iaitu R.V Ven Dyke. Mrs. C.E Draper dan Mr. L.A Samuel. Pada tahun 1931, Rev. D.P. Coole (Guru Besar) telah membina dua blok bangunan sekolah yang ada sekarang, termasuk satu bilik guru dan pejabat dan sebuah dewan besar disiapkan semasa Rev. Engene MeGraw apabila beliau menjawat jawatan Guru Besar pada tahun 1938.
Pada tahun 1947, kelas Sijil Persekolahan (School Certificate) yang pertama dimulakan. Pada tahun 1949, Kelas Khas untuk murid Melayu (Special Malay Class) dimulakan. Tahun 1961, sebuah bangunan dua tingkat yang mengandungi perpustakaan, pejabat, bilik menaip dan bilik gelap untuk memproses gambar foto untuk aktiviti fotografi siap dibina. Dato’ Ling Sing Hang DPMP, JP dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pentadbir Sekolah. Selepas perang, bilangan pelajar meningkat kepada 1098 orang pelajar pada 1957.
Pada tahun 1963, sekolah ini telah menyambut Jubli Intan, dan untuk meraikan peristiwa ini, empat buah bilik darjah dan sebuah makmal telah dibina. Pada tahun 1972, sambungan kepada tiga tingkat yang mengandungi tiga makmal sains siap dibina. Pada tahun 1973, kelas Tingkatan 6 Sains ditubuhkan dengan bilangan muridnya 24 orang dan tahun berikutnya menduduki peperiksaan H.S.C. buat pertama kalinya. Walaupun pertama kali membuka kelas tingkatan 6 , sekolah ini telah mencapai sebuah kejayaan yang membanggakan dengan mencatat 82% lulus. Kemudian pada tahun 1977, kelas Tingkatan 6 Sastera pula ditubuhkan. Sekali lagi sekolah ini mencapai kejayaan dengan mencatat keputusan H.S.C. terbaik dalam negeri Perak. Tahun 1976, Dewan ACS II telah siap dibina. Dewan ini mengandungi sebuah perpustakaan dan sebuah Bilik Sains Rumah Tangga. Tahun berikutnya, kelas Tingkatan 6 Sastera ditubuhkan dan sekolah ini mencapai kejayaan dengan mencatat keputusan H.S.C. terbaik dalam negeri Perak.
Kejayaan SMK Methodist ACS Sitiawan melahirkan produk pelajar yang cemerlang menyebabkan sekolah ini menjadi tumpuan ibu bapa sekitar Sitiawan dan Seri Manjung untuk menghantar anak mereka ke sekolah ini. Fenomena ini menyebabkan pada tahun 1995/1996, akibat tidak mampu bilangan murid yang ramai sekolah ini telah dipecahkan kepada dua sesi. Bagi pelajar Tingkatan 1 dan 2 seisi persekolahan dijalankan pada sebelah petang manakala pelajar Tingkatan 3, 4, 5 dan 6 pada sesi pagi. SMK Methodist (ACS) Sitiawan terus berkembang dan kini sekolah ini mempunyai 57 kelas (9 kelas bagi setiap Tingkatan 1,2, 3, 4 dan 5) Tingkatan 6 Atas dan 6 Rendah terdiri daripada 6 kelas setiap tingkatan
Di era 20an SMK Methodist ACS telah berjaya membina satu lagi blok bangunan baru yang mengandungi satu dewan auditorium dan dua makmal komputer. Bangunan ini dikenali sebagai bangunan IT dan dinamakan Bangunan IR Ling Leong Chnong sebagai mengenang penyumbang utama untuk bangunan ini. Segala penggunaan internet dan komputer disambung dengan server yang dipasang di sekolah. Setiap orang pelajar dan guru di SMK Methodist (ACS) Sitiawan diberi URL dan mereka boleh menggunakan kemudahan internet dan komputer sekolah.
Kerja-kerja menaiktaraf dan kemajuan infranstruktur sekolah ini telah dijalankan sejak awal 2012. Semua penambahbaikkan ini dapat dilaksanakan kerana adanya sumbangan kewangan daripada pihak tertentu. Selain itu, pembangunan di SMK Methodist (ACS) Sitiawan juga berjaya dijalankan kerana mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak. terutamanya bantuan yang dihulurkan oleh pihak Lembaga Pengelola Sekolah, PIBG dan komuniti Sitiawan. Ketiga-tiga pihak ini telah memberi sumbangan secara sukarela atas sebab kepercayaan mereka terhadap guru-guru yang bertanggungjawab mendidik anak-anak mereka dengan sempurna dalam keadaan yang selesa, selamat dan persekitaran pembelajaran-pengajaran yang unggul supaya mereka boleh menjadi insan yang berguna kepada masyarakat dan negara.
Pada tahun-tahun 2013 hingga 2017, penambahbaikan bangunan sekolah terus dijalankan. Antaranya adalah membaiki struktur bangunan yang rosak dan menaik taraf bangunan surau , bilik pendidikan seni dan bilik kemahiran hidup. Tujuannya, untuk memberikan keselesaan kepada guru dan pelajar sewaktu PdPc dijalankan.